IMEJ mahasiswa yang terjejas dengan pelbagai
isu, kini dipersoalkan lagi dengan kehadiran ragam mahasiswa berperwatakan
lembut yang dilihat semakin ketara sejak akhir-akhir ini.
Biarpun bukan ancaman, kehadiran mereka ada
kalanya kurang disenangi mahasiswa lain hingga wujud 'pergeseran' dalam diam.
Ditambah lagi dengan sikap mahasiswa berkenaan
yang dikatakan boleh berlagak 'selamba', bermulut laser dan tidak kisah dengan
pandangan serong orang sekeliling, ia dikhuatiri boleh menimbulkan konflik
berpanjangan.
Namun, benarkah golongan mahasiswa itu
mengganggu pandangan serta mengusik perasaan mahasiswa lain?
Atau, adakah ada penyebab lain mengapa mereka
tidak selesa dengan kehadiran golongan berkenaan?
Pengarah Pusat Inovasi Keusahawanan dan
Pembangunan Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Mohammad
Shatar Sabran berkata, kehadiran golongan itu tidak wajar dijadikan isu kerana
mereka juga berhak memperoleh pendidikan.
Beliau berkata, penampilan individu menjadi
hak eksklusif diri sendiri yang tidak boleh dipersoalkan dan masing-masing
mempunyai cara tersendiri untuk menampilkan diri.
"Walaupun kehadiran mahasiswa begini
kurang disenangi pihak tertentu, mereka masih mempunyai hak memperoleh
pendidikan atau apa saja kebebasan selagi masih menuruti undang-undang.
"Jadi, jangan anggap kehadiran mereka
sebagai gangguan biarpun ada yang tidak suka. Kita tidak berhak memberi label
atau penarafan berpandukan fizikal semata-mata.
"Malah institusi pengajian tinggi juga
bersikap terbuka dan menganggap mereka sama seperti mahasiswa lain. Asalkan
masih mengikut peraturan, tiada diskriminasi untuk menuntut ilmu, "
katanya.
Senario mahasiswa berperwatakan lembut yang
kian membanjiri pelbagai institusi pengajian tinggi hari ini bukan janggal
malah sudah lama wujud.
Namun, sikap kurang terbuka masyarakat untuk
menerima kehadiran mereka menjadi antara punca golongan terbabit seolah-olah
dipinggirkan.
Lebih menyedihkan apabila wujud suara sumbang
mengatakan mereka antara punca terjadinya gejala sosial di kalangan generasi
muda.
Beliau yang menjalankan kajian mengenai
permasalahan berkenaan pada 2008, bagaimanapun menafikan mahasiswa lembut
adalah golongan bermasalah.
"Memang tidak dinafikan, secara luaran,
kehidupan mereka nampak 'bermasalah' kerana meniru perwatakan gender berlawanan
namun keseluruhannya bukan begitu.
"Hanya segelintir terbabit dan mereka
terdorong melakukannya kerana beberapa faktor tertentu seperti pengaruh rakan,
didikan keluarga juga persekitaran.
"Boleh disimpulkan mereka sama seperti
mahasiswa normal lain yang menjalani kehidupan biasa biarpun secara fizikal,
masyarakat melihatnya sebagai sesuatu yang kurang wajar," katanya.
Beliau turut tidak menafikan kehidupan
mahasiswa itu cukup mencabar dalam mengharungi dunia kehidupan di kampus.
"Ini kerana mereka berdepan dengan
diskriminasi atau penolakan hanya kerana penampilan digayakan. Tanpa memberi
ruang golongan terbabit menunjukkan kebolehan diri, mereka ditafsirkan memang
bermasalah.
"Sebenarnya, mahasiswa ini sangat
memerlukan sokongan bagi memperbetulkan keadaan.
"Malangnya, masyarakat menolak mereka
menjadikan mahasiswa berperwatakan lembut ini tiada pilihan selain mendapat
sokongan kumpulan senasib," katanya.
Bagaimanapun, sesuatu yang istimewa ialah
biarpun berdepan penolakan itu, jiwa mereka kental dan kebanyakan mereka
tergolong dalam kategori pelajar cemerlang.
"Hanya kerana penampilan fizikal yang
sedikit berbeza, masyarakat terus memberi penilaian serta menjadikannya sebagai
sasaran pengecualian interaksi sosial.
"Golongan ini seolah-olah tidak mendapat
keadilan kerana hanya dinilai secara luaran sedangkan mungkin mereka ada niat
berubah tapi tidak mendapat kekuatan sokongan orang lain.
"Sikap masyarakat yang suka menghukum
tanpa memberi peluang atau menunjukkan jalan yang betul juga adalah antara
penyebab mereka tidak mahu berubah malah boleh berpaling pada jalan
salah," katanya.
Ditanya mengenai pendirian institusi, katanya
institusi berperanan menjalankan tanggungjawab utama iaitu memberi pendidikan
sama rata kepada mereka yang memenuhi syarat tanpa prejudis.
Menurutnya, tiada diskriminasi dalam memberi
ilmu kepada sesiapa yang
ingin belajar dan institusi tidak pernah
memberi syarat atau melabel mahasiswa tertentu.
"Yang penting setiap mahasiswa tertakluk
pada peraturan. Sesiapa saja jika melakukan kesalahan akan dihukum dan
dikenakan tindakan selaras peraturan sedia ada.
"Bagaimanapun, adalah sesuatu yang sangat
baik jika mereka mahu mengubah penampilan. Ini juga satu proses pembelajaran
berterusan untuk membina masa depan.
"Apapun, ini hak setiap individu dan
institusi tidak boleh campur tangan sewenangnya. Walaupun mungkin salah pada
pandangan kita, namun mungkin tidak pada orang lain," katanya.
No comments:
Post a Comment