Penapis air bantu 500 sekolah

KOTA BHARU 19 Sept. - Bantuan penapis air berharga RM2.5 juta kepada 500 buah sekolah yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini bakal memberi manfaat kepada lebih 360,000 pelajar di negeri ini.
Pengarah Pelajaran negeri, Hussain Awang berkata, bantuan itu juga akan turut dinikmati 38,000 warga pendidik di sekolah berkenaan.
Beliau berkata, pemasangan penapis air bagi membekalkan air bersih ke sekolah-sekolah terlibat dijangka siap sepenuhnya menjelang Oktober ini.
"Kita dalam penyediaan peralatan penapis air berkenaan untuk diagih-agihkan ke sekolah-sekolah terlibat. Ia boleh dipasang di mana-mana sahaja sekiranya terdapat punca air," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau ditemui pada Majlis Mesra Aidilfitri 2012 anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kota Bharu dan Puspanita PPD Kota Bharu, di sini.
Seramai 60 pelajar orang kurang upaya (OKU) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota dan SMK Ismail Petra turut diraikan pada majlis itu.
Hadir sama, Pegawai Pelajaran Daerah Kota Bharu, Che Ab. Aziz Daud.
Muhyiddin pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Mesra Aidilfitri 14 September lalu, mengumumkan bantuan penapis air kepada 500 buah sekolah di Kelantan membabitkan peruntukan sebanyak RM2.5 juta.
Bantuan itu bagi mengelak pelajar terbabit dijangkiti penyakit bawaan air kerana menggunakan sumber air yang tidak bersih.
Menurut Hussain, pemasangan penapis air itu bakal meningkatkan kualiti air di sekolah-sekolah terlibat seterusnya menghindarkan pelajar, guru-guru dan kakitangan sekolah daripada risiko dijangkiti penyakit bawaan air.

No comments:

Post a Comment