Guru wanita mati di sisi bayi menangis

utusanperak@utusan.com.my.

BAGAN DATOH 14 Sept. - "Luluh hati saya apabila melihat dia kaku tidak bernyawa dengan anaknya yang berusia tujuh bulan menangis teresak-esak sambil memeluk ibunya".

Begitu luahan seorang guru yang menemui rakan setugasnya itu di Kuarters Sekolah Sains Bagan Datoh di sini yang mati disyaki akibat serangan jantung, kelmarin.

Mayat Normaya Mokhtar, 33, yang mengajar bahasa Jepun di sekolah itu hanya ditemui kira-kira pukul 7.30 pagi semalam oleh Siti Fairouz Saikhudin, 30, selepas merasa curiga apabila mangsa tidak menjawab khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantarnya sejak kelmarin.

Menurut Siti Fairouz, lebih menimbulkan tanda tanya apabila panggilan dan ketukan pintu rumah mangsa juga tidak berjawab.

Bimbang dengan keadaan tersebut, Siti Fairouz berkata, dia berusaha memasuki rumah mangsa dan akhirnya berjaya membuka pintu dengan menggunakan kunci yang dijumpai di bawah pelapik kaki di hadapan rumah Normaya.

"Sejurus pintu dibuka, saya lihat Normaya dalam keadaan terlentang dan bila saya periksa, dia tidak bernyawa lagi. Ketika itu anaknya, Muhamad Ziqri dalam keadaan sangat lemah dan mukanya bengkak kerana menangis terlalu lama.

"Patutlah panggilan dan SMS yang saya hantar banyak kali kepadanya langsung tidak berjawab. Rupa-rupanya dia sudah tiada," katanya yang tinggal berhampiran rumah mangsa.

Siti Fairouz percaya mangsa mungkin telah meninggal dunia sehari sebelum itu iaitu semasa majlis rumah terbuka yang dianjurkan pihak sekolah dan mangsa tidak menghadirkan diri.

Katanya, sejurus mayat Normaya dijumpai, dia memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah, keluarga mangsa serta suami mangsa yang bekerja sebagai tukang masak di Johor Bahru.

"Arwah seorang yang baik dan peramah serta suka membantu rakan-rakannya. Saya terkilan kerana sebelum itu dia ada meminta saya memasakkan nasi himpit dan kuah kacang untuknya.

"Malangnya, sebelum sempat saya menunaikan hajatnya itu, dia telah pergi dulu," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Mohamad Zaki Harun ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

Katanya, mangsa dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung.

Mayat mangsa dikebumikan di Rancangan Perumahan Tersusun Batu Gajah dekat sini kira-kira pukul 4 petang semalam.

SK Permatang Tok Kandu guna 20,675 tutup botol hasil logo 1Malaysia

BUKIT MERTAJAM 14 Sept. - Sekumpulan guru dan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Tok Kandu di sini berjaya menghasilkan logo gergasi 1Malaysia menggunakan 20,675 penutup botol.

Guru Besar sekolah tersebut, Mohd. Shukri Abd. Rahman berkata, pihaknya mengambil masa 13 hari untuk menyiapkan logo berukuran 7.8 meter panjang dan lima meter lebar itu.

"Proses pengumpulan penutup botol minuman dilakukan selama sebulan iaitu sepanjang Ogos lalu dengan kerjasama guru, ibu bapa dan murid-murid.

"Kerja-kerja menyiapkan logo 1Malaysia bermula dari 1 hingga 13 September lalu melibatkan 480 murid tahun tiga, empat, lima serta guru," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran Kolaj 1Malaysia di sini hari ini.

Hadir sama Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Unit Sekolah Menengah, Jabatan Pelajaran negeri, Zambri Ismail.

Mohd. Shukri memberitahu, kolaj 1Malaysia itu adalah hasil cetusan idea guru sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini.

Tambahnya, aktiviti itu juga bersempena projek kitar semula sekolah berkenaan yang dilancarkan pada 28 Februari lalu.

http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20120915/pe_01/SK-Permatang-Tok-Kandu-guna-20,675-tutup-botol-hasil-logo-1Malaysia

Festival Pendidikan di Kluang 28 September

JOHOR BAHRU 15 Sept. - Orang ramai dijemput memeriahkan Festival Pendidikan anjuran Pejabat Pelajaran Daerah Kluang di Dataran Tasek Putih, Kluang, di sini bermula 28 September ini.

