2,313 MURID MISKIN DI TAWAR KE SBP

                                     



                       

      KUALA LUMPUR - Seramai 2,313 murid miskin termasuk 925 daripada keluarga miskin tegar akan ditawar ke Tingkatan Satu, Sekolah Berasrama Penuh (SBP) tahun depan dengan diberi bantuan oleh Kementerian Pelajaran.
Menurut Bahagian Pengurusan SBP dan Sekolah Kecemerlangan Kementerian Pelajaran, mereka merupakan antara 7,710 murid yang dipilih bagi ditempatkan di Tingkatan Satu SBP.
Murid daripada keluarga miskin tegar yang akan dipilih perlu mempunyai sekurang-kurangnya 3A 2B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2012, menurut kenyataan bahagian tersebut hari ini.
Ia berkata kementerian telah menerima 105,357 permohonan untuk kemasukan ke Tingkatan Satu SBP, dengan seramai 62,338 pemohon terdiri daripada murid perempuan dan 43,019 murid lelaki.
Tempat yang diperuntukkan ialah untuk seramai 7,710 murid, 3,645 untuk murid perempuan dan 4,065 murid lelaki, menurut kenyataan tersebut.
"Dasar pengambilan murid ke SBP memberi keutamaan kepada murid yang berasal dari sekolah pedalaman dan luar bandar. Justeru itu Kementerian Pelajaran akan menawarkan sekurang-kurangnya 5,397 atau 70 peratus tempat kepada para pelajar yang berasal dari sekolah pedalaman dan luar bandar," menurutnya.
Menurut kenyataan itu, keputusan pemilihan dan penempatan murid ke Tingkatan Satu SBP akan diumumkan selewatnya 16 Disember depan.
Keterangan lanjut boleh diperoleh di laman web www.moe.gov.my dan murid yang ditawarkan juga akan dimaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).  - Bernama            

GRADUAN IPG,IPTA DILANTIK JAWATAN PPPS 2013?


Kuala Lumpur: Seramai 10,715 graduan institut pendidikan guru Malaysia (IPGM) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang tamat pengajian tahun ini akan dilantik ke jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG41.

Daripada jumlah itu, 2,960 orang yang tamat pengajian Jun lalu sudah ditempatkan secara interim dan dalam proses ditemuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata pelantikan ke jawatan PPPS Gred DG41 adalah langkah jangka pendek kerajaan bagi mengatasi masalah penempatan guru baru.Katanya, pelantikan itu bagaimanapun tertakluk kepada memenuhi syarat skim PPPS, membuat permohonan kepada SPP dan lulus temu duga.
“Baki 7,755 graduan yang tamat pengajian pada September dan Disember tahun ini, perlu memohon jawatan PPPS Gred DG41 secara online ke SPP melalui Jobs Malaysia dalam laman sesawang SPP bagi temu duga pada tahun depan,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) mengenai langkah jangka pendek dan jangka panjang diambil kementerian bagi memastikan penempatan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP).
Mohd Puad berkata, kementerian juga menjalankan kajian norma perjawatan, unjuran, dasar penempatan dan pertukaran guru serta kumpulan pelaksana mulai tahun depan, bagi membangunkan model baru pengurusan sumber manusia pendidikan di negara ini bermula 2014.Menjawab soalan tambahan Khairy mengenai rayuan 63 graduan ISMP yang gagal temu duga SPP, Mohd Puad berkata mereka akan diberi peluang kedua.

