http://www.hmetro.com.my

SISWAZAH PENDIDIKAN TERUS TERANIAYA

Siswazah pendidikan terus teraniaya lantaran kegagalan kerajaan membuat kajian terperinci tentang keperluan guru di negara kita. Sekarang ini terdapat kira-kira 10,000 siswazah pendidikan yang menamatkan pengajian dari IPTA masih belum mendapat tempat untuk memulakan tugas masing-masing.

Kementerian Pelajaran gagal menyediakan tempat untuk graduan ini menjadi guru di sekolah-sekolah kerajaan atau institusi pendidikan kerajaan yang lain. Kementerian itu lebih mengutamakan graduan dari Institut Pedidikan Guru (IPG) kendalian Kementerian Pelajaran di mana semua-semua siswazah dari IPG mendapat tempat mengajar selepas tamat pengajian mereka. Persoalannya apakah graduan pendidikan dari IPTA lain tidak berkualiti sehingga mereka dikesampingkan?

Kita juga hairan dan pelik bagaimana kerajaan khususnya Kementerian Pengajian Tinggi boleh menawarkan tempat di IPTA untuk kursus pendidikan jika sekiranya tiada tempat untuk graduan ini bekerja selepas mereka tamat pengajian. Bukankah lebih baik mereka ini ditawarkan dengan kursus-kursus lain yang mungkin mempunyai peluang lebih cerah untuk mendapat pekerjaan atau memulakan perniagaan sendiri selepas tamat pengajian.

Isu ini bukannya kali pertama berlaku malah telah puluhan tahun berlaku di mana Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran seolah-olah lepas tangan tidak mahu bertanggungjawab. Apa yang mereka tahu ialah menyediakan tempat untuk kursus pendidikan tanpa memikirkan peluang pekerjaan selepas siswazah ini menamatkan pengajian masing-masing.

Kita mendesak supaya Menteri Pengajian Tinggi dan Menteri Pelajaran, meletakkan jawatan kerana kegagalan mereka menyelesaikan isu setelah lebih puluhan tahun berulang.

PERANAN GURU DALAM MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA



Oleh ZAITUL AZMA ZAINON HAMZAH

Guru sebagai tunjang dalam sistem pendidikan negara merupakan factor utama yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan sesuatu program pendidikan. Ekoran daripada itu, keberhasilan program pendidikan negara yang menjurus kepada pengisian wawasan pendidikan juga terletak di tangan guru. Sejajar dengan itu, guru yang berdedikasi, bermotivasi berdaya gigih, mempunyai komitmen yang tinggi dan semangat yang padu amat diperlukan untuk merealisaskani cita-cita pendidikan negara ini di samping memenuhi tuntutan kecemerlangan dan melonjak transformasi pendidikan negara ke arah wawasan pendidikan menjelang tahun 2020. Hal ini juga bertepatan dengan dengan tema sambutan Hari Guru pada tahun ini, iaitu “Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara”.
Di samping itu, untuk Malaysia mencapai taraf negara maju pada abad ke-21, Malaysia memerlukan warganegara yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang matematik serta sains dan teknologi. Murid perlulah diberi peluang dan kesedaran untuk mempelajari dan menguasai mata pelajaran yang berasaskan sains dan teknologi. Hal ini sejajar dengan pendapat Peter F. Druker dalam Post Capitalist Society, iaitu yang menyatakan masa hadapan perkembangan ekonomi perindustrian dan perdagangan sesebuah negara ditentukan oleh para pekerjanya yang menggunakan kekuatan mental dan bukannya kemahiran tenaga semata-mata. Oleh itu, setiap tenaga pekerja yang dihasilkan perlulah berilmu dan mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan sains dan teknologi. Hal ini secara tidak langsung membuktikan bahawa pendidikan menjadi dalam proses perindustrian tinggi.

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa Mei 2012

PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA DI LANCAR


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menggariskan 11 anjakan strategik dan operasi untuk mengubah sistem pendidikan negara.
Laporan awal pelan itu yang memaparkan visi sistem pendidikan dan pelajar yang Malaysia perlu dan berhak miliki, memperincikan anjakan yang diperlukan untuk mencapai objektif tersebut. 
Terdahulu laporan berkenaan dibentang Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini.

Menurut dokumen itu, Kementerian Pelajaran berharap usaha tersebut akan memperjelaskan kepada masyarakat usaha mengubah sistem pendidikan negara dan akan mendapatkan maklum balas daripada komuniti mengenai laporan awal berkenaan sebelum pelan dimuktamadkan pada Disember ini.

