Pertahan Dasar Pendidikan Kebangsaan
Kementerian Pelajaran sejak beberapa bulan
lalu mengadakan siri sidang meja bulat kajian semula sistem pendidikan negara.
Pendidikan yang dinamik, seperti yang disebut dalam Dasar Pendidikan
Kebangsaan, ‘mengambil kira cabaran dan perubahan perkembangan dunia pendidikan
di luar negara dan keperluan pendidikan masyarakat Malaysia.’ Di samping itu,
cabaran globalisasi, liberalisasi dan perkembangan teknologi maklumat dan
komunikasi dunia masa kini menuntut Kementerian Pelajaran untuk memastikan
semua murid mendapat pendidikan sewajarnya seperti yang dihasratkan oleh Dasar
Pendidikan Kebangsaan.
Bagaimanapun ada juga pihak yang mengatakan
usaha mengadakan siri sidang meja bulat itu dilakukan pada masa kurang sesuai,
iaitu ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) dicabar. Pihak berkenaan bimbang,
sidang meja bulat akan diambil kesempatan untuk menuntut perubahan yang
bukan-bukan, sehingga menggugat Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Kebimbangan bukan dizahirkan tanpa alasan.
Sebagai contoh, pihak yang menjaga kepentingan pendidikan Cina membuat tuntutan
yang berlebihan melalui memorandum yang mereka kemukakan. Jika tuntutan mereka
dipenuhi atas alasan politik, bukan alasan pendidikan tulen, maka usaha
integrasi kaum melalui pendidikan tidak akan tercapai.
Contoh kedua ialah tuntutan agar sekolah kebangsaan
(rendah dan menengah) yang majoriti pelajar memilih untuk belajar melalui
bahasa pengantar Inggeris, dibenarkan meneruskan dasar Pengajaran dan
Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Ini sebenarnya
permintaan sebahagian kecil ibu bapa, bukan permintaan pelajar seluruhnya.
Tuntutan ini pun, jika diluluskan atas alasan politik, bukan alasan pendidikan
tulen, akan melemahkan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan memecah-belahkan sistem
pendidikan kebangsaan kita.
Rumusan perbincangan meja bulat
Baru-baru ini kerajaan memaklumkan, rumusan
perbincangan meja bulat kajian semula sistem pendidikan negara akan diumumkan
tidak lama lagi, mungkin pada September ini. Memandangkan pilihan raya umum
sudah dekat, pejuang bahasa Melayu dan Dasar Pendidikan Kebangsaan tentulah
lebih berdebar-debar menunggu inti pati rumusan berkenaan.
Dibimbangi, sebab populis untuk mendapatkan
sokongan politik yang lebih meluas menjelang pilihan raya umum, Dasar
Pendidikan Kebangsaan akan dikorbankan sedikit demi sedikit. Pengorbanan itu
termasuk dengan cara memenuhi tuntutan golongan pejuang pendidikan Cina dan
terus membenarkan mereka mengendalikan sijil Peperiksaan Gabungan Sekolah Cina
(UEC) yang jelas bertentangan dengan dasar pelajaran kebangsaan serta menukar
beberapa sekolah kebangsaan di bandar menjadi sekolah berbahasa pengantar
Inggeris sementara sekolah luar bandar kekal menggunakan bahasa Melayu.
Pendidikan tulen atasi tuntutan politik
Akan tetapi ramai masih berharap Perdana
Menteri dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran akan
meletakkan kepentingan pendidikan tulen di atas kepentingan politik jangka
pendek. Ini bermakna Dasar Pendidikan Kebangsaan serta beberapa akta yang
berkaitan, termasuk Penyata Razak 1956, Laporan Rahman Talib 1960, Akta
Pelajaran 1961, Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar
Pelajaran 1979, Falsafah Pendidikan Negara 1988, Akta Pendidikan 1996 dan
Pindaan Akta Pendidikan 1997, wajib menjadi panduan, pegangan dan rujukan
utama.
