FOKUS KEDUA: MEMPERKASA PENDIDIKAN DAN LATIHAN
Tuan Yang di-Pertua,
Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia 2013-2025
58. Sememangnya sejak merdeka, Kerajaan telah
menjadikan bidang pendidikan sebagai agenda utama negara. Kerajaan juga
menyedari pelaburan dalam bidang ini adalah prasyarat kepada sebuah negara yang
makmur dan pembangunan rakyat yang sejahtera. Lalu, setiap tahun menyaksikan
peruntukan besar dan kali ini 21 peratus daripada keseluruhan bajet. Namun,
didapati hasil yang diperolehi tidak setara dengan pelaburan yang telah dibuat.
Maka, pada 11 September lepas, Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran telah melancarkan
Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 bagi memastikan
sistem pendidikan negara akan mampu mengoptimumkan potensi setiap anak
Malaysia.
59. Bagi Bajet 2013, sebanyak 38.7 bilion
ringgit telah diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran meliputi peruntukan
mengurus dan pembangunan.
60. Berbicara tentang itu, langkah meningkat
upaya kompetensi dan kualiti guru merupakan prasyarat kritikal yang menunjang
kejayaan sistem pendidikan negara. Oleh itu, bagi menjana mula prakarsa ini, di
samping 38.7 bilion ringgit peruntukan kepada Kementerian Pelajaran bagi
perbelanjaan mengurus dan pembangunan, Kerajaan akan menyediakan peruntukan
tambahan sebanyak 500 juta ringgit bagi meningkatkan kemahiran guru dalam
pengajaran subjek-subjek teras, yakni Bahasa Kebangsaan, bahasa Inggeris, sains
dan matematik melalui pendekatan Higher Order Thinking Skills. Peruntukan ini
juga merangkumi penubuhan Unit Pelaksanaan Pendidikan atau Education Delivery
Unit bagi memantau dan menilai keberkesanan pelaksanaan transformasi pelan
tersebut.
Tuan Yang di-Pertua,
61. Pada pembentangan Bajet 2012, Kerajaan
telah menyediakan sebanyak 1 bilion ringgit di bawah Tabung Khas Pembinaan,
Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah khusus bagi keperluan mendesak untuk
membaik-pulih bangunan sekolah, penyelenggaraan, pembelian peralatan dan
pembinaan blok tambahan. Untuk meneruskan komitmen Kerajaan, sukacita saya
mengumumkan tambahan 1 bilion ringgit lagi kepada Tabung khas ini. Daripada
jumlah ini, 400 juta ringgit akan disalurkan kepada Sekolah Kebangsaan, 100
juta ringgit kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, 100 juta ringgit Sekolah
Jenis Kebangsaan Tamil, 100 juta ringgit Sekolah Mubaligh, 100 juta ringgit
Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, 100 juta ringgit Sekolah Berasrama Penuh dan
100 juta ringgit kepada Maktab Rendah Sains MARA.
Memperkukuh Pendidikan Awal
Kanak-Kanak
Tuan Yang di-Pertua,
62. Melangkah ke ruang pendidikan awal
kanak-kanak, kualiti pendidikan prasekolah amat penting sebagai platform
melengkapkan kanak-kanak dengan pendidikan asas. Untuk ini, sebanyak 1.2 bilion
ringgit disediakan bagi tujuan pendidikan prasekolah termasuk kepada Jabatan
Kemajuan Masyarakat, Kementerian Pelajaran, PERMATA dan Jabatan Perpaduan dan
Integrasi Nasional. Sebagai tambahan, sebanyak 380 juta ringgit disediakan di
bawah Kementerian Pelajaran untuk penempatan guru prasekolah.
63. Berhubung perkhidmatan taska dan pusat
jagaan kanak-kanak yang berkualiti pula, demi memastikan kanak-kanak mendapat
penjagaan sempurna di samping membangunkan perkembangan minda yang positif,
Kerajaan mencadangkan insentif-insentif berikut:
Pertama: Geran pelancaran 10 ribu ringgit
kepada penyedia Pusat Pendidikan Awal Kanak-kanak (ECCE) swasta untuk membantu
mereka membuka taska baru yang berkualiti. Dianggarkan 1,000 ECCE swasta baru
akan mendapat manfaat;
Kedua: Potongan cukai 2 kali ke atas elaun
atau subsidi yang diberi kepada pekerja dan perbelanjaan penyelenggaraan
kemudahan taska dan pusat jagaan kanak-kanak akan diberi kepada majikan;
Ketiga: Pengecualian cukai pendapatan bagi
tempoh 5 tahun dan elaun bangunan industri pada kadar 10 peratus setahun diberi
kepada pengusaha taska dan pusat jagaan kanak-kanak swasta; dan
Keempat : Pengecualian cukai pendapatan untuk
tempoh 5 tahun dan elaun bangunan industri pada kadar 10 peratus setahun kepada
pengusaha pra-sekolah swasta.
