2,313 MURID MISKIN DI TAWAR KE SBP

                                     



                       

      KUALA LUMPUR - Seramai 2,313 murid miskin termasuk 925 daripada keluarga miskin tegar akan ditawar ke Tingkatan Satu, Sekolah Berasrama Penuh (SBP) tahun depan dengan diberi bantuan oleh Kementerian Pelajaran.
Menurut Bahagian Pengurusan SBP dan Sekolah Kecemerlangan Kementerian Pelajaran, mereka merupakan antara 7,710 murid yang dipilih bagi ditempatkan di Tingkatan Satu SBP.
Murid daripada keluarga miskin tegar yang akan dipilih perlu mempunyai sekurang-kurangnya 3A 2B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2012, menurut kenyataan bahagian tersebut hari ini.
Ia berkata kementerian telah menerima 105,357 permohonan untuk kemasukan ke Tingkatan Satu SBP, dengan seramai 62,338 pemohon terdiri daripada murid perempuan dan 43,019 murid lelaki.
Tempat yang diperuntukkan ialah untuk seramai 7,710 murid, 3,645 untuk murid perempuan dan 4,065 murid lelaki, menurut kenyataan tersebut.
"Dasar pengambilan murid ke SBP memberi keutamaan kepada murid yang berasal dari sekolah pedalaman dan luar bandar. Justeru itu Kementerian Pelajaran akan menawarkan sekurang-kurangnya 5,397 atau 70 peratus tempat kepada para pelajar yang berasal dari sekolah pedalaman dan luar bandar," menurutnya.
Menurut kenyataan itu, keputusan pemilihan dan penempatan murid ke Tingkatan Satu SBP akan diumumkan selewatnya 16 Disember depan.
Keterangan lanjut boleh diperoleh di laman web www.moe.gov.my dan murid yang ditawarkan juga akan dimaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).  - Bernama            

GRADUAN IPG,IPTA DILANTIK JAWATAN PPPS 2013?


Kuala Lumpur: Seramai 10,715 graduan institut pendidikan guru Malaysia (IPGM) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang tamat pengajian tahun ini akan dilantik ke jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG41.

Daripada jumlah itu, 2,960 orang yang tamat pengajian Jun lalu sudah ditempatkan secara interim dan dalam proses ditemuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata pelantikan ke jawatan PPPS Gred DG41 adalah langkah jangka pendek kerajaan bagi mengatasi masalah penempatan guru baru.Katanya, pelantikan itu bagaimanapun tertakluk kepada memenuhi syarat skim PPPS, membuat permohonan kepada SPP dan lulus temu duga.
“Baki 7,755 graduan yang tamat pengajian pada September dan Disember tahun ini, perlu memohon jawatan PPPS Gred DG41 secara online ke SPP melalui Jobs Malaysia dalam laman sesawang SPP bagi temu duga pada tahun depan,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) mengenai langkah jangka pendek dan jangka panjang diambil kementerian bagi memastikan penempatan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP).
Mohd Puad berkata, kementerian juga menjalankan kajian norma perjawatan, unjuran, dasar penempatan dan pertukaran guru serta kumpulan pelaksana mulai tahun depan, bagi membangunkan model baru pengurusan sumber manusia pendidikan di negara ini bermula 2014.Menjawab soalan tambahan Khairy mengenai rayuan 63 graduan ISMP yang gagal temu duga SPP, Mohd Puad berkata mereka akan diberi peluang kedua.

sumber : Berita Harian bertarikh 23.11.2012

USAH MENGHUKUM TAPI BERI SOKONGAN


IMEJ mahasiswa yang terjejas dengan pelbagai isu, kini dipersoalkan lagi dengan kehadiran ragam mahasiswa berperwatakan lembut yang dilihat semakin ketara sejak akhir-akhir ini.
Biarpun bukan ancaman, kehadiran mereka ada kalanya kurang disenangi mahasiswa lain hingga wujud 'pergeseran' dalam diam.
Ditambah lagi dengan sikap mahasiswa berkenaan yang dikatakan boleh berlagak 'selamba', bermulut laser dan tidak kisah dengan pandangan serong orang sekeliling, ia dikhuatiri boleh menimbulkan konflik berpanjangan.
Namun, benarkah golongan mahasiswa itu mengganggu pandangan serta mengusik perasaan mahasiswa lain?
Atau, adakah ada penyebab lain mengapa mereka tidak selesa dengan kehadiran golongan berkenaan?
Pengarah Pusat Inovasi Keusahawanan dan Pembangunan Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, kehadiran golongan itu tidak wajar dijadikan isu kerana mereka juga berhak memperoleh pendidikan.
Beliau berkata, penampilan individu menjadi hak eksklusif diri sendiri yang tidak boleh dipersoalkan dan masing-masing mempunyai cara tersendiri untuk menampilkan diri.
"Walaupun kehadiran mahasiswa begini kurang disenangi pihak tertentu, mereka masih mempunyai hak memperoleh pendidikan atau apa saja kebebasan selagi masih menuruti undang-undang.
"Jadi, jangan anggap kehadiran mereka sebagai gangguan biarpun ada yang tidak suka. Kita tidak berhak memberi label atau penarafan berpandukan fizikal semata-mata.
"Malah institusi pengajian tinggi juga bersikap terbuka dan menganggap mereka sama seperti mahasiswa lain. Asalkan masih mengikut peraturan, tiada diskriminasi untuk menuntut ilmu, " katanya.
Senario mahasiswa berperwatakan lembut yang kian membanjiri pelbagai institusi pengajian tinggi hari ini bukan janggal malah sudah lama wujud.
Namun, sikap kurang terbuka masyarakat untuk menerima kehadiran mereka menjadi antara punca golongan terbabit seolah-olah dipinggirkan.
Lebih menyedihkan apabila wujud suara sumbang mengatakan mereka antara punca terjadinya gejala sosial di kalangan generasi muda.
Beliau yang menjalankan kajian mengenai permasalahan berkenaan pada 2008, bagaimanapun menafikan mahasiswa lembut adalah golongan bermasalah.
"Memang tidak dinafikan, secara luaran, kehidupan mereka nampak 'bermasalah' kerana meniru perwatakan gender berlawanan namun keseluruhannya bukan begitu.
"Hanya segelintir terbabit dan mereka terdorong melakukannya kerana beberapa faktor tertentu seperti pengaruh rakan, didikan keluarga juga persekitaran.
"Boleh disimpulkan mereka sama seperti mahasiswa normal lain yang menjalani kehidupan biasa biarpun secara fizikal, masyarakat melihatnya sebagai sesuatu yang kurang wajar," katanya.
Beliau turut tidak menafikan kehidupan mahasiswa itu cukup mencabar dalam mengharungi dunia kehidupan di kampus.
"Ini kerana mereka berdepan dengan diskriminasi atau penolakan hanya kerana penampilan digayakan. Tanpa memberi ruang golongan terbabit menunjukkan kebolehan diri, mereka ditafsirkan memang bermasalah.
"Sebenarnya, mahasiswa ini sangat memerlukan sokongan bagi memperbetulkan keadaan.
"Malangnya, masyarakat menolak mereka menjadikan mahasiswa berperwatakan lembut ini tiada pilihan selain mendapat sokongan kumpulan senasib," katanya.
Bagaimanapun, sesuatu yang istimewa ialah biarpun berdepan penolakan itu, jiwa mereka kental dan kebanyakan mereka tergolong dalam kategori pelajar cemerlang.
"Hanya kerana penampilan fizikal yang sedikit berbeza, masyarakat terus memberi penilaian serta menjadikannya sebagai sasaran pengecualian interaksi sosial.
"Golongan ini seolah-olah tidak mendapat keadilan kerana hanya dinilai secara luaran sedangkan mungkin mereka ada niat berubah tapi tidak mendapat kekuatan sokongan orang lain.
"Sikap masyarakat yang suka menghukum tanpa memberi peluang atau menunjukkan jalan yang betul juga adalah antara penyebab mereka tidak mahu berubah malah boleh berpaling pada jalan salah," katanya.
Ditanya mengenai pendirian institusi, katanya institusi berperanan menjalankan tanggungjawab utama iaitu memberi pendidikan sama rata kepada mereka yang memenuhi syarat tanpa prejudis.
Menurutnya, tiada diskriminasi dalam memberi ilmu kepada sesiapa yang
ingin belajar dan institusi tidak pernah memberi syarat atau melabel mahasiswa tertentu.
"Yang penting setiap mahasiswa tertakluk pada peraturan. Sesiapa saja jika melakukan kesalahan akan dihukum dan dikenakan tindakan selaras peraturan sedia ada.
"Bagaimanapun, adalah sesuatu yang sangat baik jika mereka mahu mengubah penampilan. Ini juga satu proses pembelajaran berterusan untuk membina masa depan.
"Apapun, ini hak setiap individu dan institusi tidak boleh campur tangan sewenangnya. Walaupun mungkin salah pada pandangan kita, namun mungkin tidak pada orang lain," katanya.