Proses transformasi sistem pendidikan akan dilaksana dalam tempoh 13 tahun dengan Gelombang 1 (2012-2015) menumpukan kepada usaha memperbaiki sistem dengan memberi sokongan guru dan tumpuan kepada kemahiran asas; Gelombang 2 (2016-2020) pula mempercepatkan penambahbaikan sistem; dan Gelombang 3 (2021-2025) ke arah kecemerlangan menerusi operasi yang lebih fleksibel.

Pelan itu menyasarkan hasil pada lima aspek iaitu akses, kualiti, kesaksamaan, perpaduan dan kecekapan.

Pelan turut menyasarkan pembangunan pelajar yang memiliki enam sifat utama untuk membolehkan mereka bersaing di peringkat global iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran diwbahasa, beretika dan beragama, serta beridentiti kebangsaan.


Sebelas anjakan yang digariskan kementerian ialah:

1. Menyediakan akses sama rata untuk pendidikan berkualiti dengan standard
antarabangsa;

2. Memastikan setiap pelajar fasih dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris;

3. Membangunkan rakyat Malaysia yang dipacu nilai murni;

4. Menjadikan perguruan sebagai profesion pilihan;

5. Memastikan pemimpin sekolah berprestasi tinggi di setiap sekolah;

6. Memperkasakan Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan
sekolah untuk menyelesaikan isu mengikut keperluan;

7. Memanfaatkan teknologi komunikasi dan maklumat untuk meningkatkan kualiti
pembelajaran di seluruh Malaysia;

8. Menambah baik keupayaan penyampaian dan kapasiti kementerian;

9. Bekerjasama dengan ibu bapa, masyarakat dan sektor swasta;

10. Memaksimumkan kemenjadian pelajar bagi setiap ringgit yang dibelanja;

11. Meningkatkan ketelusan untuk kebertanggungjawaban umum.


Laporan itu juga menyatakan Kementerian Pelajaran melancarkan semakan menyeluruh sistem pendidikan pada Oktober 2011 bagi membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan baharu tersebut.

Menurut laporan itu, keputusan tersebut dibuat dalam konteks peningkatan standard pendidikan antarabangsa, aspirasi kerajaan untuk mempersiapkan kanak-kanak di Malaysia dalam menghadapi abad ke-21 serta harapan menggunung masyarakat serta ibu bapa terhadap dasar pendidikan.

Dalam tempoh setahun, lebih 50,000 pegawai kementerian, guru, pengetua, ibu bapa, pelajar dan orang ramai dilibatkan dalam pelbagai bentuk perbincangan.

Kementerian juga melantik panel 12 pakar tempatan dan sebuah panel empat pakar antarabangsa bagi memberi input mengenai hasil semakan. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/11



