KOTA BHARU 10 Okt. - Kerjaya sebagai seorang
doktor sudah sinonim sebagai satu cita-cita yang biasanya ditanam para
ibu bapa dalam jiwa anak-anak sejak kecil.
Tidak kira dari strata sosial atau bangsa apa pun, semua ibu bapa
mahukan anak-anak mereka berjaya dalam mencorakkan kehidupan dan
kebanyakan melihat kerjaya doktor sebagai antara yang dipandang mulia
dalam masyarakat.
Sehubungan itu, tidak hairanlah apabila kerjasama Jabatan Kesihatan
Negeri Kelantan dan Jabatan Pelajaran Negeri menubuhkan Kelab 'Doktor
Muda' (KDM) sejak 13 tahun lalu sudah mencatatkan keahlian melebihi
5,000 orang di 200 buah sekolah rendah seluruh daerah negeri ini.
Penubuhan kelab ini sebenarnya adalah inisiatif yang diperkenalkan
Kementerian Kesihatan sejak 1989 di sekolah seluruh negara, bertujuan
melahirkan golongan murid yang boleh menjadi contoh dan pembimbing rakan
sebaya tentang ilmu asas kesihatan.
Ketua Penolong Pengarah Kanan (Pendidikan Kesihatan) Jabatan
Kesihatan negeri, Mohamad Khalib Omar berkata, meskipun istilah lain
boleh digunakan sebagai nama kelab, namun istilah 'doktor muda' sengaja
diambil bagi mencetuskan semangat murid-murid sekolah untuk belajar
bersungguh-sungguh dan dalam masa sama memberi mereka pendedahan awal
kepada bidang ini.
"Negeri ini adalah antara yang terawal menubuhkan KDM selepas negeri
Pahang. Tujuan utama kita adalah untuk membina modal insan unggul yang
dapat memberi manfaat kepada orang sekeliling mereka.
"Murid-murid terpilih dari tahun empat, lima dan enam dilatih dari
segi teori dan praktikal berkaitan perkara asas tentang penyakit,
kebersihan diri, kebersihan makanan dan alam sekeliling.
"Mereka kemudiannya akan menjalankan tugas dengan menyebarkan
maklumat kesihatan kepada rakan-rakan lain menerusi ceramah dalam bilik
darjah dan perhimpunan mingguan sekolah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program Konvensyen KDM peringkat negeri di sini baru-baru ini.
Konvensyen tersebut telah mengumpulkan lebih 400 murid dan guru
mewakili 10 daerah negeri ini untuk memberi pengiktirafan kepada ahli,
penggerak serta penasihat kelab dan juga sebagai tempat perkongsian
pengalaman bagi memperkasa lagi perjalanan aktiviti kelab di sekolah
masing-masing.
Menurut Mohamad Khalib, pihaknya sentiasa turun memberi seminar,
latihan dan modul pelaksanaan kepada guru-guru sebagai nadi utama
program yang akan melatih ahli-ahli kelab secara langsung.
"Seorang 'doktor muda' dilatih agar sentiasa bersih, sihat dan kemas
untuk menjadi model kepada murid lain, malah mereka juga melakukan
pemeriksaan kesihatan ke atas rakan-rakan seperti pemeriksaan jarak
pandangan mata, kutu, kudis, kebersihan pakaian, gigi dan sebagainya.
"Kita tidak mahu hanya doktor-doktor muda sahaja yang sihat dan cerdas, tetapi murid-murid lain tidak," katanya.
Beliau berkata, pihaknya merancang untuk menjejak bekas ahli kelab
yang mana ramai dipercayai berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi
pengajian tinggi dan sebahagiannya mungkin sudah bergelar doktor
perubatan.
Sementara itu, Penyelia Kanan Kokurikulum Jabatan Pelajaran negeri,
Wan Mohd. Zain Wan Abdullah berkata, murid-murid yang menjadi ahli kelab
dipilih daripada kalangan yang mempunyai pencapaian akademik baik agar
mereka mudah memahami segala input disampaikan.
Jelasnya, pihaknya amat berbangga kerana KDM yang merupakan
sebahagian aktiviti kokurikulum sekolah didapati antara organisasi kelab
atau persatuan sekolah yang sistematik dan terbaik hasil kerjasama yang
diberikan Jabatan Kesihatan.
"Sasaran kita bukan semata-mata bilangan tetapi kualiti dan
keberkesanan penglibatan ahli yang mampu mencetuskan kesedaran kepada
orang lain tentang kepentingan menjaga kesihatan kerana untuk menjadi
murid cemerlang mereka mestilah mempunyai badan sihat.
"Apa yang penting ialah untuk para guru menyedari bahawa dalam apa
jua kegiatan kokurikulum sekalipun, aspek mendidik tetap menjadi teras
tugas kita," katanya.
Sempena konvensyen tersebut, sebanyak lapan acara telah
dipertandingkan iaitu Pertandingan Bercerita Bahasa Melayu yang
dimenangi Putera Syuib Mohd. Nasir dari Sekolah Kebangsaan (SK) Padang
Pak Amat, Pasir Putih; Pertandingan Bercerita Bahasa Inggeris (Wan
Rosliza Wan Husein - SK Kampung Berangan, Pasir Putih) dan melukis
poster (Nur Syaza Azlene Zulkeflie - SK Kampung Chat, Bachok).
Bagi kategori buku informasi kesihatan (SK Sri Kemudi, Bachok),
pameran aktiviti (SK Kampung Berangan, Pasir Putih), inovasi (SK Tawang,
Bachok), persembahan bakat (SK Hamzah (1) Machang, Machang) dan tokoh
doktor muda (Aa'isyah Mohd. Fadzil - SK Ayer Lanas, Jeli).
Putera Syuib, 11, ketika ditemui berkata, perkara paling menarik
sebagai ahli kelab adalah dapat memakai 'kot putih' ke sekolah seumpama
seorang doktor.
"Cikgu membuat jadual untuk kami memakai kot 'doktor' pada hari-hari
tertentu, orang yang bertugas akan menyampaikan ceramah dalam kelas atau
kantin kepada rakan-rakan.
"Pada masa mula-mula cikgu menyuruh saya berucap ada rasa takut juga
tetapi lama-lama saya berasa seronok, banyak maklumat saya dapat
sampaikan kepada kawan-kawan," katanya yang bercita-cita mahu menjadi
angkasawan.
Sementara itu, rakan sekelasnya dari SK Padang Pak Amat,
Muhd. Hazieq Danial Bazar,
11, pula berkata, pada setiap hujung minggu ahli kelab akan bertemu
untuk mengadakan aktiviti bersama dan antara perkara utama dilakukan
ialah memastikan kawasan sekolah bebas daripada menjadi kawasan
pembiakan nyamuk aedes.
Katanya, dia dipilih menjadi ahli kelab 'doktor muda' oleh gurunya
pada tahun lalu setelah mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.