GURU CEMERLANG SEPARUH MASA,PJJ, BOLEH NAIK GRED TANPA TEMUDUGA




Guru cemerlang : Ya….berita mengenai guru baru-baru yang diumumkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yaasin sebenarnya keistimewaan yang diberikan diberikan kepada guru, guru besar, pengetua yang melanjutkan pelajaran samada sepenuh masa atau PJJ. Mereka-mereka ini dahulu lagi sudah ditemuduga untuk pengesahan jawatan.
Walaubagaimanapun, lantikan baru tetap kena menghadiri temuduga juga.
Guru Cemerlang Ijazah Separuh Masa, PJJ, Boleh Naik Gred DG41 Tanpa Temuduga
SEREMBAN – Guru cemerlang, guru besar dan pentadbir cemerlang yang memperoleh ijazah sama ada secara separuh masa atau di bawah program Pengajian Jarak Jauh akan dilantik terus ke Gred DG41 tanpa perlu hadir temu duga.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan perkara itu semalam berkata, guru cemerlang berkenaan boleh memohon terus kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) untuk dikecualikan daripada proses temu duga.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut mengumumkan calon guru cemerlang pada tahap akademik dan ikhtisas selepas menamatkan pengajian, akan dilantik terus tanpa proses temu duga sebagai guru pelatih mulai tahun depan.
Pada bulan lepas beliau mengumumkan bahawa calon guru yang bakal dipilih ialah 30 peratus dalam kalangan mereka dengan keputusan 9A dan berminat dalam bidang perguruan.
Bagi kami, ini strategi merupakan antara strategi & usaha pihak kerajaan buat banyak insentif kepada kalangan guru untuk tujuan menarik lebih ramai pelajar cemerlang dalam pelajaran untuk menyertai profesion perguruan ini. Ini kerana kalangan pelajar cemerlang hari ini dilihat lebih berminat & cenderung dengan profesion lain seperti perubatan, kejuruteraan, farmasi, perundangan dan sebagainya.
Yang paling pentingnya, pelajar-pelajar di masa akan datang akan mendapat lebih ramai guru yang lebih berkualiti, cekal & bersemangat tinggi bagi mendidik anak bangsa kita bagi menghasilkan bakal “rakyat & pelajar yang ada kualiti” daripada kilang yang juga “berkualiti” (kalangan guru cemerlang)

PERKHEMAHAN BSMM (PART 2)


buat laporan dulu





sebelum eksplorasi kena buat facial dulu








meredah paya bakau





simulasi pertolongan cemas





EMPAT LAGI SEKOLAH DALAM HOSPITAL DIWUJUDKAN


PUTRAJAYA 12 Okt. - Sebanyak empat buah lagi Sekolah Dalam Hospital (SDH) akan diwujudkan bagi menyediakan kemudahan pengajaran dan pembelajaran kepada pesakit kanak-kanak yang menjalani rawatan di institusi perubatan di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, empat SDH tersebut akan dibuka di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru; Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh; Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.
Beliau berkata, empat sekolah tersebut merupakan tambahan kepada tiga SDH perintis sedia ada yang terletak di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Ampang dan Hospital Serdang.
‘‘Sejak dilaksanakan pada Julai 2011, seramai 6,550 murid telah mendapat manfaat dalam projek perintis di tiga SDH itu," katanya.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berucap dalam majlis pemeteraian memorandum perjanjian antara PPUKM, HUSM dan Yayasan Nurul Yaqeen untuk pelaksanaan fasa kedua SDH di sini hari ini.
Perjanjian tersebut disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Nurul Yaqeen, Datuk Ismail Ibrahim; Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tan Sri Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan Timbalan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Ahmad Shukri Mustapa Kamal.
Yang turut hadir, isteri Timbalan Perdana Menteri yang juga Penaung Projek Hati Nurani, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Timbalan Menteri Pelajaran; Datuk Dr. Ir. Wee Ka Siong.
Muhyiddin berkata, statistik SDH dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini menunjukkan Hospital Serdang mencatatkan murid prasekolah tertinggi iaitu seramai 328 orang manakala HKL mempunyai murid sekolah rendah paling ramai sebanyak 1,730 orang.
‘‘SDH di Hospital Ampang pula mencatat pelajar sekolah menengah yang tertinggi iaitu seramai 855 orang.
‘‘Kejayaan di tiga SDH adalah bergantung pada usaha doktor, jururawat, pihak pentadbir hospital, guru dan juga ibu bapa pesakit," katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, beliau telah meminta pegawai kementeriannya untuk meneliti hasil projek tersebut serta memantau keputusan pelajar SDH dalam peperiksaan umum yang dijalankan.


TELITI SEMULA SISTEM IPGM


BANGI: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sistem dan organisasi Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) perlu disemak semula agar matlamat melahirkan warga pendidik berkualiti dan terbaik mampu dicapai.
Timbalan Perdana Menteri berkata, antara perkara yang wajar diberi perhatian adalah penambahbaikan berterusan sistem pengurusan, pentadbiran, modul latihan serta kemudahan prasarana.

“Saya meminta pihak atasan IPGM bersama pengurusan tertinggi Kementerian Pelajaran meneliti semula perkara ini.
“Kita perlu mewujudkan satu persekitaran kerja kondusif dan terbaik terutama bagi warga kerja IPGM dan persekitaran pembelajaran yang selesa kepada siswa pendidik,” katanya pada majlis perjumpaan bersama siswa pendidikan IPGM serta penyerahan Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abd Ghafar Mahmud.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pada masa sama beliau berharap IPGM terus relevan dalam melatih dan melahirkan guru berwibawa dan cemerlang.
Sempena penyerahan KADS1M kepada 1,500 siswa IPGM semalam, beliau turut menyeru penerima menggunakan kemudahan itu sebaik-baiknya dan bukan untuk bermewah-mewah.

“Gunakanlah ia untuk mendapatkan pulangan setimpal dengan pelaburan dilakukan agar setiap sen yang dibelanjakan boleh memberikan hasil diharapkan,” katanya.
Dengan adanya KADS1M yang menawarkan diskaun antara lima hingga 60 peratus di premis perniagaan terpilih, Muhyiddin berkata, siswa memperoleh pelbagai keperluan dengan harga yang rendah dan terbaik.

Antara sektor perniagaan yang terbabit ialah buku, alat tulis, pakaian, kesihatan, peruncitan, makanan dan minuman, pengangkutan, produk IT dan produk automotif.

Sehingga kini, 231 syarikat (2,414 outlet) termasuk koperasi bersetuju menyertai inisiatif itu bagi membeli barangan dan perkhidmatan terpilih.