GURU MENGAJAR ILMU


Ilmu adalah pengetahuan tentang hakikat sesuatu. Ilmu memandu manusia berfikir dengan baik. Kehebatan ilmu mampu menundukkan nafsu jika ia didasari keimanan. Ketajaman ilmu mampu membunuh kesangsian. Ilmu mampu menghapuskan kejahilan dan kemudaratan. Ilmu juga mampu menghindari kemunduran dan kelemahan.
Kehebatan akal yang mampu berfikir dengan cemerlang,akan melahirkan hikmah daripada ilmu. Jika ilmu adalah jasad hikmah pula adalah nyawa. Jika ilmu adalah apa yang tersurat hikmah pula adalah falsafah yang tersirat.
“TUGAS UTAMA GURU ADALAH MENGAJARKAN ILMU,
AJAR MEREKA SUPAYA MENCINTAI ILMU”
Bukankah Saidina Ali pernah mengatakan dalam kata-katanya yang masyhur ketika membandingkan antara ilmu dengan harta.
“ Ilmu itu lebih baik daripada harta,ilmu menjaga engkau dan engkau penjaga harta. Ilmu itu dapat menjaga tuannya tetapi  harta itu dijaga oleh tuannya.” Berapa ramai orang yang terpaksa menjaga hartanya sedangkan ilmu bersusah payah menjaga dan menyelamatkan tuannya.
Ilmu itu penghukum (hakim)  dan harta itu terhukum. Ilmu yang akan menghakimi atau menentukan antara yang hak dengan yang batil,antara yang asli dengan yang palsu,antara yang mulia dengan yang hina,sedangkan harta ia dihakimi sama ada halal atau haram,baik atau buruk.
Ilmu bertambah bila dibelanjakan harta itu berkurang apabila dibelanjakan. Ilmu itu semakin digunakan  dan diajar kepada orang semakin bertambah berkat,bertambah kemahiran si pemiliknya. Sebaliknya  harta  semakin kita menggunakannya ia semakin berkurang dan lama kelamaan habis.
Semakin banyak ilmu semakin banyak kawan semakin banyak harta semakin banyak lawan. Orang ilmu semakin didekati,didampingi,dijadikan rujukan dan dijadikan kawan adapun orang yang semakin banyak harta semakin banyak musuhnya. Semakin diintai oleh si pencuri yang mencari peluang mengambil hartanya,si pendengki yang mengharapkan kehilangan hartanya.
Kalau kail panjang sejengkal jangan lautan hendak diduga. Maka, kalau kail itu belum cukup panjang kenapa tidak diusahakan memanjangkannya. Justeru persiapi diti kita sebagi guru dengan segala ilmu dan kemahiran yang perlu.
Guru seharusnya berusaha untuk menjadi seorang yang menguasai bidang yang di ajar. Penguasaan ilmu dapat diperolehi melalui pengamalan ilmu. Mengamalkan ilmu tidak semudah menyampaikannya. Penyampai perlu menghayati dan mempraktikannya dahulu sebelum  bijak membicarakannya di ahadapan pelajarnya. Jika kita kotakan apa yang kita ajarkan sudah asti banyak hikmah yang melimpah.
Bukankah guru yang baik adalah guru yang sentiasa menjadi ikutan pelajarnya. Jika guru boleh menjadi model baik sudah pasti pelajar dilahirkan nanti bijak dan berakhlak mulia.
RASULULLAH SAW PERNAH BERSABDA:
APABILA MATI SESEORANG ANAK ADAM MAKA TERPUTUSLAH AMALANNYA MELAINKAN TIGA PERKARA IAITU : SEDEKAH JARIAH,ILMU YANG DIMANFAATKAN DAN DOA ANAK YANG SOLEH
(HR BUKHARI,TARMIZI & NASA’I)
Betapa besarnya asaham seorang guru yang mengajarkan ilmu kepada orang lain kemudian orang tersebut mengajarkan pula ilmu itu kepada orang lain seterusnya proses ini akan berterusan. Demikian juga pahalanya akan terus mengalir buat guru yang mengajarkannya walaupun telah lama meninggal dunia.
GURU YANG MENGAJAR ILMU BAGAI TERLIBAT DALAM MLM,MLM YANG DIMAKSUDKAN DISINI BUKAN MULTI LEVEL MARKETING TETAPI MANUSIA LAHIRKAN MANUSIA YANG BERJIWA MANUSIA DAN BERSIFAT MANUSIA KERANA ADA JUGA MANUSIA TETAPI BERJIWA HAIWAN