sumber : Berita Harian bertarikh 23.11.2012

USAH MENGHUKUM TAPI BERI SOKONGAN


IMEJ mahasiswa yang terjejas dengan pelbagai isu, kini dipersoalkan lagi dengan kehadiran ragam mahasiswa berperwatakan lembut yang dilihat semakin ketara sejak akhir-akhir ini.
Biarpun bukan ancaman, kehadiran mereka ada kalanya kurang disenangi mahasiswa lain hingga wujud 'pergeseran' dalam diam.
Ditambah lagi dengan sikap mahasiswa berkenaan yang dikatakan boleh berlagak 'selamba', bermulut laser dan tidak kisah dengan pandangan serong orang sekeliling, ia dikhuatiri boleh menimbulkan konflik berpanjangan.
Namun, benarkah golongan mahasiswa itu mengganggu pandangan serta mengusik perasaan mahasiswa lain?
Atau, adakah ada penyebab lain mengapa mereka tidak selesa dengan kehadiran golongan berkenaan?
Pengarah Pusat Inovasi Keusahawanan dan Pembangunan Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, kehadiran golongan itu tidak wajar dijadikan isu kerana mereka juga berhak memperoleh pendidikan.
Beliau berkata, penampilan individu menjadi hak eksklusif diri sendiri yang tidak boleh dipersoalkan dan masing-masing mempunyai cara tersendiri untuk menampilkan diri.
"Walaupun kehadiran mahasiswa begini kurang disenangi pihak tertentu, mereka masih mempunyai hak memperoleh pendidikan atau apa saja kebebasan selagi masih menuruti undang-undang.
"Jadi, jangan anggap kehadiran mereka sebagai gangguan biarpun ada yang tidak suka. Kita tidak berhak memberi label atau penarafan berpandukan fizikal semata-mata.
"Malah institusi pengajian tinggi juga bersikap terbuka dan menganggap mereka sama seperti mahasiswa lain. Asalkan masih mengikut peraturan, tiada diskriminasi untuk menuntut ilmu, " katanya.
Senario mahasiswa berperwatakan lembut yang kian membanjiri pelbagai institusi pengajian tinggi hari ini bukan janggal malah sudah lama wujud.
Namun, sikap kurang terbuka masyarakat untuk menerima kehadiran mereka menjadi antara punca golongan terbabit seolah-olah dipinggirkan.
Lebih menyedihkan apabila wujud suara sumbang mengatakan mereka antara punca terjadinya gejala sosial di kalangan generasi muda.
Beliau yang menjalankan kajian mengenai permasalahan berkenaan pada 2008, bagaimanapun menafikan mahasiswa lembut adalah golongan bermasalah.
"Memang tidak dinafikan, secara luaran, kehidupan mereka nampak 'bermasalah' kerana meniru perwatakan gender berlawanan namun keseluruhannya bukan begitu.
"Hanya segelintir terbabit dan mereka terdorong melakukannya kerana beberapa faktor tertentu seperti pengaruh rakan, didikan keluarga juga persekitaran.
"Boleh disimpulkan mereka sama seperti mahasiswa normal lain yang menjalani kehidupan biasa biarpun secara fizikal, masyarakat melihatnya sebagai sesuatu yang kurang wajar," katanya.
Beliau turut tidak menafikan kehidupan mahasiswa itu cukup mencabar dalam mengharungi dunia kehidupan di kampus.
"Ini kerana mereka berdepan dengan diskriminasi atau penolakan hanya kerana penampilan digayakan. Tanpa memberi ruang golongan terbabit menunjukkan kebolehan diri, mereka ditafsirkan memang bermasalah.
"Sebenarnya, mahasiswa ini sangat memerlukan sokongan bagi memperbetulkan keadaan.
"Malangnya, masyarakat menolak mereka menjadikan mahasiswa berperwatakan lembut ini tiada pilihan selain mendapat sokongan kumpulan senasib," katanya.
Bagaimanapun, sesuatu yang istimewa ialah biarpun berdepan penolakan itu, jiwa mereka kental dan kebanyakan mereka tergolong dalam kategori pelajar cemerlang.
"Hanya kerana penampilan fizikal yang sedikit berbeza, masyarakat terus memberi penilaian serta menjadikannya sebagai sasaran pengecualian interaksi sosial.
"Golongan ini seolah-olah tidak mendapat keadilan kerana hanya dinilai secara luaran sedangkan mungkin mereka ada niat berubah tapi tidak mendapat kekuatan sokongan orang lain.
"Sikap masyarakat yang suka menghukum tanpa memberi peluang atau menunjukkan jalan yang betul juga adalah antara penyebab mereka tidak mahu berubah malah boleh berpaling pada jalan salah," katanya.
Ditanya mengenai pendirian institusi, katanya institusi berperanan menjalankan tanggungjawab utama iaitu memberi pendidikan sama rata kepada mereka yang memenuhi syarat tanpa prejudis.
Menurutnya, tiada diskriminasi dalam memberi ilmu kepada sesiapa yang
ingin belajar dan institusi tidak pernah memberi syarat atau melabel mahasiswa tertentu.
"Yang penting setiap mahasiswa tertakluk pada peraturan. Sesiapa saja jika melakukan kesalahan akan dihukum dan dikenakan tindakan selaras peraturan sedia ada.
"Bagaimanapun, adalah sesuatu yang sangat baik jika mereka mahu mengubah penampilan. Ini juga satu proses pembelajaran berterusan untuk membina masa depan.
"Apapun, ini hak setiap individu dan institusi tidak boleh campur tangan sewenangnya. Walaupun mungkin salah pada pandangan kita, namun mungkin tidak pada orang lain," katanya.

