KUBANG PASU 18 Sept. - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim
Mu'adzam Shah hari ini melahirkan hasrat untuk melihat lebih ramai
rakyat di negara ini mempunyai kelulusan doktor falsafah (PhD).
Titah baginda, demi menjayakan perkara itu baginda menggesa agar
semua pihak termasuk parti politik mahupun pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) memainkan peranan masing-masing.
Katanya, kesedaran tentang kepentingan pendidikan sehingga ke tahap
paling tinggi itu harus ditanam dalam jiwa rakyat pada usia kanak-kanak
lagi.
"Berbanding sibuk berpolitik, lebih bermanfaat kepada negara jika
parti politik dan NGO menjadikan ini sebagai agenda utama mereka.
"Untuk menjayakan hasrat ini, semua pihak perlu memainkan peranan.
Kesedaran perlu diberikan di peringkat kanak-kanak betapa pendidikan
boleh mengubah maju mundur, miskin hina seseorang," titah baginda yang
juga Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) pada Majlis Konvokesyen
UUM Ke-25 Sesi 1 (Khas), di sini.
Pada majlis itu, baginda berkenan menyampaikan Ijazah Kehormat UUM
kepada Pengerusi MK Land Holdings Bhd. (MK Land), Tan Sri Mustapha Kamal
Abu Bakar dan Profesor Emeritus kepada Prof. Datuk Dr. Abdul Kadir Din
dan Prof. Dr. Ranjit Singh Darshan Singh.
Baginda turut menyampaikan 15 anugerah dan pingat kepada graduan
cemerlang antaranya Pingat Emas Canselor, Anugerah Pelajaran Diraja,
Pingat Emas Institut Bank-Bank Malaysia dan Pingat Emas Bank Rakyat.
Baginda bertitah, kebanyakan mereka yang berkelulusan PhD kini berada di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta.
"Data Kementerian Pengajian Tinggi menunjukkan bilangan kakitangan
yang memiliki PhD di IPT awam dan swasta seramai 7,800 orang manakala
Sarjana seramai 20,000 orang," titah baginda.
Titah baginda, kesedaran juga perlu disuntik kepada anak-anak muda
betapa pentingnya menguasai bahasa Inggeris serta celik Sains dan
Matematik.
http://www.utusan.com.my/utusan/Kampus/20120919/ka_01/Agong-mahu-lebih-ramai-rakyat-miliki-PhD
No comments:
Post a Comment