Guru Kaunseling Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)
Seri Nibong di Nibong Tebal, Hasruldani Husain, meyakini program
Kecemerlangan Akademik dan Motivasi Sekretariat Malaysia Prihatin -
Utusan Malaysia memberi impak besar dari segi meningkatkan motivasi
peserta.
Terdapat kewajaran untuk mengembangkan program itu ke seluruh negara, khususnya dalam kalangan pelajar Melayu.
Ketika ini, program berkenaan diadakan di Perak, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Kelantan.
Ujarnya, ketika tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
hanya tinggal 34 hari, maka keperluan untuk memberi fokus kepada teknik
menjawab soalan akan menjadi faktor kritikal kepada calon.
Kepada beliau, gabungan kemantapan motivasi oleh pakar Utusan
Malaysia, Dr. Ismail Zain dan pengalaman guru-guru pakar subjek
merupakan ramuan yang cukup serasi untuk melonjakkan pelajar ke satu
tahap baharu yang lebih baik.
"Pelajar selalu menyangka mereka telah cukup bersedia, tetapi setelah
mengikuti program seperti ini, mereka mengubah fikiran, sebenarnya
masih banyak yang mereka perlu kuasai kalau hendak mendapat semua A,''
katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Teknik menjawab yang betul sepertimana skema pemarkahan adalah satu contoh pengetahuan yang perlu dikuasai pelajar.
Di sekolah, katanya, guru menggandakan usaha menjelang peperiksaan,
dan pada setiap hujung minggu pihak sekolah akan menjemput penceramah
luar.
Bagi beliau, program pendidikan yang diatur dan dianjurkan oleh pihak Utusan Malaysia
memang diikutinya sejak sekian lama, dan apabila wakil SMP menghubungi
pihaknya berhubung penganjuran program itu, beliau tidak berpaling lagi.
"Saya sentiasa menggalakkan calon untuk mencuba soalan-soalan yang
disediakan oleh Portal Pendidikan Utusan yang mempunyai reputasi yang
baik,'' katanya.
SMK Seri Nibong merupakan sekolah kawalan yang terkenal dalam
melahirkan atlet acara sukan memanah sebagai sukan berprestasi tinggi.
Bidang kokurikulum turut mengharumkan nama sekolah itu seperti
terpilih ke peringkat akhir Forum Remaja Peringkat Antarabangsa di Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP).
Sekolah itu juga muncul selama tiga tahun berturut-turut sebagi
terbaik di Seberang Prai Selatan dan lapan yang terbaik di Pulau Pinang.
Antara yang membantu meletakkan sekolah di atas podium termasuklah
guru sekolah sendiri yang mempraktikkan pengajaran dan pembelajaran
dengan berkesan dan berstamina.
"Sebagai contoh, jika ada program akademik, mereka akan menunggu
sehingga habis program,'' ujar beliau yang mula mengajar di situ sejak
1999. SMK Seri Nibong mula beroperasi pada 1998.
Peratus lepasan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA)
turut membanggakan, sambil memberi contoh kalau 170 calon lepasan SPM,
120 berjaya melanjutkan pelajaran.
Beliau memberitahu, pada tahun ini, seramai 177 pelajar sekolah itu
menduduki kertas SPM, dan 80 daripadanya menghadiri program anjuran SMP-Utusan Malaysia.
No comments:
Post a Comment