Saya begitu teruja untuk mengulas pandangan bekas Ketua Polis Negara,
Tun Hanif Omar bertajuk “anak muda kini tidak patriotik langsung!” dalam
akhbar ini minggu lalu. Beliau menyalahkan orang tua seperti ibu bapa,
kerana tidak menanamkan semangat ini. Saya agak kurang bersetuju dengan
pendapat tersebut, kerana kita semuanya dicorakkan oleh sistem
pendidikan yang dilalui semasa kecil sehinggalah dewasa dan menjadi tua.
Sistem pendidikan yang bercorak perkauman adalah punca segala-galanya,
kerana sistem inilah melahirkan insan yang bergelar ibu bapa atau orang
tua hari ini. Setiap kaum memperjuangkan pendidikan dan cara hidup
masing-masing, tidak ada kompromi. Sebarang campur tangan akan ditentang
habis-habisan. Sekolah perkauman ini seolah-olah tidak boleh disentuh.
Pihak berkuasa pula gentar dengan mereka, kerana takut kehilangan undi.
Kita selalu menggunakan alasan, kepelbagaian ini adalah satu kekuatan.
Persoalannya, pernahkah kita membuat kajian implikasi kepelbagaian ini,
seperti yang pernah ditegaskan oleh Perdana Menteri Britain, David
Camerons mengenai multiculturalism? Yakinlah! bahawa kejayaan
negara-negara Barat hari ini adalah disebabkan oleh mereka begitu tegas
melaksanakan agenda negara atau agenda nasional tanpa kompromi.
Negara-negara yang dahulunya dikatakan mundur seperti Thailand,
Vietnam, Indonesia dan lain-lain, sudah mula meninggalkan kita. Mereka
mempunyai rakyat yang ada jati diri kental. Kepakaran dan kekuatan
digembleng sepenuhnya untuk memajukan negara. Tidak berlaku brain drain.
Usahlah dibandingkan dengan negara maju. Semuanya bermula dengan
memperkasakan sistem pendidikan, tanpa kompromi.
Negara-negara ini sedar, semangat patriotik adalah tonggak kekuatan
negara. Jika semangat ini tidak dipaksakan melalui sistem pendidikan,
lambat laun agenda negara tidak ada hala tuju dan menjadi caca merba.
Contoh mudah, apabila lagu kebangsaan dinyanyikan, semuanya berdiri
tegak, diam dan begitu bersemangat. Bandingkan dengan kita, pergilah ke
sekolah-sekolah, lihat gelagat anak-anak kita menyanyikan lagu
kebangsaan. Sekolah perkauman usahlah dicerita. Begitu juga
tempat-tempat awam. Mereka buat tidak peduli sahaja.
Kerajaan negara-negara yang disebutkan tadi, sentiasa mengambil iktibar
dan merujuk kepada cerdik pandai dalam menentukan arah tuju negara.
Tetapi tidak kita. Kajian yang telah terbukti benar dan jitu, disimpan
di bawah karpet, kerana takut kehilangan jawatan dan sokongan pengundi.
Misalnya, pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik
dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang dahulunya mula flip flop apabila
ditentang oleh ultra kiasu Melayu dan bukan Melayu. Saya harapkan kita
tidak akan goyah lagi dengan ugutan mereka selepas ini.
Saya ingin menyeru kepada pimpinan negara supaya sensitif dengan kajian
sarjana-sarjana sosialisasi politik seperti Hyman (1959), Almond dan
Verba (1963), Greenstein (1965), Hess dan Torney (1967), Dawson dan
Prewitt (1969), Dowse dan Hughes (1972), Dennis (1973), Jaros (1973),
Neena Sharma (1985) dan Kavanagh (1987) meletakkan agen keluarga dan
sistem pendidikan adalah yang paling dominan dalam menentukan persepsi,
cara hidup dan masa depan negara.
Menurut mereka lagi, dengan mendengar perbualan ibu bapa ketika
bersarapan, anak-anak mula membentuk corak pemikiran mereka. Pendek
kata, jika keluarga dan sistem pendidikan bersifat ultra kiasu, maka
akan lahirlah ramai ultra kiasu. Realiti inilah yang sedang berlaku di
Malaysia dari dahulu hingga kini. Semakin kita tunduk kepada ultra
kiasu, bermakna semakin ramailah ultra kiasu. Kita sebenarnya sedar
betapa besarnya peranan bahasa dalam pendidikan sebagai tunggak kepada
pembentukan semangat patriotisme. Sebab itulah, di negara lain, isu
bahasa tidak ada kompromi. Jika bahasa negara ditolak, mereka akan
dihalau keluar. Semangat patriotik lebih penting daripada brain drain.
Inilah prinsip negara-negara yang telah maju dan sedang mahu maju.
Bagaimana semangat patriotik boleh disemai jika rakyat Malaysia tidak
sayang kepada bahasa kebangsaan atau tidak boleh berbahasa kebangsaan?
Dasar-dasar negara tidak dapat difahami. Pendek kata, semua perkara
mesti diterjemah ke dalam bahasa ibunda, sedangkan kita sudah ada bahasa
rasmi.
Sistem pendidikan negara kita telah mengalami transformasi demi
transformasi. Saya tidak pasti, berapa banyak wang yang telah dihabis.
Jika bertukar menteri pelajaran, maka bertukarlah polisi dan dasar.
Transformasi telah berlaku berkali-kali, namun asasnya masih sama.
Tembok perkauman masih tidak dapat dipecahkan. Kita tidak bertegas dalam
memperkasa agenda negara. Kita akan terus gagal jika masalah asas ini
tidak diatasi.
http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/ridhuan-tee-abdullah/transformasi-pendidikan-perlu-tegas-1.85828
No comments:
Post a Comment