MAJORITI GURU TIDAK SETUJU PELAJAR BAWA TELEFON BIMBIT KE SEKOLAH





Posted by Mohd Adha Mohd Zain on Thursday, July 19, 2012
Lebih 90 peratus guru dan 80 peratus pemimpin sekolah tidak bersetuju cadangan Kementerian Pelajaran membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah. Keputusan hasil kaji selidik membabitkan kira-kira 2,000 responden di seluruh negara itu dimaklumkan Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Menengah (MPSM), Muhamad Khailani Abdul Jalil kepada BH, semalam.

Muhamad Khailani adalah Ahli Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin Murid yang dipengerusikan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.

Malah, kajian itu turut mendapati lebih 75 peratus ibu bapa dan 55 peratus pelajar sendiri turut menolak cadangan berkenaan.

Kajian dibuat Kementerian Pelajaran tahun lalu untuk mendapatkan pendapat pihak berkepentingan mengenainya.

Beliau berkata, rata-rata semua pihak kepentingan menegaskan keperluan pelajar untuk membawa telefon bimbit ke sekolah amat sedikit dan tidak mewakili suara majoriti.

“Kebimbangan utama semua pihak berkepentingan itu ialah ia lebih banyak membawa keburukan.

“Berdasarkan pengalaman sekolah, 60 peratus pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah walaupun tidak dibenarkan ketika ini. Masalah berlaku apabila telefon bimbit hilang, pelajar menuduh rakan mencuri sehingga mencetuskan pergaduhan.

“Selain itu, pelajar membawa anasir berunsur lucah ke sekolah dan berisiko tinggi berlaku penyebaran yang boleh mempengaruhi rakan,” katanya.

- BERITA HARIAN

Rencana : Banyak keburukan bawa telefon bimbit ke sekolah




Tahun depan, tidak mustahil poster bertulis, “Sila matikan telefon bimbit atau gajet anda ketika guru sedang mengajar” akan ditampal di bilik darjah. 

Di kawasan sekolah pula, poster bertulis “Penggunaan telefon bimbit atau gajet dibenarkan sebelum dan selepas waktu sekolah atau pada masa rehat saja,” mungkin akan ditampal di papan kenyataan dan setiap koridor.
Poster berkenaan ditampal bertujuan mendisiplin murid sekolah, selain memastikan mereka mematuhi syarat ditetapkan Kementerian Pelajaran susulan murid dibenarkan membawa telefon bimbit atau gajet komunikasi ke sekolah pada 2013.

Bagaimanapun, kebenaran itu hanya akan menjadi kenyataan selepas undang-undang dan peraturan di bawah Akta Pendidikan 1996 dipinda, menurut Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.

Pindaan itu perlu bagi menggalakkan pendidik dan pelajar menggunakan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) pada abad ke-21 dan selaras langkah untuk melaksanakan pengajaran maya dan program ‘1Bestari’ di seluruh negara.

Bagaimanapun, keputusan Kementerian Pelajaran itu nampaknya mengundang kontroversi dan polemik kerana banyak pihak, khasnya ibu bapa termasuk guru menentangnya.
Tiada alasan kukuh dikemukakan, namun secara umumnya, ibu bapa dan pihak sekolah menganggap kebebasan itu hanya membawa lebih banyak keburukan berbanding kebaikan sama ada kepada murid, guru dan ibu bapa.

Pada masa sama, guru, masyarakat dan ibu bapa berpendapat, penggunaan telefon bimbit oleh pelajar di sekolah tidak akan membantu meningkatkan mutu pendidikan, sebaliknya menyumbang kepada masalah disiplin di sekolah seperti kemungkinan berlaku kes kecurian telefon bimbit atau gajet dibawa anak mereka.

Di samping itu, ibu bapa dan guru bimbang jika murid dibenarkan membawa serta menggunakan telefon bimbit, mereka akan menjadi leka untuk belajar kerana asyik ‘mengulit’ tanpa henti telefon bimbit dan gajet masing-masing.

Walaupun kebenaran membawa telefon bimbit dan gajet seperti tablet itu bersyarat, namun ibu bapa menganggap keputusan itu masih kurang relevan dan membebankan.