Sebarang pindaan sistem pendidikan
kebangsaan hendaklah selaras dan tidak bertentangan dengan Fasal 152
Perlembagaan Persekutuan mengenai bahasa kebangsaan, dan Akta Bahasa Kebangsaan
1963/1967 yang antara lainnya menggariskan kedaulatan bahasa Melayu sebagai
bahasa rasmi yang digunakan pada peringkat kebangsaan.
Nasib sekolah aliran kebangsaan haruslah
lebih baik selepas pengumuman rumusan sidang meja bulat pendidikan, bukan
sebaliknya. Sekolah aliran kebangsaan hendaklah terus diperkasakan, menjadi
sekolah aliran perdana di negara ini.
Untuk memperkasa sekolah aliran kebangsaan
beberapa langkah harus diambil. Antaranya ialah pengisian kurikulum serta seni
pengajaran yang lebih kreatif dan berkesan. Di samping itu kelas bahasa Cina
dan Tamil sebagai bahasa ketiga harus diperbanyakkan di sekolah kebangsaan,
agar sekolah kebangsaan terus menjadi tumpuan pelajar pelbagai kaum.
Peruntukan kewangan bagi tujuan pelaksanaan
kurikulum serta kokurikulum sekolah aliran perdana ini juga mesti jauh lebih
besar daripada peruntukan yang diberikan kepada sekolah jenis kebangsaan.
Pendidikan kebangsaan arus perdana ini yang
menggunakan bahasa Melayu, harus berkesinambungan ke peringkat pengajian
tinggi, sebagai mana dibuktikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terutama
pada dekad perkembangan awalnya.
Dalam masa yang sama pihak kerajaan melalui
kementerian serta agensi di bawahnya serta sektor swasta, harus memberi nilai
yang sewajarnya kepada graduan yang melalui sistem pendidikan kebangsaan itu.
Oleh : Dr Anwar Ridwan
Penulis ialah Sasterawan Negara dan Dekan
Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA
bahasa kebangsaan tidak wajar dipinggirkan. walaupun senario penggunaan bahasa inggeris semakin menular, namun penggunaan bahasa kebangsaan harus dikekalkan di pandang serius. Bahasa melambangkan bangsa.
ReplyDeletebahasa kebangsaan merupakan nadi perpaduan antara kaum... jadi ia harus lah digunakan secara meluas.contohnya negara Jepun menggekalkan penggunaan bahasa Jepun walaupun pada hari ini masyarakat lebih mengutamakan bahasa Inggeris. pada pendapat saya begitu juga di Malaysia, bahasa kebangsaan perlu dimartabatkan penggunaanya dana di pandang serius kerana masyarakat sekarang cenderung menggunakan bahasa inggeris dari bahasa kebangsaan.
ReplyDeleteOrang Melayu terlalu baik untuk tidak melukakan hati rakan-rakan sedangkan rakan-rakan langsung tidak pernah menghormati yang telah dipersetujui. Orang Melayu telah merelakan Sekolah Melayu dihapuskan dan kini sudah tiada lagi perkataan Sekolah Melayu dan sistem pendidikan kita. Akan tetapi kita masih dapat terus melihat Sekolah Cina ( SRJK Cina) dan Sekolah India ( SRJK Tamil ) wujudlah negara ini.
ReplyDeletelangkah yang tepat untuk melahirkan satu Bangsa Malaysia yang mempunyai semangat kekitaan dan kesepunyaan bahawa Malaysia adalah satu-satu negara kita iaitu dengan mewujudkan SEKOLAH KEBANGSAAN. Melalui iltizam bergerak dengan 1 hati, 1 rasa , 1 cita-cita dan 1 matlamat sebagai warganegara marilah kita mengunakan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa perpaduan dan penyatuan Bangsa Malaysia yang diidam-idamkan.
bahasa kebangsaan menjafi mangsa dalam dunia politik di Malaysia
ReplyDelete