USAH GUGAT SEKOLAH ALIRAN KEBANGSAAN



Pertahan Dasar Pendidikan Kebangsaan

Kementerian Pelajaran sejak beberapa bulan lalu mengadakan siri sidang meja bulat kajian semula sistem pendidikan negara. Pendidikan yang dinamik, seperti yang disebut dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan, ‘mengambil kira cabaran dan perubahan perkembangan dunia pendidikan di luar negara dan keperluan pendidikan masyarakat Malaysia.’ Di samping itu, cabaran globalisasi, liberalisasi dan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi dunia masa kini menuntut Kementerian Pelajaran untuk memastikan semua murid mendapat pendidikan sewajarnya seperti yang dihasratkan oleh Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Bagaimanapun ada juga pihak yang mengatakan usaha mengadakan siri sidang meja bulat itu dilakukan pada masa kurang sesuai, iaitu ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) dicabar. Pihak berkenaan bimbang, sidang meja bulat akan diambil kesempatan untuk menuntut perubahan yang bukan-bukan, sehingga menggugat Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Kebimbangan bukan dizahirkan tanpa alasan. Sebagai contoh, pihak yang menjaga kepentingan pendidikan Cina membuat tuntutan yang berlebihan melalui memorandum yang mereka kemukakan. Jika tuntutan mereka dipenuhi atas alasan politik, bukan alasan pendidikan tulen, maka usaha integrasi kaum melalui pendidikan tidak akan tercapai.
Contoh kedua ialah tuntutan agar sekolah kebangsaan (rendah dan menengah) yang majoriti pelajar memilih untuk belajar melalui bahasa pengantar Inggeris, dibenarkan meneruskan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Ini sebenarnya permintaan sebahagian kecil ibu bapa, bukan permintaan pelajar seluruhnya. Tuntutan ini pun, jika diluluskan atas alasan politik, bukan alasan pendidikan tulen, akan melemahkan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan memecah-belahkan sistem pendidikan kebangsaan kita.

Rumusan perbincangan meja bulat

Baru-baru ini kerajaan memaklumkan, rumusan perbincangan meja bulat kajian semula sistem pendidikan negara akan diumumkan tidak lama lagi, mungkin pada September ini. Memandangkan pilihan raya umum sudah dekat, pejuang bahasa Melayu dan Dasar Pendidikan Kebangsaan tentulah lebih berdebar-debar menunggu inti pati rumusan berkenaan.
Dibimbangi, sebab populis untuk mendapatkan sokongan politik yang lebih meluas menjelang pilihan raya umum, Dasar Pendidikan Kebangsaan akan dikorbankan sedikit demi sedikit. Pengorbanan itu termasuk dengan cara memenuhi tuntutan golongan pejuang pendidikan Cina dan terus membenarkan mereka mengendalikan sijil Peperiksaan Gabungan Sekolah Cina (UEC) yang jelas bertentangan dengan dasar pelajaran kebangsaan serta menukar beberapa sekolah kebangsaan di bandar menjadi sekolah berbahasa pengantar Inggeris sementara sekolah luar bandar kekal menggunakan bahasa Melayu.

Pendidikan tulen atasi tuntutan politik

Akan tetapi ramai masih berharap Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran akan meletakkan kepentingan pendidikan tulen di atas kepentingan politik jangka pendek. Ini bermakna Dasar Pendidikan Kebangsaan serta beberapa akta yang berkaitan, termasuk Penyata Razak 1956, Laporan Rahman Talib 1960, Akta Pelajaran 1961, Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran 1979, Falsafah Pendidikan Negara 1988, Akta Pendidikan 1996 dan Pindaan Akta Pendidikan 1997, wajib menjadi panduan, pegangan dan rujukan utama.
Sebarang pindaan sistem pendidikan kebangsaan hendaklah selaras dan tidak bertentangan dengan Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan mengenai bahasa kebangsaan, dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 yang antara lainnya menggariskan kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi yang digunakan pada peringkat kebangsaan.
Nasib sekolah aliran kebangsaan haruslah lebih baik selepas pengumuman rumusan sidang meja bulat pendidikan, bukan sebaliknya. Sekolah aliran kebangsaan hendaklah terus diperkasakan, menjadi sekolah aliran perdana di negara ini.
Untuk memperkasa sekolah aliran kebangsaan beberapa langkah harus diambil. Antaranya ialah pengisian kurikulum serta seni pengajaran yang lebih kreatif dan berkesan. Di samping itu kelas bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa ketiga harus diperbanyakkan di sekolah kebangsaan, agar sekolah kebangsaan terus menjadi tumpuan pelajar pelbagai kaum.
Peruntukan kewangan bagi tujuan pelaksanaan kurikulum serta kokurikulum sekolah aliran perdana ini juga mesti jauh lebih besar daripada peruntukan yang diberikan kepada sekolah jenis kebangsaan.
Pendidikan kebangsaan arus perdana ini yang menggunakan bahasa Melayu, harus berkesinambungan ke peringkat pengajian tinggi, sebagai mana dibuktikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terutama pada dekad perkembangan awalnya.
Dalam masa yang sama pihak kerajaan melalui kementerian serta agensi di bawahnya serta sektor swasta, harus memberi nilai yang sewajarnya kepada graduan yang melalui sistem pendidikan kebangsaan itu.