“Inisiatif disediakan ini untuk meringankan beban rakyat serta memastikan generasi muda mendapat kemudahan sewajarnya,” katanya.- Bernama
Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/19

PERKHEMAHAN BSMM ( 2-5 OKTOBER 2012) PART 1


HARI PERTAMA


                                             
                                                     SEBELUM BERTOLAK

































Bengkel Membaca Tambahan

 
SEBAHAGIAN peserta Bengkel Membaca Tambahan melibatkan guru dan murid-murid bersama Natalie Hommerton (duduk tengah) di Kuching, Sarawak, baru-baru ini. - UTUSAN/ AMIR HAFIZ ABD 
 
KUCHING 10 Okt. - Peranan sektor swasta dalam membantu pelajar di kawasan luar bandar khususnya di pedalaman negeri ini banyak membantu usaha memperkasakan sektor pendidikan negara.

Malah, bukannya perkara baharu jika pelajar dari kawasan berkenaan sering menerima bantuan syarikat- syarikat korporat tempatan mahupun antarabangsa.

Antara bantuan yang biasa disalurkan adalah kelengkapan sekolah seperti kasut, buku dan alat tulis, malah mereka turut diberi peluang mengikuti kem motivasi, kursus dan bengkel yang berkaitan dengan pembelajaran.

Terbaru adalah Bengkel Membaca Tambahan bertujuan meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris yang dijayakan oleh Kementerian Pelajaran, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan Osaka Gas Foundation for International Cultural Exchange (OGFICE).
Pengurus Besar Operasi dan Kewangan (UP&D), Rozita Yusoff berkata, penglibatan pihaknya bertujuan menyahut cabaran kerajaan untuk sama-sama menggembleng tenaga bagi melahirkan lebih ramai golongan berpendidikan dan cerdik pandai dalam kalangan rakyat negeri ini.

"UP&D bertanggungjawab menjemput ahli panel dari dalam dan luar negara untuk memberi taklimat kepada murid-murid yang terlibat dalam bengkel ini.

"Menariknya, bengkel ini turut melibatkan guru-guru sekolah bagi membantu mereka mendapat idea untuk mengajar Bahasa Inggeris dengan kaedah yang lebih menarik," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Bengkel Membaca Tambahan itu berlangsung selama empat hari bermula 24 September lalu dengan penglibatan seramai 30 murid dari 10 buah sekolah.

Antara sekolah yang terlibat dalam bengkel itu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Annau, SK Ulu Kukus, SK Manga Tau, SK St. Gregory Giam, SK Sibu Laut, SK Kuala Kebulu, SK Bukit Mawang, SK Pasir Pandak, SK Tanjung Apong dan SK Kampung Baru.

Mengulas lanjut, Rozita memberitahu, pada tahun ini, UP&D berbangga kerana telah membawa seorang guru berpengalaman dari United Kingdom (UK), Natalie Hommerton bagi menunjukkan kaedah pembelajaran dan pengajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris.

Beliau berkata, guru berkenaan mengendalikan bengkel dengan menggunakan beberapa buah buku cerita bahasa Inggeris.

Katanya, buku cerita tersebut adalah bahan bacaan ringan yang digunakan oleh golongan kanak-kanak dan murid-murid di peringkat tadika dan sekolah rendah di London.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan Kementerian Pelajaran, Noor Salwara Khairullah berkata, bengkel tersebut merupakan inisiatif kementerian dan badan korporat dalam menggalakkan minat pelajar untuk hadir ke sekolah dan menguasai bahasa.

Katanya, ia juga secara tidak langsung memberi ruang dan peluang kepada golongan guru terlibat untuk berbincang dan bertukar-tukar idea tentang kaedah pembelajaran di sekolah masing-masing.

"Bengkel ini telah dianjurkan sejak 2004 melibatkan sebanyak 40 sekolah di kawasan luar bandar dan pinggir bandar di Sarawak.

"Pihak kementerian memperoleh dana pendidikan daripada OGFICE sebanyak RM67,000 bagi melaksanakan bengkel ini sejak sembilan tahun lalu," katanya.

Katanya, menjadi hasrat kementerian untuk sentiasa berusaha meningkatkan kesedaran betapa pentingnya pendidikan dan impaknya dalam mengubah masa depan, terutama bagi pelajar yang masih ketinggalan.
Bagaimanapun, katanya tahun ini merupakan tahun terakhir pelaksanaan bengkel tersebut dan beliau berharap syarikat-syarikat antarabangsa dan tempatan lain dapat bekerjasama dengan kementerian bagi misi seterusnya.

"Usaha memperkasakan sektor pendidikan bukanlah terletak di bahu kerajaan sahaja malah perkara itu adalah tanggungjawab semua pihak lebih- lebih lagi rakyat di negara ini,'' katanya.

Kelab 'Doktor Muda' jadi perintis

KOTA BHARU 10 Okt. - Kerjaya sebagai seorang doktor sudah sinonim sebagai satu cita-cita yang biasanya ditanam para ibu bapa dalam jiwa anak-anak sejak kecil.

Tidak kira dari strata sosial atau bangsa apa pun, semua ibu bapa mahukan anak-anak mereka berjaya dalam mencorakkan kehidupan dan kebanyakan melihat kerjaya doktor sebagai antara yang dipandang mulia dalam masyarakat.

Sehubungan itu, tidak hairanlah apabila kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dan Jabatan Pelajaran Negeri menubuhkan Kelab 'Doktor Muda' (KDM) sejak 13 tahun lalu sudah mencatatkan keahlian melebihi 5,000 orang di 200 buah sekolah rendah seluruh daerah negeri ini.

Penubuhan kelab ini sebenarnya adalah inisiatif yang diperkenalkan Kementerian Kesihatan sejak 1989 di sekolah seluruh negara, bertujuan melahirkan golongan murid yang boleh menjadi contoh dan pembimbing rakan sebaya tentang ilmu asas kesihatan.

Ketua Penolong Pengarah Kanan (Pendidikan Kesihatan) Jabatan Kesihatan negeri, Mohamad Khalib Omar berkata, meskipun istilah lain boleh digunakan sebagai nama kelab, namun istilah 'doktor muda' sengaja diambil bagi mencetuskan semangat murid-murid sekolah untuk belajar bersungguh-sungguh dan dalam masa sama memberi mereka pendedahan awal kepada bidang ini.

"Negeri ini adalah antara yang terawal menubuhkan KDM selepas negeri Pahang. Tujuan utama kita adalah untuk membina modal insan unggul yang dapat memberi manfaat kepada orang sekeliling mereka.
"Murid-murid terpilih dari tahun empat, lima dan enam dilatih dari segi teori dan praktikal berkaitan perkara asas tentang penyakit, kebersihan diri, kebersihan makanan dan alam sekeliling.

"Mereka kemudiannya akan menjalankan tugas dengan menyebarkan maklumat kesihatan kepada rakan-rakan lain menerusi ceramah dalam bilik darjah dan perhimpunan mingguan sekolah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program Konvensyen KDM peringkat negeri di sini baru-baru ini.

Konvensyen tersebut telah mengumpulkan lebih 400 murid dan guru mewakili 10 daerah negeri ini untuk memberi pengiktirafan kepada ahli, penggerak serta penasihat kelab dan juga sebagai tempat perkongsian pengalaman bagi memperkasa lagi perjalanan aktiviti kelab di sekolah masing-masing.

Menurut Mohamad Khalib, pihaknya sentiasa turun memberi seminar, latihan dan modul pelaksanaan kepada guru-guru sebagai nadi utama program yang akan melatih ahli-ahli kelab secara langsung.

"Seorang 'doktor muda' dilatih agar sentiasa bersih, sihat dan kemas untuk menjadi model kepada murid lain, malah mereka juga melakukan pemeriksaan kesihatan ke atas rakan-rakan seperti pemeriksaan jarak pandangan mata, kutu, kudis, kebersihan pakaian, gigi dan sebagainya.

