Exco Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, dengan keputusan itu, bermakna hanya seorang pelajar sahaja pelajar sekolah tersebut yang disahkan dijangkiti TB.
“Ujian saringan telah dijalankan ke atas 13 orang guru dan 21 orang pelajar yang dikenal pasti mempunyai hubungan dengan pesakit terbabit dan kesemuanya didapati normal dan tiada tanda-tanda dijangkiti penyakit TB,” katanya ketika melakukan lawatan ke sekolah tersebut hari ini.
Menurut beliau, pelajar yang disahkan dijangkiti penyakit itu masih dalam rawatan dan tidak dibenarkan mengikuti sesi persekolahan sehingga dia benar-benar disahkan pulih.
“Kita akan pastikan pelajar terbabit menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh sehingga penyakitnya benar-benar sembuh dan ia akan mengambil masa sehingga enam bulan untuk menentukan dia bebas dari TB,” katanya.
Dr. Mah juga menasihati ibu bapa, guru dan pelajar sekolah terbabit supaya tidak panik berkenaan isu ini dan ia tidak menjadi ancaman kepada pelajar untuk meneruskan sesi persekolahan seperti biasa.
“Saya harap semua orang jangan panik kerana TB bukannya penyakit kronik seperti Hepatitis B dan Hepatitis C kerana TB boleh sembuh sepenuhnya jika menerima rawatan dan mereka yang dijangkiti penyakit ini boleh menjalankan aktiviti seperti biasa jika sudah pulih,” jelas Mah.
Terdahulu, Jabatan Kesihatan Negeri Perak mengesan satu kes penyakit batuk kering melibatkan pelajar sekolah tersebut disamping mengesan 34 lagi yang dikhuatiri dijangkiti penyakit tesebut.
No comments:
Post a Comment