Oleh : Dr Anwar Ridwan 

Penulis ialah Sasterawan Negara dan Dekan Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA

MASYARAKAT CINA PATUT SAMBUT BAIK LANGKAH ATASI KEKURANGAN GURU




MASALAH kekurangan guru bukan isu baru dalam sistem pendidikan negara. Sehingga ke hari ini, isu kekurangan guru sama ada di sekolah menengah atau rendah tetap timbul dan diselesaikan secara berperingkat oleh kerajaan. Oleh itu, kekurangan guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang ditimbulkan pertubuhan pendidikan Cina baru-baru ini, sebenarnya turut dialami oleh Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan SJK Tamil.

Semua langkah yang diambil kerajaan selama ini bagi menangani masalah kekurangan guru di SJKC amat dipuji, khususnya bagi memastikan pembelajaran dan pengajaran di sekolah berkenaan berjalan lancar. Seperti ditegaskan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, merangkap Menteri Pelajaran, langkah itu adalah bukti kerajaan benar-benar komited dan serius dalam menyelesaikan isu kekurangan guru dengan segera dan efektif. Untuk tujuan itu, Kementerian Pelajaran menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas diketuai Timbalan Menterinya, Datuk Dr Wee Ka Siong bagi mengadakan perbincangan dengan persatuan pendidik Cina dan pemegang amanah lain, antaranya Persatuan Guru Besar SJKC, Dong Zong, Jiao Zong, Hua Zong dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP). Hasilnya, kekurangan guru yang pada mulanya berjumlah 4,991 orang pada 2009 berjaya dikurangkan kepada 1,874 tahun ini. Pada masa sama, Kementerian Pelajaran melantik 1,482 guru interim untuk mengisi kekosongan yang ada dan Guru Besar SKJC diberi kebenaran mencadangkan calon guru interim bagi dilantik oleh Jabatan Pelajaran Negeri untuk mengisi baki 392 kekosongan yang masih wujud. 

Kementerian Pelajaran turut mencapai keputusan memindahkan 100 guru pemulihan yang tidak mempunyai kelayakan dwibahasa kerana guru terbabit tidak boleh bertutur dan menulis bahasa Cina. Masalah komunikasi ini menyebabkan guru terbabit tidak dapat berinteraksi dengan murid pemulihan yang sudah tersedia lemah.

Sebagai langkah penyelesaian, kementerian memutuskan guru yang mempunyai kelayakan dalam bahasa Cina akan terus kekal di SJKC, manakala yang lain akan ditempatkan semula di sekolah kebangsaan mulai 16 April ini.

Semua langkah ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan ikhlas dalam usaha menyelesaikan isu yang dianggap berlarutan oleh masyarakat Cina, tidak seperti pembangkang yang hanya pandai bercakap tetapi tidak mampu melakukan apa-apa. Justeru, kita berharap masyarakat Cina akan menyambut baik langkah jangka pendek dan jangka panjang yang diumumkan kerajaan sebelum ini kerana SJKC tidak pernah sama sekali diasingkan daripada sistem pendidikan negara. Kita berharap langkah itu bukan kerana wujud tekanan daripada mana-mana pihak, pada masa sama, isu pendidikan tidak dipolitikkan oleh pihak tertentu. 