"Kita tidak mahu hanya doktor-doktor muda sahaja yang sihat dan cerdas, tetapi murid-murid lain tidak," katanya.

Beliau berkata, pihaknya merancang untuk menjejak bekas ahli kelab yang mana ramai dipercayai berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi dan sebahagiannya mungkin sudah bergelar doktor perubatan.

Sementara itu, Penyelia Kanan Kokurikulum Jabatan Pelajaran negeri, Wan Mohd. Zain Wan Abdullah berkata, murid-murid yang menjadi ahli kelab dipilih daripada kalangan yang mempunyai pencapaian akademik baik agar mereka mudah memahami segala input disampaikan.

Jelasnya, pihaknya amat berbangga kerana KDM yang merupakan sebahagian aktiviti kokurikulum sekolah didapati antara organisasi kelab atau persatuan sekolah yang sistematik dan terbaik hasil kerjasama yang diberikan Jabatan Kesihatan.

"Sasaran kita bukan semata-mata bilangan tetapi kualiti dan keberkesanan penglibatan ahli yang mampu mencetuskan kesedaran kepada orang lain tentang kepentingan menjaga kesihatan kerana untuk menjadi murid cemerlang mereka mestilah mempunyai badan sihat.

"Apa yang penting ialah untuk para guru menyedari bahawa dalam apa jua kegiatan kokurikulum sekalipun, aspek mendidik tetap menjadi teras tugas kita," katanya.

Sempena konvensyen tersebut, sebanyak lapan acara telah dipertandingkan iaitu Pertandingan Bercerita Bahasa Melayu yang dimenangi Putera Syuib Mohd. Nasir dari Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Pak Amat, Pasir Putih; Pertandingan Bercerita Bahasa Inggeris (Wan Rosliza Wan Husein - SK Kampung Berangan, Pasir Putih) dan melukis poster (Nur Syaza Azlene Zulkeflie - SK Kampung Chat, Bachok).
Bagi kategori buku informasi kesihatan (SK Sri Kemudi, Bachok), pameran aktiviti (SK Kampung Berangan, Pasir Putih), inovasi (SK Tawang, Bachok), persembahan bakat (SK Hamzah (1) Machang, Machang) dan tokoh doktor muda (Aa'isyah Mohd. Fadzil - SK Ayer Lanas, Jeli).

Putera Syuib, 11, ketika ditemui berkata, perkara paling menarik sebagai ahli kelab adalah dapat memakai 'kot putih' ke sekolah seumpama seorang doktor.

"Cikgu membuat jadual untuk kami memakai kot 'doktor' pada hari-hari tertentu, orang yang bertugas akan menyampaikan ceramah dalam kelas atau kantin kepada rakan-rakan.

"Pada masa mula-mula cikgu menyuruh saya berucap ada rasa takut juga tetapi lama-lama saya berasa seronok, banyak maklumat saya dapat sampaikan kepada kawan-kawan," katanya yang bercita-cita mahu menjadi angkasawan.

Sementara itu, rakan sekelasnya dari SK Padang Pak Amat, Muhd. Hazieq Danial Bazar, 11, pula berkata, pada setiap hujung minggu ahli kelab akan bertemu untuk mengadakan aktiviti bersama dan antara perkara utama dilakukan ialah memastikan kawasan sekolah bebas daripada menjadi kawasan pembiakan nyamuk aedes.

Katanya, dia dipilih menjadi ahli kelab 'doktor muda' oleh gurunya pada tahun lalu setelah mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

195 sekolah agama berstatus SABK


KUALA LUMPUR 11 Okt. - Kementerian Pelajaran telah menukar status 195 daripada 382 Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Negeri (SAN) di seluruh negara kepada status Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) sejak 2005 hingga kini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kesemua SAR dan SAN yang telah mendaftar dengan kementerian itu bakal mendapat manfaat peruntukan RM100 juta melalui Bajet 2013 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bulan lalu selain RM95 juta yang diterima pada Bajet 2011.

Sehubungan itu, kata beliau, tidak seharusnya timbul isu SAR atau SAN dianaktirikan oleh kerajaan seperti yang didakwa oleh pihak-pihak tertentu kerana kerajaan sentiasa membuka pintu kepada dua jenis sekolah itu untuk menjadi sekolah bantuan kerajaan.

"Isu sebenarnya adalah pihak Lembaga Pengurusan SAR dan SAN tidak mahu berdaftar di bawah SABK kerana bimbang kuasa mentadbir hilang berikutan rata-rata daripada mereka tidak mempunyai kelulusan bagi mentadbir sekolah.

"Ahli lembaga pengarah itu terdiri daripada pemilik asal sekolah sejak mula ditubuhkan. Jadi konsep yang mereka amalkan adalah warisan atau turun-temurun dan bukannya berdasarkan kepada kelayakan dalam pendidikan," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas tindakan kira-kira 300 warga SAR dan SAN dari beberapa negeri dengan diketuai oleh Pengerusi Majlis Permuafakatan Institusi Pendidikan Islam Selangor (Mappis), Prof. Madya Zainal Abidin Kidam berdemonstrasi di hadapan bangunan Parlimen pagi ini bagi menuntut peruntukan daripada kerajaan melalui Bajet 2013.

Sambil menyatakan kerajaan sentiasa mengalu-alukan penukaran status SAR dan SAN kepada SABK, Mohd. Puad berkata, sekolah-sekolah di bawah SABK akan diberi geran berkapita, bantuan menaik taraf bangunan sekolah, latihan guru, guru-guru akan berjawatan tetap dan mempunyai pencen selain skim gaji yang lebih baik.

Beliau turut menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan kerajaan menetapkan syarat ketat untuk mendaftar di bawah SABK dan menyifatkan itu hanya agenda politik pembangkang semata-mata.

"Kita mahu mereka berdaftar dengan SABK supaya sekolah mereka dimajukan, guru-guru mereka mendapat manfaat seperti guru-guru yang ada di Malaysia dan pendidikan pelajar lebih seimbang.

"Tetapi walaupun mereka telah berdaftar di bawah SABK, kerajaan tetap tidak mengganggu aspek kokurikulum mereka. SABK lebih kepada menjaga kebajikan warga sekolah," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri berkata, dakwaan pihak tertentu bahawa kerajaan sengaja menganaktirikan SAR dan SAN melampau kerana berdasarkan laporan Kementerian Kewangan, para pelajar di kedua-dua jenis sekolah itu turut menerima RM100 seorang menerusi Bantuan Persekolahan yang diperuntukkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Saya juga mempersoalkan tindakan SAR dan SAN yang menggunakan tenaga pelajar-pelajar untuk berdemonstrasi. Seharusnya pelajar-pelajar itu tidak berada di luar Parlimen bagi berdemonstrasi pagi ini. Tempat mereka di dalam bilik darjah," katanya.

481,424 calon duduki PMR hari ini


KUALA LUMPUR 8 Okt. - Seramai 481,424 calon di seluruh negara akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mulai esok hingga 16 Oktober ini.

Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), daripada jumlah tersebut, 448,436 ialah calon dari sekolah bantuan penuh kerajaan dan 5,846 calon sekolah di bawah agensi kerajaan seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

"Sebanyak 10,051 calon adalah dari sekolah agama tadbiran negeri, 13,728 calon sekolah swasta, 1,151 calon persendirian perseorangan dan 2,212 calon dari Sekolah Agama Rakyat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata kenyataan itu lagi, sebanyak 3,560 pusat peperiksaan akan dibuka di seluruh negara dengan 33,898 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar.

"Semua calon diminta merujuk kepada jadual waktu peperiksaan untuk maklumat lanjut masa peperiksaan masing-masing serta mematuhi arahan yang ditetapkan.