Sempena festival yang bertemakan 30 Tahun Menerajui Pendidikan itu, turut diadakan pesta buku bermula 25 hingga 30 September ini.

Program yang bermula pukul 8 pagi hingga 10 malam setiap hari itu dijadual dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Hou Kok Chung.

Antara aktiviti yang diadakan sepanjang festival itu adalah pameran lukisan kanak-kanak pra sekolah, senamrobik, berbasikal, persembahan kebudayaan, pameran pendidikan khas dan institusi pengajian tinggi (IPT).

http://www.utusan.com.my/utusan/Johor/20120916/wj_04/Festival-Pendidikan-di-Kluang-28-September

STATISTIK (Data pada 31 Jan 2012)

Bilangan Sekolah

Rendah 7,723
Menengah 2,296
Jumlah 10,019


Bilangan Murid (Enrolmen)

Prasekolah 186,298
Rendah 2,804,405
Menengah 2,281,775
Jumlah 5,272,478

Bilangan Guru

Lelaki Perempuan
Rendah 72,266 164,047
Menengah 55,155 121,252
Jumlah 127,421 285,29

MOSTI sedia kerjasama dengan Kementerian Pelajaran jayakan Pelan Pembangunan Pendidikan

18/09/2012

KUCHING: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedia bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran dalam menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan (2013-2025).

Menterinya, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili, berkata pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Pelajaran bagi mengenal pasti keperluan yang boleh disediakan kepada sekolah yang memerlukan bantuan serta sokongan daripada MOSTI.
"Untuk sekolah di pedalaman khususnya di Sabah dan Sarawak memang memerlukan teknologi seperti wifi ataupun sistem solar untuk membekalkan tenaga elektrik dan MOSTI boleh berbincang untuk mengadakan kerjasama dengan Kementerian Pelajaran," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis perasmian Karnival Sains dan Inovasi Zon Sarawak di sini, hari ini.

Maximus berkata, MOSTI juga akan terus giat mempromosikan bidang sains dan teknologi kepada generasi muda melalui beberapa program yang sudah dan akan dilaksanakan.

Katanya, program seperti karnival sains dan inovasi di seluruh negara itu boleh mendekatkan lagi rakyat khasnya golongan muda dalam bidang tersebut melalui beberapa aktiviti perkongsian ilmu berasaskan sains, kreativiti dan inovasi.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles

Menjelang Bajet 2013: Bajet utamakan pendidikan

Ipoh: Sektor pendidikan dijangka terus menerima peruntukan terbesar Bajet 2013, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata, sektor itu antara fokus utama bajet terutama dalam menjayakan apa yang terkandung dalam Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
“Biasanya bidang pendidikan menjadi fokus terutama sekarang kita nak buat transformasi pendidikan.

“Kita tahu dalam kita nak mempertingkatkan atau membuat perubahan struktur ekonomi itu memerlukan pengetahuan dan skil berbeza pada masa sekarang serta akan datang, jadi fokus kita (peruntukan disediakan) dalam bidang pendidikan akan diberi keutamaan dan biasanya jumlahnya begitu besar,” katanya.

Husni bagaimanapun enggan mengulas sama ada sektor itu akan menerima peruntukan sama seperti tahun lalu iaitu RM50.2 bilion atau bertambah. Beliau juga enggan menyebut kementerian mana dijangka mendapat tambahan ketara peruntukan bajet.

Beliau ditemui selepas merasmikan Perhimpunan Pemimpin-Pemimpin Parlimen Barisan Nasional (BN) Tambun sempena Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian itu di Kolej Sains Bersekutu Hulu Kinta, Tanjung Rambutan, dekat sini, semalam.

Husni berkata, keutamaan bajet juga bagi memperkukuhkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) selain menjaga kepentingan masyarakat ketika ekonomi dunia tidak stabil kini.
Kerjasama awam-swasta

“Kita juga memberi fokus kepada pembangunan dan sudah ada peruntukan untuk pembangunan. Kita juga sudah memperkenalkan kerjasama awam-swasta) dan oleh kerana ada kerjasama ini, sektor swasta akan membiaya sebahagian besar pembangunan.

“Maknanya, setiap RM1 yang kita (kerajaan) belanja kadang-kadang kita boleh mendapat hingga RM3 atau RM4 pembabitan swasta. Jadi, RM1 itu ada kesan berganda yang besar kepada pembangunan negara,” katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Bajetutamakanpendidikan/Article/