Umum mengetahui, sejarah melarang murid membawa dan menggunakan telefon bimbit ke sekolah dikuatkuasakan sejak 13 Mei 1997.

Walaupun Kementerian Pelajaran membenarkan murid membawa telefon bimbit ke sekolah secara bersyarat menerusi satu pekeliling bertarikh 23 Disember 2005, namun ia ditarik balik oleh Menteri Pelajaran ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada 19 Januari 2006 atau 28 hari selepas pekeliling itu dikeluarkan.

Kini, cadangan membenarkan murid membawa telefon bimbit dan gajet ke sekolah disuarakan sekali lagi dan maklum balas awal yang diterima menunjukkan majoriti guru tidak bersetuju kerana keperluan pelajar untuk membawa telefon bimbit ke sekolah amat sedikit dan tidak mewakili suara majoriti.

Tambahan pula, jika diteliti, telefon bimbit yang dijual di pasaran kini ialah jenis telefon pintar iaitu mempunyai ciri-ciri dan aplikasi canggih yang memudahkan sesiapa saja melayari internet, bersembang dalam laman sosial, mengambil gambar, merakam video dan suara tanpa had batasan.

Dari sudut positif, penggunaannya dapat membantu mengembangkan minda dan kreativiti murid di sekolah khasnya untuk mencari maklumat, namun ia juga mampu mencetuskan lebih banyak isu disiplin kerana besar kemungkinan murid menyalahgunakannya untuk tujuan tidak bermoral.

Memang diakui, telefon bimbit dan gajet seperti tablet sudah menjadi fenomena serta keperluan dalam kehidupan kita sehari-hari, namun adakah ia berupaya mendorong murid di sekolah menggunakannya secara bijak dan terkawal apabila dibawa ke sekolah. 

"Pelajar dibenar membawa telefon bimbit ke sekolah....." Apakah rasional tindakan ini...berikan pendapat anda

Pelajar dibenarkan untuk membawa telefon bimbit dan gajet IT ke sekolah mulai 2013


Pelajar akan dibenarkan untuk membawa telefon bimbit dan IT gajet ke sekolah mulai tahun depan selepas undang-undang dan peraturan-peraturan di bawah Akta Pendidikan 1996 dipinda, kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong. 

Beliau berkata hari ini bahawa apa-apa perubahan yang perlu dibuat untuk menggalakkan pendidik dan pelajar untuk menggunakan teknologi maklumat di abad ke-21. Ini selaras dengan langkah untuk melaksanakan pengajaran maya dan program pembelajaran Kementerian Pelajaran – “1Bestari” – di seluruh negara. 

Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Kementerian Pelajaran, penemuan awal telah menunjukkan pandangan yang berbeza-beza dari pihak-pihak yang berkepentingan seperti pengetua, guru, ibu bapa dan pelajar.
“Apabila 1Bestari dilaksanakan, anda akan mendapat wifi percuma. Kami ingin memberikan persekitaran pembelajaran maya supaya pelajar boleh menggunakan gajet mereka untuk belajar.
“Dunia sama sekali berbeza kini. Ini adalah trend. Kita tidak boleh berhenti."
Pada masa ini, pelajar tidak dibenarkan membawa telefon bimbit ke sekolah. Draf pindaan itu akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa seminggu, dan garis panduan mengenai penggunaan peralatan elektronik di sekolah akan ditubuhkan oleh Kementerian Pelajaran. 

Proses pengajaran dan pembelajaran tidak boleh terganggu. Garis panduan ini akan menggariskan bagaimana kita membenarkan dan bila kita boleh membenarkan pelajar untuk menggunakan peralatan ini, “katanya.
Beliau menambah satu lagi faktor adalah keselamatan pelajar, kerana ibu bapa ingin menggunakan telefon bimbit untuk menghubungi anak-anak mereka selepas sekolah.

Salam............sahabat, anda diberi dibenarkan untuk memberi pandangan dan ulasan atas isu yang akan diutarakan.......................

Salam Dari Bumi Allah


"Setiap orang dapat mencapai kejayaan dalam 
hal apa saja, 
asalkan ia sangat menyukai pekerjaan yang 
dilakukan."