"Calon juga diingatkan supaya membawa MyKad masing-masing ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan lancar," kata kenyataan itu.

Jadual peperiksaan boleh didapati di sekolah-sekolah atau dimuat turun daripada laman web Lembaga Peperiksaan, http://www.moe.gov.my/lp.

Pendekatan kreatif cetus minat


Guru pakar Bahasa Malaysia, Marzuki Mohd. Isa menggunakan pendekatan inovatif dan kreatif untuk mengajar teknik menjawab soalan peperiksaan SPM dalam Program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi SMP-Utusan Malaysia di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini. 
 
PELBAGAI kaedah penyampaian inovatif dan kreatif oleh para penceramah profesional menjadikan Program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi Sekretariat Malaysia Prihatin dan Utusan Malaysia berada dalam kelasnya tersendiri - selain tidak membosankan.

Di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Chengal dekat Kota Bharu, Kelantan, penceramah subjek kertas Bahasa Malaysia, Marzuki Mohd Isa menselangselikan penyampaiannya dengan lawak jenaka, persembahan multimedia dan paling istimewa, secara spontan menyanyikan lagu ciptaan asal Freddie Aguilar iaitu 'Anak' secara minus one.

Marzuki, dengan pakaian kasual santai, memakai reben hitam, berseluar jeans dan kemeja merah, membuka lantai dengan pantun, perumpamaan, pepatah yang menarik sehingga sesi sebelah petang menjadi hidup dan berkesan.

Sebagai guru pakar Bahasa Malaysia, Marzuki menurunkan segala ilmu tentang persiapan yang sewajarnya ada pada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika menduduki kertas Bahasa Malaysia dan seterusnya mendapat A+.

Antaranya, beliau mencadangkan calon menjawab Bahagian B yang memberi 100 markah berbanding bahagian A yang berupa karangan berdasarkan bahan rangsangan.

Beliau mengupas secara terperinci semua aspek penting dalam kertas Bahasa Malaysia, dan sebahagiannya perlu dihafal supaya calon tidak membuang masa sepanjang 90 minit nanti.

Program kali ini dihadiri oleh 200 calon SPM daripada sembilan buah sekolah iaitu SMK Cengal, SMU (A) Al-Kauthar, SMK Kadok, SMK Long Ghaffar, SMK Pangkal Kalong, SMK (A) Melor, SMK Kok Lanas, SMK Ketereh dan SMK Melor.

Sekretariat Malaysia Prihatin merupakan sebuah badan bukan kerajaan yang aktif menjalankan aktiviti kesukarelawanan, khususnya dalam kalangan pendidikan.

Lebih 30,000 pelajar sekolah di seluruh negara telah mendapat manfaat daripada program berkenaan sejak lebih tiga tahun lalu.

Sementara itu, penyelaras program yang juga penceramah motivasi Utusan Malaysia, Dr. Ismail Zain menasihati pelajar agar terus berusaha tanpa jemu dan dalam masa yang sama meminta ibu dan bapa mendoakan kejayaan menjelang peperiksaan.

Program Iqra' perkasa akademik


YAYASAN Telekom Malaysia (Yayasan TM) dan Yayasan Sofa Negeri Sembilan (Yayasan Sofa) melancarkan Program Iqra' - sebuah program ilmiah bertujuan memperkasa murid melalui pencapaian akademik yang lebih baik di samping menitikberatkan pembangunan modal insan secara menyeluruh, termasuk aspek sahsiah serta kerohanian.

Pengerusi TM, Datuk Dr Halim Shafie berkata, selaras dengan tujuan utamanya iaitu pembangunan modal insan secara menyeluruh, pelbagai program ilmiah berteraskan al-Quran dan as-Sunnah telah dirangka dengan kerjasama Yayasan Sofa.

"Kami harap, usaha ini dapat membantu pihak sekolah dan ibu bapa untuk memperkukuh jati diri, keperibadian dan sifat kepimpinan murid agar menjadi 'role model' kepada murid lain," katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis pelancaran program itu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Laksamana Nasir, Seri Menanti, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Fasa pertama Program Iqra' di SK Tunku Laksamana Nasir akan berlangsung untuk tempoh dua tahun bermula dari tahun 2012 sehingga 2014 dan TM telah memperuntukkan sebanyak RM150,000 untuk pihak sekolah menjalankan pelbagai aktiviti termasuklah seminar, kelas-kelas ICT serta kursus motivasi untuk manfaat pelajar, guru-guru dan masyarakat setempat.

Selain penyediaan perkakasan, Yayasan TM turut melengkapkan murid dengan kemahiran asas melalui kelas-kelas latihan IT bermula pada bulan September, khusus kepada pelajar tahun 3, 4 dan 5.
Kelas latihan tersebut merangkumi pemasangan dan penyelenggaraan komputer, aplikasi dan pembangunan laman web.

Martabatkan bahasa kebangsaan

 
Warga Malaysia perlu bersama pulih citra bahasa negara

Cuba renungkan kenapakah sesudah 55 tahun kemerdekaan Malaysia, kita masih membicarakan usaha memartabatkan bahasa kebangsaan? Apakah selama tempoh lebih lima dekad kemerdekaan bangsa dan negara kita, rakyatnya atau kita di pelbagai agensi, institusi organisasi, awam dan swasta, masih tidak faham atau tidak berasa peminggiran terhadap bahasa kebangsaan itu sama ertinya dengan ‘lupa diri’ atau sikap acuh tidak acuh terhadap jati diri negara mahupun bangsa sendiri?

Sifat kebangsaan

Mungkinkah kita sesama kita masih tidak menghayati bahawa bahasa kebangsaan itu adalah simbol kepada kehidupan kebangsaan dalam semua ranah kehidupan dan citra negara bangsa? Fahamkah kita sesebuah negara bangsa itu ditandai sifat kebangsaan dan ada pegangan yang kukuh terhadap tonggak-tonggak kenegaraan sebagaimana termaktub dalam keluhuran Perlembagaan.
Aspek bahasa menjadi semakin penting dalam gagasan 1Malaysia kerana ia berteraskan kepada prinsip Perlembagaan (dan Rukun Negara), selain prinsip penerimaan dan keadilan sosial. Bahasa adalah tonggak kenegaraan. Jadi kenapa pula rakyat sendiri memandang sepi, tanpa penuh komitmen memikul peranan dan tanggung jawab bersama?

Jika Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan sudah menetapkan satu bahasa negara dan itulah Dasar Bahasa Negara, susah sangatkah bagi kita memahami apa yang dimaktubkan? Fasal itu menyatakan: “Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen”. Perkara 152 (6) pula menegaskan: “Dalam Perkara ini, maksud rasmi ertinya apa-apa jua maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam”. Peruntukan itu mengabsahkan status bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Kedudukannya merentasi bahasa-bahasa kaum dan sukuan. Bahasa Melayu bukan bahasa orang Melayu atau pribumi saja lagi, tetapi bahasa kita, bahasa negara kita. Cintai bahasa kebangsaan menunjukkan cinta kita kepada negara.

Apa guna fungsi bahasa Melayu diperkukuh lagi dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, jika sampai sekarang pun kita tidak terpanggil untuk mendaulat dan memartabatkannya? Ketetapan undang-undang itu secara langsung meletakkan bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia; bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi bagi melaksanakan maksud-maksud Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Rakyat Malaysia tidak dilarang menggunakan, belajar atau mengajar bahasa-bahasa lain. Jadi apa yang kita susah-susahkan dengan keperluan bangsa Malaysia itu menguasai bahasa asing termasuk bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa dunia yang lain? Belajarlah dan kuasailah. Perlembagaan telah memberikan panduan yang jelas. Tetapi barang diingat yang mana patut kita junjung dan yang mana patut dikelek, sebab kesatuan dan persatuan bangsa kita atau perpaduan negara hanya boleh dicapai melalui bahasa milik bersama.