BIAR KITA MENJADI GURU KERANA SUKA
BUKAN SUKA-SUKA MENJADI GURU




PELAN PENDIDIKAN BARU BAKAL DILANCAR


Oleh : NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my

PADA Selasa ini, satu peristiwa bersejarah bakal dilakarkan apabila dilancarkan laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) 2013-2025.
Laporan awal itu yang akan dilancarkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bertujuan menghasilkan modal insan unggul, kreatif, berkemahiran tinggi dan berdaya saing di peringkat antarabangsa melalui sistem pendidikan yang berkualiti dan bertaraf dunia.Selepas pelancaran laporan awal dalam bentuk dokumen itu yang mengandungi pandangan, cadangan dan maklum balas untuk mempertingkatkan sistem pendidikan negara, ia akan dipaparkan untuk dilihat orang ramai.Orang ramai boleh meneliti dokumen awal tersebut dan mengemukakan pelbagai cadangan tambahan sebelum ia dimuktamadkan pada penghujung tahun ini.
Sebahagian daripada cadangan itu diperoleh daripada Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012 yang telah diadakan di seluruh negara dengan dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Wan Mohd. Nordin.Sesi dialog itu telah membolehkan segenap lapisan masyarakat seperti golongan petani, pemandu teksi, pekerja kilang, peniaga, warga pendidik hinggalah kepada pelbagai latar belakang kumpulan profesional mengemukakan cadangan.
Selain dialog, pandangan juga diperoleh melalui Twitter, Facebook dan laman-laman web. Ia juga mengambil kira pandangan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Bank Dunia, hasil kajian 12 panel bebas, empat panel antarabangsa yang dilantik, laporan daripada enam Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan sembilan makmal pendidikan.
Dokumen awal PPP itu akan memaparkan pelbagai cadangan yang melibatkan sembilan bidang utama yang dianggap kritikal untuk mentransformasi pendidikan negara dan perlu diberikan perhatian oleh kerajaan.
Pertama, memartabatkan profesion keguruan. Untuk itu, Kementerian Pelajaran akan memberi fokus kepada usaha meningkatkan kualiti guru melalui pengambilan calon-calon guru yang memiliki keputusan akademik cemerlang serta meningkatkan kualiti latihan praperkhidmatan dan dalam perkhidmatan untuk guru.Di samping itu, kementerian akan menambah bilangan guru dengan nisbah satu guru bagi setiap 13 murid, iaitu melebihi purata antarabangsa satu guru bagi setiap 16 murid.
Kedua, meningkat kualiti kepimpinan sekolah. Antara kaedah yang dilaksanakan adalah memberikan ganjaran kepada pengetua dan guru besar yang menunjukkan pencapaian cemerlang dalam meningkatkan prestasi sekolah.Ia juga melibatkan langkah memperkenalkan kaedah pemilihan pengetua dan guru besar berasaskan merit dan pelan peralihan kepimpinan sekolah yang berkesan.
Ketiga, meningkatkan kualiti sekolah yang sekali gus akan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran. Antara ciri-ciri sekolah berkualiti adalah yang mempunyai kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).Untuk tujuan ini, kerajaan akan meningkatkan kemudahan ICT kepada sekolah termasuk kemudahan jalur lebar dan internet berkelajuan tinggi bagi memudahkan murid mengakses maklumat di dunia maya.
Keempat, memantapkan kualiti kurikulum dan pentaksiran untuk menyediakan modal insan abad ke-21.Keutamaan yang diberikan adalah untuk membina satu kurikulum yang memenuhi piawaian antarabangsa dengan menekankan aspek kemahiran kreatif, penyelesaian masalah dan inovasi yang merupakan ramuan utama untuk melahirkan modal insan yang mampu untuk bersaing di peringkat global.
Kelima, meningkatkan penguasaan pelbagai bahasa di kalangan murid. Ia akan dilaksanakan tanpa menjejaskan kepentingan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di negara kita.Langkah meningkatkan penguasaan bahasa ketiga seperti Mandarin, Tamil, Arab dan bahasa-bahasa antarabangsa lain adalah selaras dengan kemunculan kuasa baru ekonomi dunia yang sebahagiannya bertumpu di negara-negara Asia.
Keenam, menekankan penglibatan ibu bapa, sektor swasta dan masyarakat sebagai rakan kongsi dalam pendidikan.Satu aspek yang diberikan penekanan dalam kajian semula pendidikan ini adalah peranan pihak berkepentingan di luar lingkungan sekolah untuk berganding bahu dengan pihak sekolah dalam usaha meningkatkan pencapaian murid.
Ketujuh, meningkatkan kesediaan murid untuk merebut peluang dalam pendidikan tinggi dan pasaran kerja. Pelan pendidikan baru ini akan melengkapkan pelajar dengan ilmu dan kemahiran yang akan membolehkan mereka memasuki pasaran kerja dalam sektor yang berdaya saing.
Untuk tujuan itu, di samping menguasai literasi dan numerasi, murid-murid akan dilengkapkan dengan kemahiran abad ke-21 seperti kualiti kepimpinan, kemahiran menyelesaikan masalah, pemikiran aturan tinggi (higher order thinking) dan kebolehan berkomunikasi dengan berkesan.
Kelapan, memperbaiki kecekapan dan keberkesanan pengurusan sumber. Ini bermakna, Kementerian Pelajaran akan mengurus sumber dengan cekap bagi mengelakkan ketirisan dan pembaziran serta memastikan sumber diagih secara optimum agar pulangan yang maksimum terhasil daripada setiap ringgit yang dibelanjakan untuk pendidikan.
Kesembilan, membina kemampuan serta keupayaan sistem penyampaian pendidikan. Ini bermakna, kualiti kepimpinan dan susunan urus tadbir kementerian akan diberikan perhatian yang utama dalam usaha untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan fungsi pegawai di setiap peringkat.
Ia akan melibatkan kira-kira 10,000 pegawai di peringkat kementerian, 6,000 di peringkat negeri, 4,000 di peringkat daerah dan 420,000 guru di sekolah.
Kepada orang ramai yang sedang menanti-nantikan pelancaran laporan awal PPP, marilah kita sama-sama mengemukakan pelbagai cadangan membina supaya ia menjadi pelan pendidikan yang melambangkan aspirasi rakyat seluruhnya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

