KANAK-KANAK belajar sesuatu yang baru melalui lima deria utama iaitu rasa, bau, hidu, lihat dan dengar.
Pembelajaran menggunakan deria lebih mudah difahami dan lebih jelas jika deria dirangsang oleh medium atau aktiviti tertentu.
Namun dalam situasi kanak-kanak istimewa seperti yang lembam atau mempunyai kecacatan pada anggota badan, deria lain perlu dirangsang bagi membantu perkembangan minda mereka seperti kanak-kanak normal lain.
Atas faktor ini juga Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC) menggiatkan usaha membina bilik sensori untuk membantu kanak-kanak yang bermasalah dalam pembelajaran.
Presiden RMHC Malaysia, Chan Chee Chin baru-baru ini mengumumkan rancangan untuk membuka beberapa lagi bilik sensori di sekolah-sekolah terpilih.
"Kami berharap untuk membina sekurang-kurangnya satu Bilik Sensori Ronald McDonald di setiap negeri, terutamanya di sekolah-sekolah yang aktif mempromosikan pemulihan dan perkembangan kanak-kanak bermasalah pembelajaran," katanya.
Beliau ditemui pada majlis penyerahan bilik sensori kepada kanak-kanak kelainan upaya (OKU) di Persatuan Kanak-Kanak Istimewa Ampang, di Ampang Selangor baru-baru ini.
Katanya, bilik sensori tersebut yang dibina untuk kanak-kanak berkeperluan khas, mengandungi kelengkapan 'multi-sensori' yang menjadi bahan pembelajaran penting untuk guru-guru dan pakar fisioterapi.
Ini bagi menjadikan proses pembelajaran bagi kanak-kanak istimewa lebih berkesan menerusi rangsangan deria.
Dalam jangka panjang penggunaan bilik sensori setiap hari dapat membantu kanak-kanak ini mempelajari kemahiran-kemahiran penting seperti berjalan, bertutur, mengingati dan berinteraksi dengan orang lain.
"Ini secara tidak langsung turut membantu meningkatkan keyakinan mereka dalam menyesuaikan diri dan bergaul dengan masyarakat sekeliling," katanya.
Sehingga kini menurut Chee Chin, RMHC Malaysia telah membina 12 kemudahan seumpama ini di 12 sekolah di seluruh negara.
Sementara itu, Pengurus Kanan Penjualan, Malaysia Healthcare Sdn. Bhd yang juga pembekal bagi kelengkapan bilik sensori, Voo Lee Chen, berkata, penggunaan Teknologi Digital Sensori (DTS) mampu mengawal persekitaran di dalam bilik tersebut.
"Antara peralatan yang terdapat di bilik sensori berkenaan adalah tiub gelembung, gentian optik, karpet dinding, dinding rakaman, piano, aroma terapi dan muzik.
"Kesemua peralatan tersebut dapat dikawal oleh penggunaan DTS dan ia mampu memberi satu pengalaman menarik bagi kanak-kanak istimewa ini dalam mengembangkan minda mereka.
"Dengan menggunakan alat ini juga, keadaan seperti warna, haruman, dan muzik di dalam bilik mampu bertukar dengan hanya arahan melalui suara atau pergerakan seperti tepukan," kata beliau sewaktu menerangkan mengenai bilik sensori tersebut.
Melihat telatah kanak-kanak istimewa yang sedang leka bermain di dalam bilik sensori itu, kaedah pembelajaran seperti ini mampu menarik minat ibu bapa yang mempunyai anak-anak bermasalah dalam pembelajaran membawa dan memberi peluang anak-anak mereka merasai pengalaman ini.
Bilik ini bukan sahaja mampu merangsang minda kanak-kanak berkenaan untuk mengenali bentuk, rupa dan warna, malah menurut Lee Chen, kanak-kanak yang mempunyai masalah hilang fokus atau hiperaktif dapat mengawal situasi dan berasa lebih tenang apabila berada di dalam bilik ini.
"Bilik ini diyakini selamat dengan peralatan yang lembut dan interaktif yang mampu membuat perubahan persekitaran menggunakan bunyi, lampu dan haruman," katanya.
Dalam merealisasikan impiannya, RMHC akan menganjurkan Kejohanan Golf Amal RMHC- Tropicana kali ke-19 pada 28 September ini yang disertai seramai 140 peserta.
Hasil kutipan kejohanan amal itu yang dijangka berjumlah RM200,000 akan disalurkan bagi membina lebih banyak Bilik Sensori Ronald McDonald.
No comments:
Post a Comment