KUALA LUMPUR - Seramai 2,313 murid miskin termasuk
925 daripada keluarga miskin tegar akan ditawar ke Tingkatan Satu, Sekolah
Berasrama Penuh (SBP) tahun depan dengan diberi bantuan oleh Kementerian
Pelajaran.
Menurut Bahagian Pengurusan SBP dan Sekolah Kecemerlangan
Kementerian Pelajaran, mereka merupakan antara 7,710 murid yang dipilih bagi
ditempatkan di Tingkatan Satu SBP.
Murid daripada keluarga miskin tegar yang akan
dipilih perlu mempunyai sekurang-kurangnya 3A 2B dalam Ujian Pencapaian Sekolah
Rendah (UPSR) 2012, menurut kenyataan bahagian tersebut hari ini.
Ia berkata kementerian telah menerima 105,357
permohonan untuk kemasukan ke Tingkatan Satu SBP, dengan seramai 62,338 pemohon
terdiri daripada murid perempuan dan 43,019 murid lelaki.
Tempat yang diperuntukkan ialah untuk seramai
7,710 murid, 3,645 untuk murid perempuan dan 4,065 murid lelaki, menurut
kenyataan tersebut.
"Dasar pengambilan murid ke SBP memberi
keutamaan kepada murid yang berasal dari sekolah pedalaman dan luar bandar.
Justeru itu Kementerian Pelajaran akan menawarkan sekurang-kurangnya 5,397 atau
70 peratus tempat kepada para pelajar yang berasal dari sekolah pedalaman dan
luar bandar," menurutnya.
Menurut kenyataan itu, keputusan pemilihan dan
penempatan murid ke Tingkatan Satu SBP akan diumumkan selewatnya 16 Disember
depan.
Keterangan lanjut boleh diperoleh di laman web
www.moe.gov.my dan murid yang ditawarkan juga akan dimaklumkan melalui khidmat
pesanan ringkas (SMS). - Bernama
No comments:
Post a Comment