Guru wanita mati di sisi bayi menangis

utusanperak@utusan.com.my.

BAGAN DATOH 14 Sept. - "Luluh hati saya apabila melihat dia kaku tidak bernyawa dengan anaknya yang berusia tujuh bulan menangis teresak-esak sambil memeluk ibunya".

Begitu luahan seorang guru yang menemui rakan setugasnya itu di Kuarters Sekolah Sains Bagan Datoh di sini yang mati disyaki akibat serangan jantung, kelmarin.

Mayat Normaya Mokhtar, 33, yang mengajar bahasa Jepun di sekolah itu hanya ditemui kira-kira pukul 7.30 pagi semalam oleh Siti Fairouz Saikhudin, 30, selepas merasa curiga apabila mangsa tidak menjawab khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantarnya sejak kelmarin.

Menurut Siti Fairouz, lebih menimbulkan tanda tanya apabila panggilan dan ketukan pintu rumah mangsa juga tidak berjawab.

Bimbang dengan keadaan tersebut, Siti Fairouz berkata, dia berusaha memasuki rumah mangsa dan akhirnya berjaya membuka pintu dengan menggunakan kunci yang dijumpai di bawah pelapik kaki di hadapan rumah Normaya.

"Sejurus pintu dibuka, saya lihat Normaya dalam keadaan terlentang dan bila saya periksa, dia tidak bernyawa lagi. Ketika itu anaknya, Muhamad Ziqri dalam keadaan sangat lemah dan mukanya bengkak kerana menangis terlalu lama.

"Patutlah panggilan dan SMS yang saya hantar banyak kali kepadanya langsung tidak berjawab. Rupa-rupanya dia sudah tiada," katanya yang tinggal berhampiran rumah mangsa.

Siti Fairouz percaya mangsa mungkin telah meninggal dunia sehari sebelum itu iaitu semasa majlis rumah terbuka yang dianjurkan pihak sekolah dan mangsa tidak menghadirkan diri.

Katanya, sejurus mayat Normaya dijumpai, dia memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah, keluarga mangsa serta suami mangsa yang bekerja sebagai tukang masak di Johor Bahru.

"Arwah seorang yang baik dan peramah serta suka membantu rakan-rakannya. Saya terkilan kerana sebelum itu dia ada meminta saya memasakkan nasi himpit dan kuah kacang untuknya.

"Malangnya, sebelum sempat saya menunaikan hajatnya itu, dia telah pergi dulu," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Mohamad Zaki Harun ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

Katanya, mangsa dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung.

Mayat mangsa dikebumikan di Rancangan Perumahan Tersusun Batu Gajah dekat sini kira-kira pukul 4 petang semalam.

No comments:

Post a Comment