PENDIDIKAN SEKS MULA DI AJAR DI SEKOLAH NOVEMBER INI



Modul Program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) untuk pelajar sekolah akan mula diperkenalkan kepada murid tahun satu bermula November ini. Ketua Pengarah Lembaga Penduduk, Pembangunan dan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman berkata, keputusan itu dibuat selepas modul tersebut dapat diterima dengan baik oleh pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang kini didedahkan dengan PKRS.
Menurutnya, pelajar sekolah rendah dan menengah akan mengikuti modul yang berbeza berdasarkan tahap usia mereka. “Berdasarkan tinjauan dan maklumat balas yang diterima daripada pelatih PLKN seluruh negara ternyata mereka sangat gembira dengan kandungan modul itu yang mula dipelajari sejak dua hari lalu.
“Menurut mereka, modul yang dipelajari itu sangat berguna dan tidak pernah dibincangkan dengan keluarga sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke PLKN Benum Hill Resort dekat sini hari ini. Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.
Menurut Aminah, modul tersebut akan mula diajar kepada murid tahun satu selepas selesai peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Katanya, pendidikan itu bukan perkara baru kerana ia mengambil modul sedia ada yang diperbaharui dan digubal semula.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, para pelatih PLKN memberikan reaksi positif terhadap kandungan modul tersebut kerana mereka mendapat maklumat dengan kaedah yang betul. “Modul tersebut lebih kepada membentuk golongan remaja yang sihat, berdaya tahan, berakhlak, bertanggungjawab serta berupaya menghadapi cabaran perubahan dalam kehidupan masa kini,” katanya. –  Utusan

PEMBERIAN DISKAUN BELI BARANGAN KEPADA PELAJAR




SINTOK: Sebanyak 17 syarikat mengesahkan untuk bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bagi memberi diskaun kepada pelajar yang menggunakan kad diskaun semasa membuat pembelian.
Menteri berkenaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pihaknya sedang membuat rundingan terakhir dengan syarikat berkenaan sebelum melancarkan kad diskaun tersebut bulan depan.
"Antara syarikat yang terlibat ialah cermin mata, kedai buku, alat tulis, makanan segera, pusat kecantikan dan klinik. Kita juga menjangkakan semasa pelancaran nanti, kita dapat menarik lebih 20 syarikat kerana kita juga sedang membuat perbincangan dengan syarikat pengangkutan seperti Maswing (untuk pelajar di Sabah dan Sarawak) dan juga syarikat minyak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Universiti Utara Malaysia (UUM) 2012, Gerakan Pengguna Siswa peringkat negeri Kedah dan Menu Rakyat 1Malaysia di UUM di sini hari ini.

Katanya kadar diskaun yang akan diberikan adalah antara 10 hingga 30 peratus bergantung kepada persetujuan syarikat tersebut.

"Pada fasa pertama, kita akan berikan kepada pelajar tahun akhir kerana mereka akan menamatkan pengajian tidak lama lagi dan fasa-fasa berikut baru kita beri kepada pelajar tahun dua dan tahun satu," katanya.

Ismail Sabri berkata kad itu akan diberikan kepada semua pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta, kolej komuniti dan institut pendidikan guru.

"Sekarang ini kita mempunyai 1.4 juta pelajar di seluruh negara dan kita akan berikan kad diskaun tersebut secra berperingkat. Untuk permulaan kita akan utamakan kepada semua mahasiswa kecuali pelajar pascasiswazah," katanya.

Beliau berkata pemberian kad itu mungkin diperluas kepada semua pelajar termasuk pascasiswazah kecuali pelajar antarabangsa pada masa akan datang.

Beliau turut menyarankan kepada pelajar yang akan menerima kad tersebut supaya membuka akaun simpanan di Bank Rakyat kerana kad itu juga boleh dijadikan kad debit semasa membeli barang di kedai-kedai terpilih.

"Kita bersama-sama dengan Bank Rakyat mengeluarkan kad tersebut dan diberikan secara percuma kepada pelajar. Kita anggap ini sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) Bank Rakyat dan juga CSR daripada syarkat-syarikat yang memberi diskaun terhadap produk mereka," katanya.

