Ipoh: Sektor pendidikan dijangka terus menerima peruntukan terbesar Bajet 2013, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Beliau berkata, sektor itu antara fokus utama bajet terutama dalam menjayakan apa yang terkandung dalam Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
“Biasanya bidang pendidikan menjadi fokus terutama sekarang kita nak buat transformasi pendidikan.
“Kita tahu dalam kita nak mempertingkatkan atau membuat perubahan struktur ekonomi itu memerlukan pengetahuan dan skil berbeza pada masa sekarang serta akan datang, jadi fokus kita (peruntukan disediakan) dalam bidang pendidikan akan diberi keutamaan dan biasanya jumlahnya begitu besar,” katanya.
Husni bagaimanapun enggan mengulas sama ada sektor itu akan menerima peruntukan sama seperti tahun lalu iaitu RM50.2 bilion atau bertambah. Beliau juga enggan menyebut kementerian mana dijangka mendapat tambahan ketara peruntukan bajet.
Beliau ditemui selepas merasmikan Perhimpunan Pemimpin-Pemimpin Parlimen Barisan Nasional (BN) Tambun sempena Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian itu di Kolej Sains Bersekutu Hulu Kinta, Tanjung Rambutan, dekat sini, semalam.
Husni berkata, keutamaan bajet juga bagi memperkukuhkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) selain menjaga kepentingan masyarakat ketika ekonomi dunia tidak stabil kini.
Kerjasama awam-swasta
“Kita juga memberi fokus kepada pembangunan dan sudah ada peruntukan untuk pembangunan. Kita juga sudah memperkenalkan kerjasama awam-swasta) dan oleh kerana ada kerjasama ini, sektor swasta akan membiaya sebahagian besar pembangunan.
“Maknanya, setiap RM1 yang kita (kerajaan) belanja kadang-kadang kita boleh mendapat hingga RM3 atau RM4 pembabitan swasta. Jadi, RM1 itu ada kesan berganda yang besar kepada pembangunan negara,” katanya.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Bajetutamakanpendidikan/Article/
No comments:
Post a Comment