64. Pada masa ini, kita dapati ramai
kanak-kanak kurang upaya dari keluarga berpendapatan rendah yang tidak mendapat
pendidikan awal kerana kekurangan taska OKU. Untuk ini Kerajaan akan
melaksanakan projek perintis taska OKU bagi 6 kategori kanak-kanak OKU yang
merangkumi down syndrome, autisme, penglihatan, pekak dan bisu, fizikal dan OKU
masalah pembelajaran.
Latihan dan Kemahiran
65. Berganjak kepada soal modal insan, yang
berpengetahuan, kreatif dan inovatif, program latihan akan dibentuk untuk
mengasah kemahiran baru selaras dengan keperluan industri masa depan ke arah
ekonomi berpendapatan tinggi dan maju. Bagi tujuan ini, pada tahun 2013,
sejumlah 3.7 bilion ringgit akan disediakan untuk melatih pelajar dalam bidang
teknikal dan vokasional.
66. Setiap tahun hampir 180 ribu graduan
berkelulusan diploma dan sarjana muda menamatkan pengajian daripada institusi
pengajian tinggi. Untuk membantu mereka yang masih menganggur, maka Kerajaan
akan melancarkan Graduate Employability Blueprint pada penghujung tahun 2012.
Rangka kerja ini akan memberi tumpuan untuk memperkukuh kebolehpasaran graduan.
Dalam hal ini, Kerajaan akan menubuhkan Graduate Employability Taskforce dengan
peruntukan 200 juta ringgit.
67. Kerajaan telah melaksanakan Program Skim
Latihan 1Malaysia atau dikenali sebagai SL1M yang bertujuan untuk meningkatkan
tahap kebolehpasaran graduan melalui latihan soft-skills dan on-job-training di
syarikat swasta melalui galakan potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan
oleh pihak syarikat. Galakan ini telah diberi mulai 1 Jun 2012 sehingga tahun
2016.
68. Kerajaan juga memperuntukkan 440 juta
ringgit kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran bagi memberi pinjaman
kepada pelatih untuk menjalani latihan kemahiran. Langkah ini akan dapat
memanfaatkan hampir 40 ribu pelatih di peringkat Sijil Kemahiran Malaysia tahap
1 hingga 5. Kerajaan juga memperuntukkan 366 juta ringgit bagi menaik taraf
serta pembelian peralatan Institut Latihan Perindustrian dan Institut Kemahiran
Belia Negara.
69. Pelbagai program latihan kemahiran akan
dilaksanakan selaras dengan matlamat mentransformasikan industri utama negara
berteras kepada teknologi tinggi, berinovatif serta berpendapatan tinggi. Ke
arah ini, tumpuan akan diberi bagi melahirkan tenaga kerja profesional dan
berbakat di dalam industri terpilih termasuk industri minyak dan gas,
perkapalan, ICT, kreatif serta bioteknologi. Bagi tahun 2013, dijangka seramai
5,000 pelatih akan menyertainya. Di samping itu, Petronas akan menggunakan kemudahan
Institut Kemahiran Belia Negara di Pengerang, Johor untuk melatih seramai 300
orang belia menjelang akhir tahun ini dalam bidang minyak dan gas bagi memenuhi
keperluan projek RAPID.
70. Kerajaan sedar tentang pelajar miskin
masyarakat India, terutamanya dari estet-estet yang tidak memperolehi keputusan
yang baik dalam peperiksaan dan tidak berpeluang untuk mendapat pekerjaan.
Selaras dengan itu, Kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak 50 juta
ringgit untuk melatih 3,200 pelajar masyarakat India bagi memperlengkapkan
mereka dengan kemahiran, selaras permintaan pasaran. Latihan ini akan
dikendalikan oleh Institut Latihan Perindustrian dan kolej-kolej di bawah Skim
Latihan Dual Nasional
71. Bagi memastikan golongan pekerja swasta
adalah sentiasa sihat dan produktif dalam menyumbang kepada pembangunan
syarikat dan ekonomi negara, aspek kesihatan mesti diberi keutamaan. Untuk ini,
PERKESO akan menyediakan peruntukan sebanyak 200 juta ringgit bagi membolehkan
ahlinya seramai 1.4 juta orang menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma
di hospital Kerajaan atau klinik panel PERKESO. Pemeriksaan kesihatan ini
bertujuan untuk mengesan penyakit tidak berjangkit, kepada semua pekerja yang
berumur antara 40 hingga 55 tahun.