Katanya pemberian kad diskaun pelajar jelas menunjukkan pihak kerajaan prihatin kepada golongan pelajar dan sentiasa memikirkan bagaimana cara hendak membantu pelajar kerana pelajar tidak mempunyai pekerjaan dan hanya bergantung kepada ibu bapa dan juga pinjaman pelajaran.

"Ini juga merupakan satu inisiatif yang kita kira tidak memerlukan belanja yang besar kerana kerjasama yang diberikan antara pihak kerajaan dan swasta yang jika kerjasama diteruskan lagi, maka lebih banyak yang boleh kita lakukan," katanya. - BERNAMA
Artikel ini disiarkan pada : 28/08/2012

SUDAHKAH KAJIAN BAIK BURUK DI AMBIL KIRA?





JIKA keadaan ekonomi mengizinkan, saya percaya ramai ibu bapa akan menyediakan gajet terkini, terutama telefon bimbit yang menjadi keperluan dewasa ini. Tetapi persoalannya, adakah wajar anak-anak di sekolah dibenarkan membawa telefon bimbit ke sekolah?
Pada hari ini kes jenayah yang memangsakan pelajar sekolah sedang berleluasa. Ini tidak termasuk isu sosial lain yang melanda pelajar sekolah yang tidak perlu saya nyatakan di sini.

Sebagai ibu bapa,  kita semua bimbang kiranya semasa  pulang dari sekolah anak-anak berhadapan dengan bahaya dan sebagainya, bagaimanakah anak-anak ini dapat menghubungi keluarga ketika kecemasan? Pelbagai persoalan dan kebimbangan telah meletakkan idea membenarkan pelajar membawa telefon bimbit kelihatan sangat wajar.

Tetapi sudahkah perkiraan dan kajian baik buruknya diambil kira? Hanya pihak berwajib mampu menjawab persoalan ini. Sebagai rakyat biasa yang tidak mempunyai statistik baik buruknya membenarkan pelajar membawa telefon ke sekolah mungkin boleh untuk saya kongsikan bersama isu yang pada hemat saya mungkin timbul apabila pelajar bersama telefon di sekolah:

1. Tumpuan pelajar terganggu

Bolehkah seorang guru mengawal pelajarnya agar tidak melayan SMS yang masuk keluar pada setiap detik dan ketika? Mungkin juga pelajar sibuk melihat kecanggihan gajet yang dimiliki oleh rakan dan membandingkan dengan gajet miliknya. Bukankah ini semua akan mengganggu pengajaran dan pembelajaran dalam kelas.

2. Jurang stratifikasi sosial di sekolah


Sekolah diprogramkan dengan keseragaman dan kesamarataan. Baju tidak berbeza pada warna mahupun gayanya. Tetapi jika gajet yang dibawa iPhone, Samsung, BlackBerry sudah tentu tidak sama dengan gajet tidak berjenama. Apakah kita inginkan jurang stratifikasi sosial berlaku di dalam persekitaran sekolah. Sombong, memperlekehkan yang lain mungkin akan menjadi budaya sekolah. Adakah matlamat ke sekolah akan tercapai kiranya begini keadaan persekitarannya?

3. Jenayah kecil-kecilan

Gajet yang dibawa ke sekolah seperti telefon bimbit mungkin terdedah kepada kecurian. Disebabkan godaan yang tinggi gajet yang dicuri boleh membawa kepada masalah lain seperti bergaduh sesama pelajar dan tidak kurang menyusahkan para guru yang terpaksa membuat siasatan bagi kecurian tersebut.

4. Isu sosial

Anak remaja sedang dalam proses mengenali diri dan membentuk peribadi. Banyak kes pada hari ini telefon bimbit berkamera digunakan sebagai bahan untuk bereksperimen dalam melihat tubuh badan sendiri, mengendap, merekodkan aksi buli dan aksi terlarang lain atas dasar ingin tahu yang kuat dalam diri remaja. Bukan itu sahaja, gajet canggih yang dilengkapi akses kepada internet juga memungkinkan pelajar leka bermain permainan dalam talian dan lain-lain lagi. Sanggupkah para guru warga pendidik dan ibu bapa melayani serta berhadapan dengan semua isu ini yang mana kadar penyalahgunaannya begitu tinggi?

