10,715 graduan guru diberi penempatan



KUALA LUMPUR 5 Okt. - Sebanyak 10,715 graduan Institut Pendidikan Guru (IPG) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam bidang pendidikan yang telah dan bakal menamatkan pengajian tahun ini, boleh menarik nafas legas apabila kerajaan memutuskan akan memberi mereka penempatan pada tahun depan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan berkenaan diambil setelah mengambil kira secara terperinci keperluan guru dalam jangka masa panjang seperti yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, pelantikan itu tertakluk pada mereka yang memenuhi syarat skim perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS), telah membuat permohonan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran dan berjaya dalam temu duga dikendalikan suruhanjaya itu.

"Sehubungan itu, graduan pendidikan keluaran IPG dan IPTA yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan yang menamatkan pengajian pada 2012 akan dilantik ke jawatan PPPS.

"Mengikut rekod Kementerian Pelajaran, seramai 10,715 penuntut program pendidikan telah dan akan menamatkan pengajian mereka pada tahun ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menjelaskan, sebanyak 2,960 graduan telah dikenal pasti menamatkan pengajian mereka sebelum 1 Julai 2012 dan telah dijadualkan untuk ditemu duga oleh SPP.
Pecahan mereka seperti berikut:

* Seramai 2,478 orang daripada program Jawi, al- Quran, Arab dan Fardu Ain (j-Qaf);

* Sejumlah 368 orang daripada program Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL);

* Sebanyak 90 orang daripada program Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) IPG dan IPTA, termasuk mereka daripada Program Pelajar Cemerlang (PPC);

* Seramai 14 orang daripada program Bahasa Perancis

* Sejumlah 10 orang calon mengulang temu duga berdasarkan keperluan opsyen.

Muhyiddin menjelaskan, sementara SPP menyelesaikan urusan temu duga, kementerian akan membuat penempatan secara interim bagi kumpulan berkenaan mulai 16 Oktober ini manakala pelantikan tetap adalah tertakluk pada keputusan temu duga oleh suruhanjaya itu.

Bagi kumpulan yang akan menamatkan pengajian mereka selepas Jun 2012 iaitu seramai 7,755 orang, ujarnya, mereka perlu mengemukakan permohonan untuk pelantikan ke jawatan PPPS Gred DG41 kepada SPP supaya penjadualan temu duga dapat disegerakan.

"Penempatan mereka yang lulus temu duga SPP akan dibuat pada 2013.

"Kepada mereka yang berjaya dan akan dilantik sebagai pendidik kelak, berkhidmatlah dengan jujur dan penuh dedikasi," kata beliau.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121006/dn_02/10,715-graduan-guru-diberi-penempatan#ixzz28bFHMagE
© Utusan Melayu (M) Bhd 

10,000 dijangka hadir Hari Terbuka IPG



KUALA TERENGGANU 4 Okt. - Lebih 10,000 pengunjung dijangka hadir memeriahkan Hari Terbuka Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Dato' Razali Ismail di sini yang berlangsung selama empat hari bermula semalam.

Pengarah kampus, Ghulam Sarver Mobarak Ali berkata, program yang dijalankan itu bagi mengeratkan hubungan antara pihaknya dengan masyarakat setempat selain untuk memberi pendedahan mengenai perkembangan kampus.

Dalam masa sama, katanya, usaha itu dapat menarik minat mereka untuk menyertai pelbagai aktiviti dirancang ke arah memantapkan pemikiran bakal guru dan komuniti setempat.

''Sebelum ini kami pernah menganjurkan beberapa program dengan hanya penglibatan dalam kalangan warga kampus.

''Namun, kali ini melibatkan masyarakat setempat dengan pelbagai pengisian seperti Malam Simfoni Islam, pertandingan mewarna, dikir barat, sukan rakyat, wacana minda, kursus asas imam dan bilal serta Pidato Piala Za'ba," katanya ketika ditemui.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Tepuh, Muhammad Ramli Nuh.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20121005/wt_03/10,000-dijangka-hadir-Hari-Terbuka-IPG#ixzz28bEPCv00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

APC perangsang kekal mutu perkhidmatan



JERANTUT 4 Okt. - Seramai 194 guru dan kakitangan sokongan sekolah di daerah ini menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2012 yang disampaikan di Dewan Bitara, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temin, di sini baru-baru ini.

Penyampaian anugerah berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Rosdi Ismail yang turut dihadiri oleh Pegawai Pejabat Pelajaran Daerah Jerantut, Adnan Abdul Kadir.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya beliau berkata, anugerah tersebut diharap mampu menjadi perangsang kepada penerima untuk mengekalkan mutu perkhidmatan mereka di sekolah.