Peranan, tanggungjawab semua

Berdasarkan tuntutan undang-undang tadi, setiap ‘batu jemala’ rakyat Malaysia wajib menjunjungnya, tidak patut berdolak-dalik lagi, meletakkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa keperluan negara dan bahasa kehidupan bangsa Malaysia. Pada hemat penulis, semua pihak sekarang perlu menilai semula peranan dan tanggungjawab masing-masing. Jika belum, maka haluankan semula bahtera persepsi anda dan buat satu anjakan paradigma, penuhi segera tuntutan bahawa bahasa Melayu itu menjadi bahasa rasmi; bahasa Melayu itu menjadi bahasa kebangsaan; bahasa kebangsaan itu menjadi bahasa pengantar pendidikan; menjadi bahasa ekonomi, perniagaan, perdagangan dan industri; menjadi bahasa ilmu tinggi, sains dan teknologi dan bahasa itu juga bahasa kesusasteraan, kesenian, kebudayaan, agama dan falsafah.
Malaysia mempunyai Dasar Bahasa Negara tersendiri, bukan pelbagai bahasa secara laissez faire. Ada dasar-dasar berbeza di negara masing-masing. Bandingkan status bahasa kita dengan dasar bahasa di India, Singapura, Jepun, China, Korea, Thailand, United Kingdom, Jerman, Perancis, Indonesia dan lain-lain. Bahasa kebangsaan kita memiliki kehebatan dan keunikan tersendiri dan kita patut berterima kasih kepada leluhur pejuang silam kerana menjadikan BM sebagai bahasa negara, tepat dipilih atas sifat lingua franca, tradisi ilmu dan fakta sejarah.

Kini Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) digerakkan lagi sebagai suatu kesinambungan program sejak awal kemerdekaan bermula pada era 1960-an. Tema BBK yang mula diperkenalkan pada 2010 mempromosikan ‘1Bahasa, 1Bangsa, 1Negara’ sangat kena pada tempatnya. Kita adalah satu bangsa, yakni bangsa Malaysia, kita hanya ada satu negara yakni satu Malaysia dan negara bangsa ini akan kehilangan keperibadian tanpa satu bahasa nusa bangsa.

Pemahaman terhadap fungsi bahasa Melayu seharusnya ada pada semua peringkat dan lapisan rakyat, kepemimpinan politik, agensi, institusi, organisasi dan sebagainya kerana ada kebersamaan peranan.
Apabila disebut ‘Bahasa Menunjukkan Bangsa’ atau ‘Bahasa Jiwa Bangsa’, natijah di sebaliknya ialah bagaimana citra Malaysia itu terserlah jati diri bangsanya berbahasa, bahasa bagi bangsa Malaysia.
Suasana sekarang menuntut semua pihak menghayati apakah pula makna ‘bangsa Malaysia’ dan ‘negara bangsa’? Bukankah fungsi komunikatif bahasa kebangsaan dan fungsi rasminya bermaksud “satu bahasa kebangsaan bagi seluruh negara bangsa Malaysia?”

Perbandingan dengan bahasa Kebangsaan Jepun

Setiap diri kita seharusnya berasa malu apabila membandingkan status bahasa kebangsaan kita dengan status bahasa kebangsaan di Jepun atau Korea. Apakah kita hanya boleh bermegah semata-mata kerana berasa bahawa pencapaian umum bahasa kebangsaan kita itu telah berkembang pesat dan meningkat kualitinya, misalnya dalam pentadbiran kerajaan, pendidikan, bidang perundangan dan kehakiman, walhal belum sepenuhnya dan tidak digunakan secara meluas dalam segala bidang kehidupan? Apakah kita boleh berbangga dengan mengatakan isu bahasa sudah selesai disebabkan jaminan kedudukannya di dalam Perlembagaan, sedangkan kemajuannya belum tercapai penuh?

Sikap memandang ringan, tidak mempedulikan, meminggir dan mengambil mudah tidak akan mendukung konsep ‘Kesatuan Dalam Kepelbagaian’ itu. Kita tahu dunia satu bahasa (monolingual) sudah tiada lagi. Maka selain daripada bahasa Inggeris, sebenarnya orang Malaysia juga perlu menguasai bahasa-bahasa yang lain mengikut keperluan, misalnya Arab, Sepanyol dan Perancis. Tetapi yang mana satu kita junjung? Bahasa dikaitkan dengan jati diri, maruah bangsa dan keagungan tamadun bangsa. Apakah sikap sebenar kita terhadap bahasa? Apakah ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ atau kitalah bangsa tanpa jiwa bahasa? Kita dibelit belenggu rendah diri, sesekali dihambat sikap pasif dan tabiat negatif.

Sikap pinggir bahasa negara

Penekanan berlebihan terhadap penggunaan bahasa Inggeris tanpa disedari kadang-kadang menjadikan kita sendiri yang meminggirkan bahasa negara, wujudnya situasi menang-kalah - menang bahasa Inggeris, kalah bahasa Melayu. Citra kenegaraan dan kebangsaan kita seolah-olah diambil alih bahasa Inggeris. Kita gagal menterjemahkan konteks keperluan penggunaan bahasa, di mana yang perlu dan yang mana satu. Mahukah wajah kita bertopengkan budaya asing? Usaha memperkuatkan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu/Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) Kementerian Pelajaran itu hendaklah disejajarkan di semua institusi pendidikan dan sektor berkaitan.

Perkasa bahasa sendiri

Kitalah rakyat dan bangsa Malaysia. Kitalah juga warganegara Malaysia itu. Pelbagai usaha mesti dilakukan bersama ke arah memulih citra bahasa negara kita sendiri akibat daripada hilang sikap megah bahasa, gemar memandang hak orang lebih sempurna. Kita kurang berusaha mengangkat kehebatan citra sendiri. Bisakah kita berganding bahu berbimbing tangan memartabatkan dan memperkasakan bahasa sendiri dengan pengukuhan BM itu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi?

Jika kita pula memiliki visi dan misi melangkah ke hadapan, ayuh gerakkan perancangan strategik, sinergi dan rangkaian kerja melakukan tindakan dan sokongan mengisi keperluan pengantarabangsaannya. Malaysia akan menjadi sebuah negara maju. Tetapi tidak terpanggilkah oleh kita bahawa apabila negara kita maju maka bahasa negara kita ikut maju, seiring sederap menjadi salah satu bahasa komunikasi antarabangsa bersifat supranasional.

Jati diri, keperibadian dan sahsiah bangsa terletak di atas satu bahasa negara yang berada di martabatnya, mantap dan perkasa. Matlamat tersebut hanya akan dapat dicapai melalui kesepakatan dan peranan bersama institusi, agensi, organisasi dan rakyat Malaysia seluruhnya.

Penulis ialah bekas Ketua Pengarah DBP (1994-2004), bekas Ketua Pengarah Kebudayaan (1981-1989) dan AJK GAPENA (sejak 2004).

Satu sesi persekolahan dilaksana sepenuhnya seawal lima tahun: Muhyiddin

 
KUALA LUMPUR: Sistem satu sesi persekolahan dijangka dapat dilaksanakan sepenuhnya di seluruh negara dalam tempoh lima hingga 10 tahun, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata buat masa sekarang, kurang 20 peratus daripada keseluruhan sekolah di seluruh negara yang masih mengamalkan sistem persekolahan dua sesi.
Katanya sejak sekian lama, kerajaan mahu melaksanakan sistem satu sesi di seluruh negara kerana ia lebih sesuai untuk pembelajaran di negara ini tetapi perlu menambah bilangan bilik darjah dan mengatasi masalah kekurangan guru.