5.  Akademik tidak bebas lagi

Guru-guru mungkin mengalami kesukaran untuk berkongsi contoh dan bercakap mengenai perkara yang sensitif kerana khuatir gajet canggih yang dimiliki pelajar merekodkan perkara itu serta mentafsirnya secara salah. Guru juga mungkin tidak akan menggayakan atau berdemonstrasi dalam membentuk kefahaman pelajar bagi mengelakkan ia direkodkan, disunting dan dimuatkan di internet yang akan menjadikan guru terbabit bahan lawak jenaka. Lebih malang ia mungkin jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab dan secara tidak langsung mengekang kebebasan akademik di sekolah.

Mungkin bagi membendung kebimbangan ibu bapa akan ancaman bahaya yang ada pada hari ini, pihak berwajib perlu memperkenalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang membolehkan pihak sekolah dan ibu bapa mengambil tindakan perlu apabila berlaku kecemasan. Butiran untuk dihubungi ketika kecemasan sama ada oleh pelajar, ibu bapa dan pihak sekolah perlulah jelas.

Pemantauan daripada semua pihak memungkinkan persekitaran yang lebih baik kepada semua.

Pelajar perlu dididik agar lebih bertanggungjawab dengan tidak melencong ke tempat lain selepas meninggalkan sekolah. Sentiasa memaklumkan ibu bapa dan guru kiranya mempunyai aktiviti.

Tetapi keadaan dan suasana semasa mungkin mendesak agar pelajar dibenarkan membawa telefon bimbit ke sekolah. Biarlah keputusan yang dibuat kelak merupakan risiko yang paling minimum untuk ditanggung oleh ibu bapa, pelajar, sekolah dan juga masyarakat.

11,000 GURU JQAF DIPERLUKAN





Kementerian Pelajaran masih mengalami kekurangan 11,000 guru bagi mengajar subjek J-Qaf (Jawi, al-Quran, Arab dan Fardhu Ain) di seluruh negara.

Terpaksa tangguh

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata kekurangan itu memaksa pengajaran mata pelajaran berkenaan yang dijadualkan dilaksana di sekolah menengah mulai tahun depan terpaksa ditangguhkan.

Katanya, antara punca termasuk kurangnya bekalan guru berijazah untuk mengajar J-Qaf serta masalah permohonan perjawatan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang masih tidak diluluskan sehingga kini.

Minta percepat kelulusan

“Jadi, kita minta JPA percepatkan kelulusan perjawatan (guru J-Qaf) dimohon kementerian membolehkan kekurangan itu diisi segera.

“Sekarang ini kita tumpu untuk penuhi permintaan guru J-Qaf di sekolah rendah sebelum melaksanakan sepenuhnya di sekolah menengah,” katanya selepas majlis berbuka puasa di Sekolah Rendah Islam Cahaya Ummi, Kampung Batu Muda di sini, semalam.
Pada majlis itu, Mohd Puad turut menyampaikan sumbangan kepada 60 asnaf termasuk anak yatim terdiri dikalangan pelajar sekolah berkenaan serta masyarakat setempat.

Disember lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan program perintis j-Qaf menengah dilaksanakan mulai pertengahan tahun ini dan pelaksanaan sepenuhnya pada 2013 di sekolah menengah.

Muhyiddin dilaporkan berkata, pelaksanaan J-Qaf di 4,747 sekolah rendah sejak 2005 berkesan apabila 94 peratus murid menguasai empat kemahiran iaitu Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan fardu ain.

- BERITA HARIAN

Telefon Bimbit Di Sekolah - Bencana Atau Rahmat





Posted by Mohd Adha Mohd Zain on Thursday, July 19, 2012
Baru-baru ini kerajaan telah mengumumkan kemungkinan untuk memberi kebenaran kepada pelajar bagi membawa telefon bimbit ke sekolah. Ramai yang tidak bersetuju dan ada juga segelintir yang menyokong perkara ini. Namun adakah kelonggaran yang diberikan oleh Kementerian Pelajaran ini bakal membawa kebaikan di dalam sistem pendidikan di Malaysia.

Pada pendapat penulis, berkemungkinan besar perkara ini telah di bawa ke peringkat kementerian oleh beberapa individu yang bernama ibu bapa di mana mereka mungkin ada sebab-sebab tersendiri. Apa yang penulis ingin kupas ialah apakah sebenarnya motif isu ini ditimbulkan dan apakah kesannya kepada semua pihak.