"APC adalah pengiktirafan kerajaan terhadap kecemerlangan pekerja yang telah berusaha dengan bersungguh-sungguh serta memberi komitmen tinggi dalam meningkatkan kualiti kerja yang dipertanggungjawabkan.

"Anugerah ini adalah satu pemberian yang dapat membakar semangat warga pendidik dan kakitangan sokongan agar dapat meningkatkan mutu perkhidmatan ke tahap lebih baik," katanya.

Rosdi berkata, warga pendidik perlu memberi sumbangan idea yang kreatif dan inovatif dalam tugasan harian bagi mewujudkan satu suasana kerja yang kondusif.

"Warga pendidik perlu memperkasakan minda dan semangat untuk bertindak dengan penuh bijaksana dalam menangani setiap cabaran pendidikan," ujarnya.

Pada masa yang sama, para guru dan kakitangan sokongan hendaklah menjadikan kecemerlangan dan kualiti kerja sebagai satu budaya dalam perkhidmatan yang dilaksanakan secara profesional serta menjadi contoh kepada orang lain.

"Kecemerlangan murid berkait rapat dengan mutu kerja yang dilaksana di sekolah dan warga pendidik hendaklah sentiasa tekun dan sabar memberi tunjuk ajar kepada murid selain menangani sebarang masalah dengan bijaksana," jelasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20121005/wp_02/APC---perangsang-kekal---mutu-perkhidmatan#ixzz28bDwbswV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lantik guru sertai PVR



KUALA LUMPUR 4 Okt. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) bercadang melantik guru sekolah sebagai anggota Pasukan Sukarelawan Polis (PVR) bagi menangani masalah jenayah di kawasan sekolah terutama kes penculikan pelajar.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, dalam pembentangan Bajet 2013, kerajaan telah meluluskan penambahan 10,000 anggota PVR dengan peruntukan berjumlah RM70 juta.

Beliau berkata, penambahan anggota PVR membolehkan pasukan keselamatan itu meningkatkan kehadiran anggotanya di kawasan awam termasuk pusat beli-belah, kawasan perumahan dan sekolah dalam usaha mencegah jenayah.

"Kita mahu anggota polis bersifat omnipresence (terdapat di mana-mana) di lokasi yang menjadi tumpuan awam seperti pusat beli-belah, taman perumahan dan juga sekolah.

"Usaha tersebut diharap dapat membantu mencapai matlamat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) fasa kedua yang menyasarkan mahu mengurangkan kebimbangan masyarakat terhadap jenayah," katanya dalam temuramah bersama Utusan Malaysia di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Menurut Ismail, selain memberi fokus di tempat awam, pihaknya turut memberi perhatian terhadap sekolah kerana tidak mahu ibu bapa yang bekerja berasa bimbang tentang keselamatan anak-anak di sekolah.
Beliau berkata, polis memang memandang serius keselamatan di kawasan sekolah kerana tidak mahu kes penculikan menimpa kanak-kanak warga Belanda, Nayati Shamelin Moodlier sebelum ini, berlaku pada pelajar lain.

Ismail berkata, pelantikan guru sekolah sebagai anggota PVR akan meningkatkan kehadiran anggota polis di kawasan sekolah, sekali gus menyebabkan penjenayah tidak berani mendekati pelajar.

Katanya, guru-guru yang dilantik sebagai anggota PVR akan diberi uniform, dihantar menjalani latihan agar memahami undang-undang dan dibenarkan memilih waktu bertugas mengikut kesesuaian jadual mereka supaya tidak mengganggu tugas mengajar.

"Cadangan mengambil guru sekolah sebagai penambahan 10,000 anggota PVR menerusi Bajet 2013 akan dibincangkan secara lanjut dengan Ketua Pengarah Pelajaran dalam tempoh terdekat ini.

"Selain guru sekolah, kita juga merancang melantik anggota PVR di kalangan komuniti perniagaan seperti pemilik pusat beli-belah kerana pelantikan mereka secara langsung menyedarkan mereka tentang tanggungjawab menjaga keselamatan di premis masing-masing," ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, penyertaan kaum bukan Melayu terutama Cina dan India dalam kerjaya polis masih lagi rendah, meskipun kerajaan sudah memberikan pelbagai insentif untuk menarik minat mereka.
Beliau berasa sedih kerana penyertaan kaum Cina dan India dalam PDRM masih kecil sedangkan perkhidmatan mereka amat diperlukan dalam pasukan keselamatan itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121005/dn_07/Lantik-guru-sertai-PVR#ixzz28bCylyH0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Larangan bawa telefon bimbit ke sekolah kekal - TPM



Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peraturan larangan itu dinyatakan melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/2009.

Bagaimanapun beliau yang juga Menteri Pelajaran menegaskan, kementerian itu sedang mengkaji keperluan penggunaan gajet teknologi oleh murid dan pelajar di sekolah.

"Sehubungan itu, satu sesi perbincangan meja bulat telah diadakan pada 25 Ogos lalu melibatkan pihak-pihak berkepentingan iaitu kumpulan pengetua, guru besar, guru, ibu bapa dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Perbincangan meja bulat ini adalah bagi membincangkan keperluan pengguna gajet teknologi di sekolah dan cadangan berkaitan penggunaan gajet teknologi oleh murid dan pelajar di sekolah," katanya dalam jawapan bertulis kepada Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) pada sidang Dewan Rakyat hari ini. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121003/dn_21/Larangan-bawa-telefon-bimbit-ke-sekolah-kekal---TPM#ixzz28bCDqm00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Rakyat negara kita semakin gemar membaca



MARAN 1 Okt. - Persepsi kebanyakan masyarakat di negara ini malas membaca tidak lagi tepat berikutan semakin ramai menjadikan budaya membaca sebahagian daripada kehidupan mereka.Timbalan Pengarah Pelajaran Pahang, Rosdi Ismail berkata, rakyat negara ini semakin gemar membaca sekali gus membuang tohmahan buruk pihak tertentu tentang perkara tersebut.Jelasnya, momentum keghairahan masyarakat dalam membudayakan ilmu semakin menampakkan hasil berikutan kesungguhan kerajaan melalui Kementerian Pelajaran melaksanakan pelbagai langkah supaya menjadikan budaya membaca sebagai cara meningkatkan pengetahuan.

''Saya sangat gembira apabila perkara itu semakin meningkat setelah selama ini rakyat Malaysia dimomokkan sebagai rakyat malas membaca,'' katanyaBeliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Resensi Buku Bersama Pengarah Pelajaran Pahang peringkat negeri di Pejabat Pelajaran Daerah di sini baru-baru ini.
Rosdi berkata, program seperti itu secara tidak langsung merangsang para guru, ibu bapa dan pelajar menanamkan sikap membaca bagi mendalami mutiara ilmu yang terkandung dalam buku yang dibaca mereka.

Dalam pada itu, Guru Penolong Kanan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka Pusat, Mohd. Rozi Mat Sani memuji program tersebut kerana mengetengahkan aktiviti yang berinovatif bagi mengajak rakyat membaca.Katanya, program itu julung kali diadakan di negeri ini bagi merangsang pelbagai pihak meningkatkan penguasaan tersebut selain memberi ulasan terhadap sesuatu buku yang dibaca.

Bagi Guru Penolong Kanan SMK Jengka Pusat 2, Ismail Abas, kaedah itu akan menambah lagi minat dalam kalangan masyarakat yang kini purata membaca antara lapan hingga 12 buku setahun.
''Perkembangan itu menunjukkan satu langkah positif terhadap budaya membaca dalam kalangan masyarakat negara ini,'' katanya.

Guru Penolong Kanan SMK Jengka 16, Darussalam Taib berkata, dorongan daripada Pengarah Pelajaran Pahang dalam program itu merangsang para pelajar menjadikan perpustakaan sebagai 'sahabat' untuk mendapatkan maklumat.

Katanya, pertambahan minat membaca dalam kalangan rakyat banyak dipengaruhi oleh dasar kerajaan dan inovatif guru yang menjadikan minat membaca sebagai satu budaya hidup.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20121002/wp_02/Rakyat-negara--kita-semakin-gemar-membaca#ixzz28bBObojA
© Utusan Melayu (M) Bhd 

JPN P. Pinang siasat dakwaan ibu bapa anak dirotan

GEORGETOWN - Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang telah mengarahkan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Seberang Perai Utara untuk menyiasat dakwaan sekumpulan ibu bapa yang anak mereka dirotan guru atas kesalahan kecil.

Pengarahnya, Ahmad Tarmizi Kamaruddin berkata, sebuah panel khas akan menyiasat perkara itu dengan memanggil murid dan guru yang terlibat serta guru besar sekolah.

Siasatan dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu, katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
"Tindakan susulan adalah berdasarkan siasatan yang pihak PPD jalankan dan jika dakwaan ibu bapa berkenaan betul, pihak kita tidak teragak-agak akan mengambil tindakan tata tertib ke atas guru terbabit,” katanya. - BERNAMA