Kementerian Pelajaran merancang membudayakan konsep Guru Penyayang di
setiap sekolah rendah dan menengah di seluruh negara kerana
pelaksanaannya terbukti berkesan dalam menangani gejala disiplin di
kalangan pelajar.
Ketua Unit Kaunseling, Sektor Pengurusan Kaunseling dan Disiplin
Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pelajaran, Ab. Rahim
Othman berkata, program yang diperkenalkan sejak Februari lalu itu
terbukti memberi impak positif terhadap perkembangan pembelajaran
pelajar.
"Impaknya, pelajar lebih berminat untuk datang ke sekolah setiap hari
tanpa berasa sebarang tekanan serta mempunyai hubungan akrab dengan
guru dan pihak sekolah.
"Minat itu didorong oleh rasa selesa dengan guru yang sebelum ini
dikatakan bersikap garang atau terlalu tegas dengan anak murid mereka,''
katanya ketika ditemui pemberita pada Konvensyen Guru Penyayang
Peringkat Kebangsaan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Konvensyen itu melibatkan 200 peserta terdiri daripada pengetua dan
guru besar, guru kaunseling, guru disiplin, pegawai kaunseling dan
disiplin jabatan pelajaran negeri serta wakil persatuan guru.
Menurut Ab. Rahim, konsep Guru Penyayang bertujuan membudayakan sikap
kasih sayang di kalangan guru terhadap murid di sekolah dengan harapan
besar bahawa murid merupakan aset yang perlu diberi perhatian dan
disayangi setiap masa.
Konsep tersebut dilaksanakan melalui tiga amalan iaitu dengan
guru-guru mengalu-alukan kehadiran murid ke sekolah, memberi penghargaan
kepada murid seperti sambutan hari jadi dan program mentor mentee.
No comments:
Post a Comment