Terdapat dua kemungkinan di sini iaitu tujuan ini barangkali telah ditimbulkan samada oleh ibu bapa yang risaukan keselamatan anak-anak mereka apabila pulang dari sekolah dan mungkin juga berpunca dari pujuk rayu anak-anak segelintir dari ibu bapa ini yang menggesa agar mereka dapat dibenarkan bawa handphone tanpa sebarang sekatan oleh pihak sekolah. Boleh saya katakan ada tujuan yang baik dan ada juga yang bermotifkan peribadi dan kesukaan sendiri.

Pertama sekali mari kita lihat dari segi keselamatan anak-anak kita di luar sana. Tidak dinafikan dengan kadar jenayah yang semakin menakutkan saban hari menyebabkan ibu bapa berasa risau akan keselamatan anak-anak mereka. Boleh dikatakan terdapat beberapa kes di sekolah yang memberi kelonggaran kepada pelajar tertentu yang memohon dari pihak sekolah agar dapat membawa telefon bimbit. Mereka telah dibenarkan dengan bersyarat di mana pihak sekolah akan menyimpan telefon tersebut sehingga tamat persekolahan serta pelajar juga hanya dibenarkan membawa telefon yang berharga murah bagi tujuan keselamatan. Ya tentu sekali kebenaran bersyarat ini maat membantu meredakan keresahan ibu bapa semasa bekerja. Sekurang-kurangnya mereka tahu anak mereka selamat sampai ke rumah setelah pulang dari sekolah.

Namun begitu, pihak sekolah perlu menapis dahulu keperluan pelajar ini di mana setiap permohonan memerlukan sesi perbincangan bersama ibu bapa bagi menentukan tahap keperluan tersebut. Jika keperluannya tidak kritikal, maka hasrat ini tidak semestinya dibenarkan kepada pelajar.

Jika tadi berkenaan kebaikan, kita lihat pula apakah natijahnya jika perkara ini dibenarkan oleh kementerian. Di samping larangan membawa telefon bimbit oleh kementerian pelajaran sebelum ini (melalui pekeliling), terdapat ramai pelajar yang membawa telefon bimbit secara curi-curi dan juga sentiasa mencuri menggunakannya seaktu berada di kelas apatah lagi semasa guru sedang mengajar. Aktiviti yang biasa dilakukan ialah SMS bersama rakan yang membawa telefon bimbit, bermain permainan, mendengar musik serta banyak yang telah ditangkap menonton video lucah bersama rakan-rakan. Apa yang hendah saya nyatakan di sini ialah, walaupun dengan larangan pihak kementerian sebelum ini, masalah berantai berkaitan dengan telefon bimbit ini sudahpun banyak menyusahkan guru dan pihak sekolah apatah lagi kerosakan jiwa dan diri pelajar secara terus.

Telefon bimbit merupakan amat yang amat berguna dan memberi kebaikan namun begitu, anak-anak kita di sana sentiasa dibiarkan oleh ibu bapa tanpa sebarang kawalan sehingga tidak mampu membezakan apakah had mereka semasa menggunakan peranti tersebut. Maka tidak hairan lebih banyak aktiviti yang tidak berfaedah berbanding kegunaan asal telefon tersebut. Kebanyakkan pelajar yang ditangkap juga membawa telefon bimbit yang tidak mempunyai nilai kredit bermakna tujuan mereka hanyalah untuk menunjuk-nunjuk kepada rakan yang lain bahawa mereka juga mempunyai gajet yang bernilai ratusan hingga ribuan ringgit.

Apa yang menjadi kemarahan para guru ialah, apabila berlaku sebarang kecurian telefon bimbit pelajar ini tanpa segan silu menggesa guru agar melakukan pemeriksaan bagi mencari semula telefon mereka sedangkan mereka tahu perbuatan mereka telah melanggar undang-undang sekolah. Hendak dinyatakan di sini bahawa, pihak sekolah tidak perlu bertanggungjawab terhadap kehilangan barangan larangan ini dan apa yang menyedihkan apabila pelajar tidak berjaya memujuk guru di sekolah, mereka akan membawa ibu bapa mereka ke sekolah agar dapat memberi tekanan kepada guru dan pihak sekolah. Apatah lagi guru pula yang akan di maki hamun oleh ibu bapa seolah-olah guru tidak bertanggungjawab dan anak mereka tidak melakukan kesalahan.

