Guru menganggur jangan pentingkan diri - PIBGN

 


pada 22-09-2012 01:09 Ditulis Oleh Nur Atikah Samad




 
KUALA LUMPUR: Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Profesor Datuk Mohamad Ali Hassan, menasihati bakal-bakal guru supaya tidak bersikap mementingkan diri sebaliknya bersedia memberikan perkhidmatan cemerlang meskipun dihantar mengajar ke kawasan pendalaman.

Beliau optimis nasib golongan ini akan diberi perhatian sepenuhnya oleh kerajaan melalui pembentangan Bajet 2013 yang bakal diumumkan pada 28 September ini.

"Kalau benar ada peruntukan khas untuk guru-guru menganggur ini, saya rasa itu satu durian runtuh pada mereka. Kita sangat alu-alukan, tapi kita tidak pasti.

"Yang pasti ialah pertama guru lepasan ijazah ini saya kira guru-guru yang mempunyai ciri-ciri 5P (iaitu) 'Profesional, Proactive, Passion, Patient, dan Participate'," memetik laporan portal MyChannel13.

Minggu lalu Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bakal membuat pengumuman penting berhubung kedudukan 10,200 bakal guru yang menganggur.

Malah Khalid turut menasihatkan supaya graduan ini bersabar menantikan pengumuman itu.

Ali seterusnya mencadangkan kepada kerajaan untuk mengeksport 'lebihan' tenaga ini ke negara luar.

Namun menurut beliau, perancangannya harus dibuat secara teliti dan terperinci agar ia dapat dilaksanakan dalam jangka masa yang panjang.

"Saya kira sudah sampai masanya kerajaan menggerakkan tenaga kita (guru) yang barangkali 'lebih' untuk kita eksport ke Indonesia, Brunei, Thailand (tapi) dengan syarat yang disebutkan tadi. Saya rasa tidak ada masalah sepatutnya," ujarnya.

Sekiranya cadangan tersebut sukar untuk diterjemahkan, beliau melihat kebolehan yang ada pada bakal guru ini tidak wajar disia-siakan tetapi dimanfaatkan sebaik mungkin walaupun tidak berjaya mendapat tempat dalam bidang yang sepatutnya.

"Jika juga sukar ditempatkan, saya kira guru-guru ini patut ditempatkan di industri, tak semestinya di dunia pendidikan. Dunia industri, undang-undang, pelancongan. Saya kira boleh gunakan kemahiran yang mereka ada, maknanya mereka patut menerima apa sahaja bidang," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment