SELAMAT HARI GURU SEDUNIA



Hari ini, 5 Oktober adalah hari guru sedunia yang diraikan oleh warga pendidik di seluruh dunia.  Sambutan setiap tahunnya adalah pada hari ini sejak tahun 1994 selepas Pertubuhan Pendidikan, Saintifik & Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) membuat deklarasinya.  

Objektif sambutan hari guru sedunia adalah bagi menggerakkan sokongan kepada warga pendidik bagi memastikan keperluan generasi akan datang mampu digapai oleh warga pendidik.

Walaupun di negara kita, Hari Guru diraikan pada setiap 16 Mei, namun di peringkat antarabangsa, sambutannya adalah pada setiap 5 Oktober.  Tema bagi sambutan pada tahun ini adalah “Take A Stand For Teachers”. 

Menurut UNESCO tema ini dipilih bagi mengingatkan para birokrat dan pihak berkepentingan untuk terus mengiktiraf peranan penting warga pendidik dalam melaksanakan transformasi para pelajar di semua peringkat pendidikan.

Tambahan pula dengan dengan pengiktirafan warga pendidik pada tarikh ini saban tahun, kita dapat mengimbas kembali pengorbanan warga pendidik khususnya dalam persekitaran ekonomi dan sosial yang sukar di samping berusaha memperbaiki status professional dan kondisi melaksanakan tugas oleh semua warga pendidik.

Guru di mana-mana sering dianggap sebagai satu profesion yang mulia, walaupun terdapat juga beberapa insiden terpencil yang negatif melibatkan para guru. 

Bagi UNESCO, tema yang dipilih tahun ini membawa maksud agar warga pendidik diberikan latihan yang mencukupi, terkini di samping pembangunan kerjayan yang berterusan dan perlindungan terhadap hak sebagai seorang pendidik.  Kerjaya sebagai seorang pendidik adalah faktor terpenting perkembangan dunia persekolahan para pelajar. 

UNESCO juga seperti menyedari, bagaimana status profesion ini semakin merudum di banyak negara di dunia, justeru hari guru sedunia diraikan bukan sahaja bagi mengembalikan martabat profesion keguruan untuk manfaat generasi sekarang, malah untuk masyarakat sejagat di samping pengiktirafan terhadap peranan guru sebagai pembentuk masa hadapan.

Kepada semua warga pendidik di mana sahaja berada atau di tahap mana pun memberikan perkhidmatan keguruannya, Selamat Hari Guru Sedunia!

Anggota CUEPACS bantah bank urus pinjaman perumahan



JERANTUT 6 Okt. - Rata-rata penjawat awam di seluruh negara membantah cadangan Kementerian Kewangan untuk menjalinkan kerjasama dengan bank bagi menguruskan skim pinjaman perumahan kepada kakitangan kerajaan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, beliau sendiri dihujani dengan panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada kakitangan awam yang mahu skim pinjaman tersebut tidak diserahkan kepada institusi kewangan.

"Sebelum ini, Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah memaklumkan terdapat empat bank komersial terbesar tempatan bersetuju bekerjasama dengan kerajaan menawarkan skim pinjaman perumahan kepada penjawat awam.

"Jadi mereka tidak bersetuju dengan cadangan ini dan meminta CUEPACS agar tampil menyuarakan luahan hati penjawat awam agar pinjaman perumahan diuruskan oleh kerajaan sepenuhnya," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121007/dn_07/Anggota-CUEPACS-bantah-bank-urus--pinjaman-perumahan#ixzz28bHTfCMm
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kelab alumni tingkat taraf pendidikan



BELAGA 5 Okt. - Kelab alumni mempunyai peranan penting dalam meningkatkan taraf pendidikan serta keadaan fizikal sesebuah sekolah di kawasan luar bandar.

Berikutan kesedaran itu, Kelab Alumni SMK Belaga (KASMKB) baru-baru ini mengadakan lawatan ke sekolah terbabit yang memerlukan perjalanan lebih enam jam menggunakan kenderaan pacuan empat roda dari bandar Bintulu.

Lawatan mesra yang diketuai Presiden KASMKB, Mathew Ngo bersama lima orang ahlinya bukan sahaja bermakna bagi pihak sekolah, malah mampu mengimbau kembali nostalgia zaman persekolahan ahlinya.

Katanya, lawatan itu bertujuan memperkenalkan kelab berkenaan kepada guru-guru, kakitangan dan pelajar SMK Belaga, di samping mempromosi peranan dan fungsinya.

"Penubuhan kelab alumni ini merupakan usaha memperkuatkan 'suara' pihak sekolah dalam memohon bantuan daripada kerajaan atau pihak swasta," katanya.

Mengulas lanjut, Mathew berharap penyerahan peralatan sukan dan gimnasium kepada pihak sekolah dapat digunakan oleh guru dan pelajar.

Selain itu katanya, pihaknya turut menyerahkan penghargaan berbentuk lembing kepada salah seorang pelajar yang mewakili negara dalam acara rejam lembing bawah 15 tahun iaitu Raphel Asun.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sabah_%26_Sarawak/20121006/wb_05/Kelab-alumni-tingkat-taraf-pendidikan#ixzz28bHCIthd
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Jumlah guru di Kota Kinabalu sudah cukup



KOTA KINABALU 5 Okt. - Guru baharu yang berhasrat untuk ditempatkan atau bertukar ke Kota Kinabalu dinasihatkan tidak membuat rayuan kerana jumlah tenaga pengajar di daerah itu sudah penuh.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sabah, Datuk Dr. Muhiddin Yusin berkata, bukan sahaja bilangan guru di daerah itu sudah penuh, malah, bilangan yang memohon untuk berkhidmat di daerah lain seperti Penampang, Papar, Tawau dan Sandakan juga tinggi.

Katanya, guru baharu yang sudah mempunyai nama di sekolah ditetapkan dalam surat penempatan diharap dapat meneruskan khidmat bakti di sekolah tersebut kerana proses itu dibuat berdasarkan kepada keperluan di kawasan atau daerah yang telah ditetapkan.

"Malah, jumlah nama guru yang menanti untuk ditempatkan di Kota Kinabalu juga tinggi dan kini sebanyak 10 nama menunggu untuk berkhidmat di daerah itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian penutup Pertandingan Pidato Kelab Pengguna Sekolah (KPS) Peringkat Negeri Sabah anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Inanam, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Pegawai Penguat Kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Sabah, Balwant Singh Pritam Singh dan Pengetua Cemerlang SMK Inanam, Datin Norhayati Muhamad.

Dalam pertandingan Pidato KPS itu, Noraziela Syahira Baco, 17, dari SMK Abaka, Tawau muncul juara, manakala tempat kedua disandang oleh Rini Zarina Jakrin, 18, dari SMK Keningau II, Keningau.

Mengulas lanjut, Muhiddin berkata, pernah suatu ketika, jumlah guru di Daerah Kota Kinabalu terlebih sebanyak 186 orang dan sebanyak 286 orang di Beaufort, dekat sini.

Jelasnya, jumlah tersebut sepatutnya digunakan di kawasan yang memerlukan dan bukannya dibazirkan di kawasan yang sudah cukup bilangan guru.

Sehubungan itu, katanya, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) mengambil tindakan tegas dalam menempatkan guru dan tidak melayan sebarang rayuan, terutama melibatkan guru baharu lepasan pusat pengajian tinggi.

Menurutnya, kebanyakan guru baharu akan ditempatkan di daerah yang masih mengalami kekurangan tenaga pengajar, terutama di kawasan luar bandar seperti Nabawan, Telupid dan Kota Marudu.

"Kami akan memberi perhatian terhadap daerah-daerah yang sangat memerlukan khidmat tenaga pengajar," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sabah_%26_Sarawak/20121006/wb_03/Jumlah-guru-di-Kota-Kinabalu-sudah-cukup#ixzz28bGo28wn
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiga penyelidik UTM bangun produk belajar sambil bermain



JOHOR BAHRU 5 Okt. - Tiga penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya menghasilkan satu produk yang mampu mewujudkan suasana pembelajaran lebih menyeronokkan, dikenali Jauhari Fun Electronic Learning Board Games.

Produk yang diubah suai daripada konsep permainan Monopoly dan dibangunkan secara fasa demi fasa sejak 10 tahun lalu itu memberi penekanan terhadap sistem pembelajaran bersepadu menggunakan ketajaman fikiran dan fizikal iaitu tangan berbanding teknik menghafal.

Ketua Penyelidik yang juga Pensyarah Pusat Kejuruteraan Bioperubatan UTM, Prof. Ir. Dr. Sheikh Hussain Shaikh Salleh berkata, produk itu memfokuskan kepada tiga subjek utama iaitu Matematik, Kemahiran Hidup dan Sains.

Menurutnya, sasarannya ialah untuk kegunaan murid sekolah rendah dari tahun satu hingga enam, bertujuan memudahkan mereka memahami sesuatu subjek, belajar dalam keadaan menyeronokkan serta menyenangkan tugas guru.

"Permainan elektronik ini dapat digunakan dalam kelas yang mana setiap papan dimainkan oleh enam murid dalam satu masa, selain mengesan pelajar yang lemah menerusi skrin komputer yang dipantau guru.

"Dengan cara ini, guru dapat memberikan tumpuan kepada pelajar untuk memperbaiki tahap penguasaan mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan dan penyampaian hadiah Pameran Seni Industri dan Teknologi (Inatex) 2012, di sini hari ini.

Permainan elektronik yang dihasilkan Kamarulafizam Ismail dan Ariffi Suraya Rahmani itu berjaya memenangi Best of the Best Award dan Pingat Emas dalam Inatex 2012, sekali gus mengalahkan 204 produk penyelidikan lain.

Beliau berkata, dengan adanya produk tersebut, guru hanya perlu merujuk kepada kad kerja dan aktiviti daripada perisian dan perkakasan yang disediakan pada set permainan itu serta memantaunya menerusi skrin yang disambungkan.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Penyelidikan UTM, Prof. Dr. Ruzairi Abdul Rahim berkata, program yang memasuki 14 tahun penganjurannya itu sehingga kini telah berjaya mengumpul RM8 juta hasil daripada produk yang berjaya dikomersialkan.

"Kita berharap produk yang dihasilkan penyelidik tempatan mampu menembusi bukan sahaja pasaran tempatan tetapi antarabangsa," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121006/dn_18/Tiga-penyelidik-UTM-bangun-produk-belajar-sambil-bermain#ixzz28bGBzNj9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Penambahbaikan dasar pendidikan babitkan tempoh 20 tahun



MARAN 5 Okt. - Kerajaan akan menambah baik dasar pendidikan negara untuk tempoh 20 tahun akan datang bagi melahirkan pelajar yang mampu menguasai kemahiran berfikir serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, dasar pelajaran negara memerlukan transformasi memandangkan keupayaan dan kebolehan daya berfikir pelajar negara ini masih lemah dan jauh ketinggalan.

Katanya, penanda aras kebolehan berfikir pelajar negara ini dibuat berdasarkan keupayaan mereka menjawab soalan-soalan yang tidak berkaitan dengan peperiksaan dalam kalangan pelajar dari negara-negara yang menyertai Program Penilaian Murid Antarabangsa (PISA).

‘‘Daripada 77 buah negara yang menjadi ahli PISA, pelajar kita menduduki tangga ke-55 dan ini jauh ketinggalan berbanding pelajar dari China, Hong Kong dan Singapura.

‘‘Berdasarkan kedudukan itu kita perlu lihat persiapan membaiki dasar pendidikan negara untuk 20 tahun akan datang dan jika kita buat penilaian semula untuk tempoh 10 tahun akan datang para pelajar kita akan terus ketinggalan berbanding pelajar dari negara-negara tersebut," kata Mohd. Puad.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Mesra Anak Yatim Sekolah-Sekolah Menengah dan Rendah Dalam Parlimen Maran di Dewan Jubli Perak dekat sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan sumbangan Ahli Parlimen Maran kepada 942 pelajar anak-anak yatim dan yatim piatu daripada 34 sekolah kebangsaan, tiga sekolah menengah dan sebuah sekolah agama dalam Parlimen Maran.

Menurut Mohd. Puad, pelajar negara ini dikategorikan sebagai lemah apabila mereka tidak dilatih untuk berfikir sebaliknya berpandukan konsep peperiksaan semata-mata.

Katanya, Kementerian Pelajaran sebelum ini menerima 7,539 input untuk membaiki dasar pendidikan negara yang dikemukakan oleh warga pendidik, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menerusi rundingan meja bulat baru-baru ini.

Beliau memberitahu, kesemua input itu akan dipaparkan kepada rakyat sempena hari terbuka Kementerian Pelajaran bagi mendapatkan pandangan dan cadangan termasuk daripada pembangkang.

‘‘Kesemua cadangan itu kemudiannya diserahkan kepada Kabinet untuk tindakan selanjutnya," kata beliau.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121006/dn_03/Penambahbaikan-dasar-pendidikan-babitkan-tempoh-20-tahun#ixzz28bFmbf9z
© Utusan Melayu (M) Bhd 

10,715 graduan guru diberi penempatan



KUALA LUMPUR 5 Okt. - Sebanyak 10,715 graduan Institut Pendidikan Guru (IPG) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam bidang pendidikan yang telah dan bakal menamatkan pengajian tahun ini, boleh menarik nafas legas apabila kerajaan memutuskan akan memberi mereka penempatan pada tahun depan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan berkenaan diambil setelah mengambil kira secara terperinci keperluan guru dalam jangka masa panjang seperti yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, pelantikan itu tertakluk pada mereka yang memenuhi syarat skim perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS), telah membuat permohonan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran dan berjaya dalam temu duga dikendalikan suruhanjaya itu.

"Sehubungan itu, graduan pendidikan keluaran IPG dan IPTA yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan yang menamatkan pengajian pada 2012 akan dilantik ke jawatan PPPS.

"Mengikut rekod Kementerian Pelajaran, seramai 10,715 penuntut program pendidikan telah dan akan menamatkan pengajian mereka pada tahun ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menjelaskan, sebanyak 2,960 graduan telah dikenal pasti menamatkan pengajian mereka sebelum 1 Julai 2012 dan telah dijadualkan untuk ditemu duga oleh SPP.
Pecahan mereka seperti berikut:

* Seramai 2,478 orang daripada program Jawi, al- Quran, Arab dan Fardu Ain (j-Qaf);

* Sejumlah 368 orang daripada program Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL);

* Sebanyak 90 orang daripada program Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) IPG dan IPTA, termasuk mereka daripada Program Pelajar Cemerlang (PPC);

* Seramai 14 orang daripada program Bahasa Perancis

* Sejumlah 10 orang calon mengulang temu duga berdasarkan keperluan opsyen.

Muhyiddin menjelaskan, sementara SPP menyelesaikan urusan temu duga, kementerian akan membuat penempatan secara interim bagi kumpulan berkenaan mulai 16 Oktober ini manakala pelantikan tetap adalah tertakluk pada keputusan temu duga oleh suruhanjaya itu.

Bagi kumpulan yang akan menamatkan pengajian mereka selepas Jun 2012 iaitu seramai 7,755 orang, ujarnya, mereka perlu mengemukakan permohonan untuk pelantikan ke jawatan PPPS Gred DG41 kepada SPP supaya penjadualan temu duga dapat disegerakan.

"Penempatan mereka yang lulus temu duga SPP akan dibuat pada 2013.

"Kepada mereka yang berjaya dan akan dilantik sebagai pendidik kelak, berkhidmatlah dengan jujur dan penuh dedikasi," kata beliau.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121006/dn_02/10,715-graduan-guru-diberi-penempatan#ixzz28bFHMagE
© Utusan Melayu (M) Bhd