MARAN 1 Okt. - Persepsi kebanyakan masyarakat di negara ini malas membaca tidak lagi tepat berikutan semakin ramai menjadikan budaya membaca sebahagian daripada kehidupan mereka.Timbalan Pengarah Pelajaran Pahang, Rosdi Ismail berkata, rakyat negara ini semakin gemar membaca sekali gus membuang tohmahan buruk pihak tertentu tentang perkara tersebut.Jelasnya, momentum keghairahan masyarakat dalam membudayakan ilmu semakin menampakkan hasil berikutan kesungguhan kerajaan melalui Kementerian Pelajaran melaksanakan pelbagai langkah supaya menjadikan budaya membaca sebagai cara meningkatkan pengetahuan.
''Saya sangat gembira apabila perkara itu semakin meningkat setelah selama ini rakyat Malaysia dimomokkan sebagai rakyat malas membaca,'' katanyaBeliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Resensi Buku Bersama Pengarah Pelajaran Pahang peringkat negeri di Pejabat Pelajaran Daerah di sini baru-baru ini.
Rosdi berkata, program seperti itu secara tidak langsung merangsang para guru, ibu bapa dan pelajar menanamkan sikap membaca bagi mendalami mutiara ilmu yang terkandung dalam buku yang dibaca mereka.
Dalam pada itu, Guru Penolong Kanan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka Pusat, Mohd. Rozi Mat Sani memuji program tersebut kerana mengetengahkan aktiviti yang berinovatif bagi mengajak rakyat membaca.Katanya, program itu julung kali diadakan di negeri ini bagi merangsang pelbagai pihak meningkatkan penguasaan tersebut selain memberi ulasan terhadap sesuatu buku yang dibaca.
Bagi Guru Penolong Kanan SMK Jengka Pusat 2, Ismail Abas, kaedah itu akan menambah lagi minat dalam kalangan masyarakat yang kini purata membaca antara lapan hingga 12 buku setahun.
''Perkembangan itu menunjukkan satu langkah positif terhadap budaya membaca dalam kalangan masyarakat negara ini,'' katanya.
Guru Penolong Kanan SMK Jengka 16, Darussalam Taib berkata, dorongan daripada Pengarah Pelajaran Pahang dalam program itu merangsang para pelajar menjadikan perpustakaan sebagai 'sahabat' untuk mendapatkan maklumat.
Katanya, pertambahan minat membaca dalam kalangan rakyat banyak dipengaruhi oleh dasar kerajaan dan inovatif guru yang menjadikan minat membaca sebagai satu budaya hidup.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20121002/wp_02/Rakyat-negara--kita-semakin-gemar-membaca#ixzz28bBObojA
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment