Tak sempat jadi guru TADIKA

Batu Pahat: Gadis yang pernah hidup menggunakan jantung mekanikal, sebelum berjaya menjalani dua pembedahan menerima jantung penderma di Institut Jantung Negara (IJN) kira-kira lima tahun lalu, meninggal dunia pagi semalam.

Tee Hui Yee, 18, disahkan meninggal dunia jam 10.02 pagi, kira-kira 10 hari menjelang hari lahirnya ke-19, selepas dikejarkan ke Hospital Batu Pahat oleh ibu bapanya apabila dia pengsan secara tiba-tiba. Lebih memilukan, dia meninggal dunia pada hari pertama dijadual bertugas sebagai guru TADIKA, iaitu cita-citanya sejak kecil.

Mengadu sakit belakang


Ibunya, Dina Bato Sambua, 51, tidak menduga keceriaan Hui Yee yang tidak sabar memulakan hari pertama sebagai guru kelas prasekolah, berakhir dengan kematian anak bongsunya itu yang dua jam sebelum itu mengadu sakit belakang dan dada.

Saya berasa tidak sedap hati sejak semalam (kelmarin) selepas dia tiba-tiba muntah sejurus kembali daripada makan malam `steamboat bersama rakannya. Saya mahu membawanya ke hospital, tapi dia menolak. Pagi tadi (semalam) pula, dia mengadu sakit belakang dan saya mengurut belakangnya.

Lima tahun guna jantung penderma

Ketika itu, Hui Yee sempat mengingatkan saya 5 Oktober ini genap lima tahun dia menggunakan jantung penderma dan sempat juga memberitahu mahu menyambut hari lahirnya yang ke-19, 29 September ini secara besar-besaran bagi meraikan rakan dan sanak saudara selepas berjaya menempuh lima tahun hidup dengan jantung penderma tanpa masalah, katanya.
Tidak lama selepas mengurut belakang anaknya, Dina berkata, badan Hui Yee tiba-tiba menggeletar dan wajahnya bertukar pucat dan segera diberi bantuan pernafasan oleh suaminya, Tee Ah Soon, 57, sebelum membawanya ke hospital, tetapi sebaik tiba, doktor mengesahkan anak mereka sudah meninggal dunia.

Kisah gadis ini meruntun hati apabila dia merayu orang ramai menderma jantung kepadanya pada September 2007 selepas hanya bergantung hidup kepada jantung mekanikal selama setahun. Dia kemudian melalui prosedur 10 jam bagi menerima jantung didermakan seorang remaja Melayu dari Perak yang maut nahas jalan raya.

Namun tidak sampai 24 jam selepas menjalani pembedahan itu, dia sekali lagi dibedah selepas badannya menolak jantung berkenaan sebelum melalui prosedur sama tujuh jam lagi, menerima jantung daripada penderma baru pada 5 Oktober 2007 dan dibenarkan keluar Institut Jantung Negara (IJN) pada Januari 2008.

No comments:

Post a Comment