"Bilangan bilik darjah jadi masalah kerana di sesetengah tempat kita tidak meramalkan bilangan pelajar meningkat dengan begitu besar sekali. Jadi, terpaksa diadakan dua sesi iaitu pagi dan petang," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Sekolah Menengah Kebangsaan Gombak Setia, di sini.

Muhyiddin berkata, pelaksanaan sistem persekolahan satu sesi penting kerana tempoh masa boleh dilanjutkan dengan menambah satu atau dua jam untuk mata pelajaran Matematik, Sains atau Bahasa Inggeris.

"Itu mudah dilakukan kerana mereka tidak perlu pulang lebih awal seperti yang dilakukan oleh sekolah-sekolah swasta. Aktiviti kokurikulum juga dapat diadakan pada waktu petang sekiranya sistem persekolahan satu sistem dilaksanakan," katanya.

Muhyiddin berkata Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 juga mensasarkan pelaksanaan sistem persekolahan satu sesi sepenuhnya sekiranya mendapat peruntukan yang besar.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata peperiksaan bagi pelajar Tingkatan Tiga akan dibuat melalui penilaian sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SBA) apabila PMR dimansuhkan pada 2014.

Muhyiddin berkata selepas ini, hanya ada dua peperiksaan utama diadakan iaitu Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada peringkat rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada peringkat menengah.

"Setiap pelajar masih boleh diukur tahap pencapaian pelajaran mereka menerusi peperiksaan SBA yang dikendalikan oleh sekolah. Tetapi, ia masih lagi dipantau oleh Lembaga Peperiksaan agar soalan yang disediakan itu berkualiti dan dapat ukur kejayaan pelajar," katanya.

Muhyiddin berkata, langkah ini juga membolehkan ibu bapa mendapat maklumat terkini prestasi anak mereka dalam menguasai bidang pelajaran mereka.

Mengulas lanjut, beliau berkata pengambilan pelajar tingkatan empat ke sekolah berasrama penuh dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tidak akan dihentikan walaupun PMR akan dimansuhkan pada 2014.

"Pelajar cemerlang dan latar belakang ibu bapa yang miskin akan diberi keutamaan untuk mendapat tempat di sekolah berasrama penuh dan ini telah dimulakan sejak tahun lepas," katanya.

Seramai 481,424 calon menduduki PMR di 3,560 pusat peperiksaan di seluruh negara mulai Isnin lalu hingga 16 Oktober ini. - BERNAMA

Tak diskriminasi guru lembut


 
Arau: Kementerian Pelajaran tidak bercadang menyekat peluang lelaki berperwatakan lembut menceburi bidang perguruan walaupun ia komited memerangi gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata tidak ada sebab untuk kementerian tidak mengambil golongan itu menjadi guru jika mereka berkelayakan dan berkualiti untuk menjadi seorang pendidik.
“Kementerian tidak pernah melaksanakan dasar yang mendiskriminasi guru berperwatakan lembut, tetapi jika mereka melakukan aktiviti menyalahi etika perguruan dan memberi pengaruh tidak baik kepada pelajar seperti menyertai ratu pondan, maka kita akan ambil tindakan.

“Bagaimanapun, tindakan itu bukan bermaksud terus dipecat, sebaliknya termasuk kaunseling dan amaran, manakala bagi kes mahkamah kita akan biarkan mahkamah yang tentukan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keibubapaan (Menangani Isu LGBT) di Kolej Matrikulasi Arau, di sini, semalam.

Tidak wujud ‘mesej berbahaya’

Mohd Puad berkata, dalam usaha kementerian memerangi isu LGBT, tidak wujud ‘mesej berbahaya’ seperti didakwa golongan terbabit termasuk diskriminasi atau menimbulkan kebencian terhadap kumpulan berkenaan.

“Malah, dua minggu lalu saya didatangi seorang guru lelaki yang meminta bantuan selepas dia digantung tugas kerana didakwa merangsang seks pelajar lelaki di sekolahnya dan kes berkenaan sudah pun dibawa ke mahkamah.

“Walaupun mengakui berasa marah dengan keberanian guru itu yang sanggup berjumpa saya sebagai seorang Timbalan Menteri Pelajaran untuk mengadu hal seperti itu, kita perlu terima hakikat sudah tiba masanya isu LGBT ini dibincang secara serius, terbuka dan tidak dianggap sebagai ‘taboo’ (larangan),” katanya.
 
Tetap pandang serius

Mohd Puad berkata, walaupun isu LGBT bukan sesuatu yang signifikan dan besar membabitkan kumpulan guru, kementerian tetap memandang serius usaha menyekat pengaruh ini dalam kalangan pendidik supaya ia tidak menular kepada pelajar.

“Tidak timbul soal kebencian, diskriminasi dan marah terhadap golongan ini apabila menyentuh isu memerangi LGBT dan tanggapan itu perlu diperbetulkan.
Maka sebab itu jika ia berlaku dalam kalangan guru sekolah, kementerian berharap mereka diberikan kaunseling, motivasi dan kesedaran untuk membimbing golongan ini ke jalan yang betul dan bukan terus dipecat,” katanya.

Modul baru lahir guru mahir

Putrajaya: Kerajaan akan mengkaji modul baru bagi meningkatkan kemahiran pengajaran guru di sekolah melalui penggunaan teknologi maklumat (IT).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata berbanding cara lazim menghantar guru menjalani kursus di institut latihan semasa cuti sekolah, kemahiran pengajaran guru juga boleh dipertingkatkan dengan merujuk kepada kandungan yang dipaparkan secara dalam talian (online).
Kenal pasti guru cemerlang

“Kita boleh mengenal pasti beberapa guru cemerlang bagi setiap subjek setiap tahun untuk membangunkan kandungan dan seterusnya dimuat naik secara atas talian manakala guru lain akan menjadi mentor dan fasilitator.

“Kita perlu mengkaji model baru ini namun, ini satu kemungkinan kerana saya dimaklumkan oleh Panel Penasihat bahawa ini adalah trend baru di Amerika Syarikat.

“Di sana (Amerika Syarikat), profesor terkemuka (top notch professor) mengajar secara dalam talian dan pelajar yang mengikutinya mampu menjangkau 150,000 orang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa (IAP) MSC Malaysia Ke-15 di pejabatnya, di sini semalam. Turut hadir, timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Najib berkata, Muhyiddin selaku Menteri Pelajaran, turut bersetuju mengkaji modul itu dengan teliti dalam usaha memperluaskan penggunaan IT bagi meningkatkan mutu pendidikan negara.

Selain itu, Perdana Menteri berkata mesyuarat IAP turut memutuskan untuk menggerakkan usaha mengiktiraf golongan yang cemerlang dan boleh dijadikan ikon dalam industri masing-masing melalui penggunaan IT.
ICT wujud ikon

Sebagai contoh, seorang wanita di Semporna, Sabah berjaya mengaut pendapatan RM20,000 sebulan hasil perniagaan rumpai laut secara dalam talian berbanding hanya RM450 sebulan sebelum itu.

“Ini membuktikan teknologi komunikasi maklumat (ICT) adalah game changer.
Kita perlu mengiktiraf pencapaian mereka supaya golongan ini menjadi pemangkin dan ikon untuk mendorong orang lain terbabit dalam IT.

“Pendekatan ini bukan saja membabitkan usahawan tetapi profesional seperti guru supaya mereka boleh menjadi ikon kepada guru lain,” katanya.

Katanya, antara perkara lain yang turut dibincangkan dalam mesyuarat itu termasuk usaha meningkatkan perniagaan mikro kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan PKS kepada perniagaan besar, komunikasi spektrum serta Lembah Silikon.