Wahai ibu bapa di luar sana, janganlah anda risaukan anak anda tidak tahu menggunakan telefon bimbit jika mereka disekat dari menggunakannya pada peringkat awal kerana sesungguhnya zaman sudah berubah. Generasi baru amat mudah menguasai teknologi gadget ini dan jika anda sayangkan anak anda, letaklah satu had umur bagi memberi kebebasan kepada mereka untuk menggunakan kemudahan ini. Sememangnya menjadi satu kebanggan bagi ibu melihat anak-anak mereka amat cekap bermain dengan telefon bimbit dan gajet lain apatah lagi anak mereka hanya berumur 3-4 tahun. Namun begitu apa yang tidak kita sedari,kita telah meletakkan anak-anak kita di dalam satu dimensi tertutup sehingga mereka tidak mampu berinteraksi dengan baik dengan dunia nyata.

Mengikut kajian, bagi anak-anak yang menghabiskan berjam-jam dengan bermain bersama gajet elektronik setiap hari akan menjadikannya seorang yang terlalu pasif dan juga terlalu agresif. Ini adalah kerana mereka berkawan, berlawan dan bersosial hanya di dunia maya tidak bersempadan yang tidak mempunyai perasaan untuk bertindak balas dari segi emosi dan pengajaran. Oleh itu, maka lunturlah sifat kemanusiaan serta nilai murni seorang individu sehingga mereka tidak lagi mengerti apakah bahasa dan perbuatan yang sesuai di dunia sebenar. Contohnya amatlah ketara kini di mana anak muda semakin kurang ajar dengan orang dewasa serta penggunaan bahasa semakin tunggang langgang saban hari.

Berbalik kepada isu telefon tadi, jika pelaksanaan ini diteruskan maka guru di sekolah akan menghadapi satu cabaran yang amat besar dan yakinilah ianya akan mengganggu keseluruhan proses pembelajaran di sekolah. Pelajar akan semakin sukar dikawal di kelas serta penumpuan akan jatuh ke paras 70% apabila pelajar sentiasa mempunya telefon di poket. Bagi seorang remaja yang sedang membesar, kegilaan serta keterujaan terhadap gajet ini akan menyebabkan fikiran mereka banyak membayangkan keseronokan bermain bersama gajet ini walaupun tidak menggunakannya.

Sifat tunjuk menunjuk juga akan membawa perasaan hasad dengki sehingga terjadinya kecurian oleh pihak lain samada kerana tidak mampu memilikinya ataupun atas kerana sakit hati terhadap rakan tersebut. Penyalahgunaan juga akan berleluasa seperti rakaman video secara tersembunyi seperti di tandas dan sebagainya sehingga terjadinya penyebaran bahan yang tidak bermoral.

Pendek kata banyak lagi keburukan yang lain berbanding kebaikan. Jika telefon awam yang tidak berfungsi di sekolah yang menjadi puncanya, maka itu tidak boleh dijadikan alasan oleh pelajar. Pihak sekolah sentiasa membenarkan pelajar membuat panggilan penting dengan caj yang jauh lebih murah berbanding telefon awam jika pelajar memerlukannya apabila kecemasan. Sebagi contoh sebuah sekolah di kawasan Ampang, dengan hanya caj 20 sen untuk sebuah panggilan yang tidak dihitung masanya ianya amat murah dan jauh lebih murah dari telefon bimbit. Maka ibu bapa seharusnya lebih memahami keadaan ini dan dapat membantu pihak sekolah bagi memastikan anak-anak mereka tidak hanyut dengan arus teknologi yang mampu merosakkan anak-anak kita jika tidak dikawal penggunaanya.

Banyak lagi perkara yang ingin dikupas oleh penulis namun begitu sampai di sini sahaja perbincangan ini buat masa ini, semoga di masa hadapan dapat diberikan kudrat untuk menyambung kupasan yang lebih mendalam agar dapat kita saling mengingati sesama ibu bapa agar anak kita sentiasa berada di laluan terbaik menjadi insan yang harmonis dan seimbang serta berkeupayaan dari segala aspek. Jumpa lagi di entri seterusnya terima kasih atas kesudian anda membaca :-)