Aspek pendidikan perlu diutamakan

Kuching: Sarawak mengharapkan Bajet 2013 yang dibentangkan hari ini memberi keutamaan kepada aspek pendidikan terutama pembangunan infrastruktur luar bandar di pedalaman.

Menteri yang bertanggungjawab mengenai pendidikan, Datuk Fatimah Abdullah, berkata Sarawak masih memerlukan kemudahan pendidikan terutama di kawasan luar bandar berikutan infrastruktur sedia ada dianggap masih ketinggalan.
“Saya melihat pendidikan kini banyak dikaitkan dengan penggunaan gajet IT sedangkan Sarawak masih tidak mempunyai bekalan elektrik yang sempurna.

“Apa yang penting kemudahan pendidikan di sekolah terutama di luar bandar yang jauh ketinggalan berbanding negeri lain,” katanya selepas mempengersukan mesyuarat kementeriannya di Wisma Bapa Malaysia, di sini, semalam.

Menyentuh mengenai Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), beliau berkata, pihaknya mengharapkan badan bukan kerajaan (NGO) dari Sarawak dapat sama tampil menyumbang idea kepada pelan itu.

“Saya mendapati tidak banyak pembabitan Sarawak dalam PPPM. Pandangan negeri ini sangat diperlukan kerana ia bakal menimbulkan banyak masalah sekiranya tiada kajian tepat dilakukan.

Kaji semula
“Pelan itu sudah dirancang tetapi ia masih sempat untuk dikaji semula sebelum dilaksanakan sepenuhnya di negara ini,” katanya yang memaklumkan akademia dari Sarawak akan membincangkan isu PPPM pada 22 Oktober ini.

Di Kota Kinabalu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sabah mahu kerajaan memberi perhatian kepada usaha meningkatkan tahap profesionalisme guru yang dihantar ke Sabah dalam pelaksanaan PPPM mulai tahun depan.

Yang Dipertua ABIM Sabah, Dr Abdullah Bade, berkata Kementerian Pelajaran perlu menempatkan lebih ramai guru terlatih dan berpengalaman untuk berkhidmat di negeri ini berbanding menghantar guru muda yang baru menamatkan pengajian.

No comments:

Post a Comment