4,000 guru KEMAS terima gaji taraf diploma mulai tahun depan

POKOK SENA: Kira-kira 4,000 guru tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) akan menerima faedah termasuk gaji setaraf lulusan diploma mulai tahun depan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata sebanyak RM50 juta diperuntukkan kepada KEMAS dalam Belanjawan 2013 untuk tujuan itu.
"Kenaikan ini memberi kebaikan kepada kanak-kanak yang dihantar mendapat bimbingan di Tabika KEMAS," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Tabika KEMAS Taman Bandar Baru Pokok Sena, di sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata, sebanyak RM15 juta lagi akan diguna bagi melaksanakan projek pembangunan dan menyediakan prasarana lebih baik untuk Tabika KEMAS.

Terdahulu ketika berucap, beliau berkata, perkara yang perlu dihayati dan difahami dalam pendidikan berkualiti bermula dengan penyediaan ramuan awal kanak-kanak.

"Satu ramuan yang dititikberatkan KEMAS dalam pendidikannya ialah peranan institusi kekeluargaan bagi membentuk modal insan yang kreatif, inovatif dan berkemahiran tinggi untuk kejayaan masa depan.

"Bagaimanapun, kejayaan ini hanya boleh dicapai dengan sokongan dan kerjasama ibu bapa, masyarakat dan juga pihak swasta selaras dengan hala tuju negara berlandaskan perancangan Strategi Lautan Biru," katanya.
Beliau berkata, kejayaan Tabika KEMAS diukur melalui tahap kemampuan anak didiknya menguasai kemahiran asas iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul dan dianggap gagal jika tidak dapat menguasai kemahiran asas itu. - BERNAMA

SPRM cadang modul integriti dimasukkan dalam buku teks sekolah

 
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan supaya Kementerian Pelajaran memasukkan modul integriti dan pencegahan rasuah ke dalam tiga mata pelajaran di sekolah rendah dan menengah bermula tahun depan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Sutinah Sutan berkata, cadangan memasukkan modul tersebut ke dalam mata pelajaran Pendidikan Agama, Pendidikan Sivik dan Pendidikan Moral itu telah dihantar ke kementerian pada Jun lepas, malah pihaknya juga sudah berbincang dengan Jabatan Kokurikulum kementerian itu berhubung cadangan berkenaan.
"Selain itu, kita juga sudah berbincang dengan Institut Pendidikan Guru untuk menubuhkan sekretariat pencegahan rasuah di semua pusat latihan perguruan bagi melatih guru-guru pelatih berkaitan nilai-nilai murni seperi amanah, jujur, ikhlas dan integriti, iaitu antara elemen yang akan dimasukkan dalam modul itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan persidangan Pencegahan Rasuah bersama Pengetua, Guru Besar dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau berkata, dengan adanya modul itu, peranan pihak sekolah dalam membentuk modal insan yang cemerlang juga akan menjadi lebih berkesan.

Sutinah berkata penekanan nilai-nilai integriti dari bangku sekolah mampu menjadi benteng kukuh dalam menghindarkan pelajar daripada terjebak dalam aktiviti rasuah selepas memasuki alam pekerjaan.

"Dalam membentuk modal insan yang cemerlang pihak sekolah juga mempunyai peranan penting dan sekiranya cadangan ini dilaksanakan, kita yakin pelajar-pelajar akan menjadi lebih berwibawa dan berintegriti apabila bekerja kelak," katanya. - BERNAMA

Pengajaran Bahasa Inggeris hangat diperbincangkan pada dialog pendidikan


KUALA LUMPUR – Isu pengajaran Bahasa Inggeris (BI) di sekolah turut menjadi topik hangat yang dibangkitkan pada sesi dialog Hari Terbuka Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 di Pusat Transformasi Bandar Pudu Sentral di sini hari ini.
Turut mendapat perhatian ialah isu kualiti khidmat perguruan yang rata-rata dibangkitkan oleh ibu bapa yang menyertai sesi selama kira-kira satu setengah jam bersama panel Kementerian Pendidikan Malaysia.
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan), Dr Amin Senin yang merupakan salah seorang anggota ppanel berkata antara isu yang dibincangkan melibatkan pengajaran BI ialah seperti masalah kaedah pengajaran dan kesesuaian sukatan mata pelajaran dalam meningkatkan mutu penguasaan BI di kalangan pelajar sekolah.
“Ia merupakan antara isu yang menjadi perhatian ibu bapa serta penjaga, dan dengan itu kita percaya penyelesaiannya memerlukan penelitian sempurna iaitu dengan meningkatkan mutu pengajaran bahasa Inggeris itu sendiri bagi memastikan murid turut menguasai bahasa berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog berkenaan.
Turut serta dalam dialog yang disertai kira-kira 200 orang itu ialah Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Abdullah Md Yunus.
Dr Amin berkata segala cadangan dan input dari sesi dialog itu akan dibawa ke peringkat perbincangan selanjutnya yang akhirnya akan dibawa ke jawatankuasa pemutus yang dipengerusikan oleh Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Perdana Menteri, sebelum dimasukkan ke dalam laporan.
“Jika cadangan itu dilihat boleh membawa kepada penambahbaikan kualiti pendidikan, kami bersedia menerima dan memasukkan cadangan-cadangan di dalam laporan,” katanya.
Beliau berkata sesi dialog seumpama ini akan diadakan sekali lagi di sini  memandangkan terdapat banyak permintaan dari beberapa pihak berkaitan supaya ia diadakan di tempat yang lebih besar dan selesa dengan penyertaan lebih ramai orang.
“Lokasi akan kita beritahu nanti. Sesi dialog juga akan dibuat dalam bulan ini di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang yang mensasarkan lebih 1,000 penyertaan serta di Johor, Kelantan, Sabah dan Sarawak,” katanya.
Hari terbuka di Johor dan Kelantan akan diadakan pada 13 Okt ini di Pusat Kegiatan Kokurikulum, Jabatan Pelajaran Negeri Johor, Johor Baharu dan Kelantan Trade Centre, Kota Baharu.
Manakala di Sabah dan Sarawak, ia akan diadakan pada 20 Okt di Kuching dan Suria Sabah di Jalan Pantai, Kota Kinabalu.
Dr Amin berkata selain dapat menyertai sesi dialog secara langsung, orang ramai juga boleh memberikan maklum balas secara dalam talian melalui kemudahan komputer riba yang disediakan.
Pada September lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan laporan awal pelan tersebut yang menggariskan 11 anjakan strategik dan operasi untuk mengubah sistem pendidikan negara.
Laporan awal pelan itu yang memaparkan visi sistem pendidikan dan pelajar yang Malaysia perlu dan berhak miliki, memperinci anjakan yang diperlukan untuk mencapai objektifnya. – Bernama

Puad: 30 peratus pelajar terbaik SPM akan ditawar kursus perguruan



BATU PAHAT – Pengambilan calon untuk Kursus Perguruan Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak akan diiklankan mulai tahun depan dan sebaliknya akan ditawarkan kepada 30 peratus pelajar lepasan SPM yang memperolehi keputusan terbaik.
Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata langkah tersebut adalah usaha bagi meningkatkan kualiti guru selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
Sebelum ini, katanya, lepasan SPM yang ingin menjadi guru perlu memohon untuk menduduki ujian kelayakan khas atau M-Test dan akan dipanggil untuk temuduga selepas lulus itu.
Bagaimanapun mulai tahun ini, permohonan untuk mengambil ujian M-Test adalah terbuka kepada semua pelajar SPM pada hari terakhir peperiksaan, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata apabila keputusan peperiksaan SPM keluar nanti, kursus itu akan tawarkan kepada 30 peratus pelajar yang memperoleh keputusan terbaik.
Sebelum itu, Mohd Puad, yang juga Ahli Parlimen Baru Pahat, menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat dan penyampaian cek baikpulih rumah nelayan peringkat Parlimen Batu Pahat di Pengkalan Nelayan Kampung Sungai Suloh di sini.
Sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan untuk membantu membaiki 155 buah rumah dari enam kampung nelayan di daerah itu. – Bernama