Oleh : NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my
PADA Selasa ini, satu peristiwa bersejarah bakal
dilakarkan apabila dilancarkan laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP)
2013-2025.
Laporan awal itu yang akan dilancarkan sendiri
oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Konvensyen Kuala
Lumpur bertujuan menghasilkan modal insan unggul, kreatif, berkemahiran tinggi
dan berdaya saing di peringkat antarabangsa melalui sistem pendidikan yang
berkualiti dan bertaraf dunia.Selepas pelancaran laporan awal dalam bentuk
dokumen itu yang mengandungi pandangan, cadangan dan maklum balas untuk
mempertingkatkan sistem pendidikan negara, ia akan dipaparkan untuk dilihat
orang ramai.Orang ramai boleh meneliti dokumen awal tersebut dan mengemukakan
pelbagai cadangan tambahan sebelum ia dimuktamadkan pada penghujung tahun ini.
Sebahagian daripada cadangan itu diperoleh
daripada Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012 yang telah diadakan di seluruh
negara dengan dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr.
Wan Mohd. Zahid Wan Mohd. Nordin.Sesi dialog itu telah membolehkan segenap
lapisan masyarakat seperti golongan petani, pemandu teksi, pekerja kilang,
peniaga, warga pendidik hinggalah kepada pelbagai latar belakang kumpulan profesional
mengemukakan cadangan.
Selain dialog, pandangan juga diperoleh melalui
Twitter, Facebook dan laman-laman web. Ia juga mengambil kira pandangan
Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
(UNESCO), Bank Dunia, hasil kajian 12 panel bebas, empat panel antarabangsa
yang dilantik, laporan daripada enam Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan
sembilan makmal pendidikan.
Dokumen awal PPP itu akan memaparkan pelbagai
cadangan yang melibatkan sembilan bidang utama yang dianggap kritikal untuk
mentransformasi pendidikan negara dan perlu diberikan perhatian oleh kerajaan.
Pertama, memartabatkan profesion keguruan. Untuk
itu, Kementerian Pelajaran akan memberi fokus kepada usaha meningkatkan kualiti
guru melalui pengambilan calon-calon guru yang memiliki keputusan akademik
cemerlang serta meningkatkan kualiti latihan praperkhidmatan dan dalam
perkhidmatan untuk guru.Di samping itu, kementerian akan menambah bilangan guru
dengan nisbah satu guru bagi setiap 13 murid, iaitu melebihi purata
antarabangsa satu guru bagi setiap 16 murid.
Kedua, meningkat kualiti kepimpinan sekolah.
Antara kaedah yang dilaksanakan adalah memberikan ganjaran kepada pengetua dan
guru besar yang menunjukkan pencapaian cemerlang dalam meningkatkan prestasi
sekolah.Ia juga melibatkan langkah memperkenalkan kaedah pemilihan pengetua dan
guru besar berasaskan merit dan pelan peralihan kepimpinan sekolah yang
berkesan.
Ketiga, meningkatkan kualiti sekolah yang sekali
gus akan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran. Antara ciri-ciri
sekolah berkualiti adalah yang mempunyai kemudahan teknologi maklumat dan
komunikasi (ICT).Untuk tujuan ini, kerajaan akan meningkatkan kemudahan ICT
kepada sekolah termasuk kemudahan jalur lebar dan internet berkelajuan tinggi
bagi memudahkan murid mengakses maklumat di dunia maya.
Keempat, memantapkan kualiti kurikulum dan
pentaksiran untuk menyediakan modal insan abad ke-21.Keutamaan yang diberikan
adalah untuk membina satu kurikulum yang memenuhi piawaian antarabangsa dengan
menekankan aspek kemahiran kreatif, penyelesaian masalah dan inovasi yang
merupakan ramuan utama untuk melahirkan modal insan yang mampu untuk bersaing di
peringkat global.
Kelima, meningkatkan penguasaan pelbagai bahasa di
kalangan murid. Ia akan dilaksanakan tanpa menjejaskan kepentingan penguasaan
bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris sebagai bahasa
kedua di negara kita.Langkah meningkatkan penguasaan bahasa ketiga seperti
Mandarin, Tamil, Arab dan bahasa-bahasa antarabangsa lain adalah selaras dengan
kemunculan kuasa baru ekonomi dunia yang sebahagiannya bertumpu di negara-negara
Asia.
Keenam, menekankan penglibatan ibu bapa, sektor
swasta dan masyarakat sebagai rakan kongsi dalam pendidikan.Satu aspek yang
diberikan penekanan dalam kajian semula pendidikan ini adalah peranan pihak
berkepentingan di luar lingkungan sekolah untuk berganding bahu dengan pihak
sekolah dalam usaha meningkatkan pencapaian murid.
Ketujuh, meningkatkan kesediaan murid untuk
merebut peluang dalam pendidikan tinggi dan pasaran kerja. Pelan pendidikan
baru ini akan melengkapkan pelajar dengan ilmu dan kemahiran yang akan
membolehkan mereka memasuki pasaran kerja dalam sektor yang berdaya saing.
Untuk tujuan itu, di samping menguasai literasi
dan numerasi, murid-murid akan dilengkapkan dengan kemahiran abad ke-21 seperti
kualiti kepimpinan, kemahiran menyelesaikan masalah, pemikiran aturan tinggi
(higher order thinking) dan kebolehan berkomunikasi dengan berkesan.
Kelapan, memperbaiki kecekapan dan keberkesanan
pengurusan sumber. Ini bermakna, Kementerian Pelajaran akan mengurus sumber
dengan cekap bagi mengelakkan ketirisan dan pembaziran serta memastikan sumber
diagih secara optimum agar pulangan yang maksimum terhasil daripada setiap
ringgit yang dibelanjakan untuk pendidikan.
Kesembilan, membina kemampuan serta keupayaan
sistem penyampaian pendidikan. Ini bermakna, kualiti kepimpinan dan susunan urus
tadbir kementerian akan diberikan perhatian yang utama dalam usaha untuk
meningkatkan kecekapan dan keberkesanan fungsi pegawai di setiap peringkat.
Ia akan melibatkan kira-kira 10,000 pegawai di
peringkat kementerian, 6,000 di peringkat negeri, 4,000 di peringkat daerah dan
420,000 guru di sekolah.
Kepada orang ramai yang sedang menanti-nantikan
pelancaran laporan awal PPP, marilah kita sama-sama mengemukakan pelbagai
cadangan membina supaya ia menjadi pelan pendidikan yang melambangkan aspirasi
rakyat seluruhnya.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
No comments:
Post a Comment