GURU JUTAWAN AKHIRAT

GURU JUTAWAN AKHIRAT”.,,seindah nama yang diberikan, sudah cukup untuk menarik perhatian dan mengetuk pintu hati seorang guru, malah akan terpaggil untuk menelitinya, menghayatinya dan mengamatinya. Tajuk ini, kalau tidak diulas sekalipun, sudah cukup untuk menggambarkan habuan yang amat lumayan bakal diterima oleh seseorang guru, malah satu harapan masa hadapan yang cukup besar, ganjaran yang diimpikan oleh seorang yang beriman,iaitu jannah atau syurga. Di situlah destinasi yang terakhir, tiada transit lagi. Itulah harapan dan matlamat hidup bagu sesiapa sahaja yang merasakan hidup di dunia ini adalah sebentar dan sementara. Justeru, seoarng ISLAM yang benar-benar beriman, akan sentiasa menjadikan syurga tempat kembali yang dirindui. Andai dipanjangkan umur kita sehingga ke detik persaraan wajib, kita mungkin telah mengabdikan diri dalam bidang keguruan ini mungkin melebihi 25 tahun; mengajar, mendidik , mengasuh, membimbing, mentadbir , mengurus dan seumpamanya. Namun, ada satu persoalan besar; apakah kita boleh masuk syurga dengan pekerjaan kita? Apakah kita tidak layak untuk masuk ke dalam syurga dengan tiket seorang guru?! Sudah ramai anak murid yang lahir dari tangan-tangan kita, sehingga mereka tahu baca dan tulis melalui kita. Kita bukan melahirkan seorang murid, malah ribuan murid. Apakh tidak cukup lagi untuk kita masuk syurga dengan tiket kita sebagai seorang guru? Kalau begitu, apakah kita yakin, kita dapat memiliki satu tiket ke syurga atas nama seorang guru? Apakah kita memang benar-benar seorang guru? Jika Allah menjadi guru yang pertama, DIA mengajar manusia apa yang tidak diketahui. Allah sendiri yang melakukan proses pengajaran kepada insan yang pertama iaitu Nabi Adam, di dalam syurga, pada tempat yang paling indah dan tenang. Demikianlah proses pertama kali manusia menerima ilmu. Betapa mulianya proses ini sehingga Allah sendiri bertindak sebagai guru pertama kepada manusia, tanpa mewakilkan proses taklim atau mengajar ini kepada malaikat untuk mengajar manusia. Guru, katakanlah dengan berani dan yakin, “saya ingin masuk syurga dengan tiket seorang guru!” laungkanlah supaya dunia akan mendengar cita-cita kami, bahawa kita adalah bakal jutawan akhirat yang akan menghuni syurga. Tempat yang amat terbentang, yang penuh dengan kenikmatan sehingga tidak boleh digambarkan kecantikannya dengan perkataan dan ucapan. Guru adalah insan yang amat mulia. Tidak kira apa mata pelajaran yang diajarnya, seorang guru tetap mempunyai kemuliaan dan kedudukan yang tersendiri di sisi Allah, asalkan dia seorang yang beriman. Ajarlah apa mata pelajaran sekalipun, asalkan ilmu yang disampaikan mendatangkan manfaat dan kebaikan, dia adalah seorang guru yang mulia!. Saya memanggil guru “wahai jutawan akhirat” kerana gelaran itu sudah dekat , hampir dapat dicapai oelh tangan, hampir ada orang yang memanggil kita dengan gelaran itu, kita telah berada pada landasan yang betul, landasan ini akan menuju ke syurga, perjalanannya sudah tidak jauh. Kita tidak ada banyak masa. Perkhidmatan kita semakin pendek. Umur 58 bukanlah satu jangka masa yang jauh. Amat malang jika kita tidak dapat masuk syurga dengan tiket seorang guru! Sedangkan kerjaya kita begitu mudah untuk masuk ke syurga,. Janganlah berpaling daripada kerjaya yang mulia ini. Jika kita bercita-cita menjadi seorang jutawan di dunia, guru bukanlah jalannya kerana 74 peratus jutawan di dunia ini adalah ahli perniagaan. Jika kita bercita-cita menjadi seorang yang berkuasa, guru bukan medannya, jika kita bercita-cita menjadi jutawan akhirat, jalannya terbentang luas. Kita telah berada di landasan yang betul. Ingatlah, sekali kita menjadi guru, selamanya akan dipanggil cikgu. Biarpun jasadnya telah dimamah bumi, kuburnya akan dikenali kubur cikgu. Moga bersemadilah guru-guru kita yang terdahulu, di alam barzakh, di dalam satu taman daripada taman-taman syurga. AL-FATIHAH..buat mereka.... http://syauqatuliman.blogspot.com