GURU CEMERLANG SEPARUH MASA,PJJ, BOLEH NAIK GRED TANPA TEMUDUGA




Guru cemerlang : Ya….berita mengenai guru baru-baru yang diumumkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yaasin sebenarnya keistimewaan yang diberikan diberikan kepada guru, guru besar, pengetua yang melanjutkan pelajaran samada sepenuh masa atau PJJ. Mereka-mereka ini dahulu lagi sudah ditemuduga untuk pengesahan jawatan.
Walaubagaimanapun, lantikan baru tetap kena menghadiri temuduga juga.
Guru Cemerlang Ijazah Separuh Masa, PJJ, Boleh Naik Gred DG41 Tanpa Temuduga
SEREMBAN – Guru cemerlang, guru besar dan pentadbir cemerlang yang memperoleh ijazah sama ada secara separuh masa atau di bawah program Pengajian Jarak Jauh akan dilantik terus ke Gred DG41 tanpa perlu hadir temu duga.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan perkara itu semalam berkata, guru cemerlang berkenaan boleh memohon terus kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) untuk dikecualikan daripada proses temu duga.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut mengumumkan calon guru cemerlang pada tahap akademik dan ikhtisas selepas menamatkan pengajian, akan dilantik terus tanpa proses temu duga sebagai guru pelatih mulai tahun depan.
Pada bulan lepas beliau mengumumkan bahawa calon guru yang bakal dipilih ialah 30 peratus dalam kalangan mereka dengan keputusan 9A dan berminat dalam bidang perguruan.
Bagi kami, ini strategi merupakan antara strategi & usaha pihak kerajaan buat banyak insentif kepada kalangan guru untuk tujuan menarik lebih ramai pelajar cemerlang dalam pelajaran untuk menyertai profesion perguruan ini. Ini kerana kalangan pelajar cemerlang hari ini dilihat lebih berminat & cenderung dengan profesion lain seperti perubatan, kejuruteraan, farmasi, perundangan dan sebagainya.
Yang paling pentingnya, pelajar-pelajar di masa akan datang akan mendapat lebih ramai guru yang lebih berkualiti, cekal & bersemangat tinggi bagi mendidik anak bangsa kita bagi menghasilkan bakal “rakyat & pelajar yang ada kualiti” daripada kilang yang juga “berkualiti” (kalangan guru cemerlang)

PERKHEMAHAN BSMM (PART 2)


buat laporan dulu





sebelum eksplorasi kena buat facial dulu








meredah paya bakau





simulasi pertolongan cemas





EMPAT LAGI SEKOLAH DALAM HOSPITAL DIWUJUDKAN


PUTRAJAYA 12 Okt. - Sebanyak empat buah lagi Sekolah Dalam Hospital (SDH) akan diwujudkan bagi menyediakan kemudahan pengajaran dan pembelajaran kepada pesakit kanak-kanak yang menjalani rawatan di institusi perubatan di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, empat SDH tersebut akan dibuka di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru; Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh; Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.
Beliau berkata, empat sekolah tersebut merupakan tambahan kepada tiga SDH perintis sedia ada yang terletak di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Ampang dan Hospital Serdang.
‘‘Sejak dilaksanakan pada Julai 2011, seramai 6,550 murid telah mendapat manfaat dalam projek perintis di tiga SDH itu," katanya.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berucap dalam majlis pemeteraian memorandum perjanjian antara PPUKM, HUSM dan Yayasan Nurul Yaqeen untuk pelaksanaan fasa kedua SDH di sini hari ini.
Perjanjian tersebut disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Nurul Yaqeen, Datuk Ismail Ibrahim; Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tan Sri Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan Timbalan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Ahmad Shukri Mustapa Kamal.
Yang turut hadir, isteri Timbalan Perdana Menteri yang juga Penaung Projek Hati Nurani, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Timbalan Menteri Pelajaran; Datuk Dr. Ir. Wee Ka Siong.
Muhyiddin berkata, statistik SDH dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini menunjukkan Hospital Serdang mencatatkan murid prasekolah tertinggi iaitu seramai 328 orang manakala HKL mempunyai murid sekolah rendah paling ramai sebanyak 1,730 orang.
‘‘SDH di Hospital Ampang pula mencatat pelajar sekolah menengah yang tertinggi iaitu seramai 855 orang.
‘‘Kejayaan di tiga SDH adalah bergantung pada usaha doktor, jururawat, pihak pentadbir hospital, guru dan juga ibu bapa pesakit," katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, beliau telah meminta pegawai kementeriannya untuk meneliti hasil projek tersebut serta memantau keputusan pelajar SDH dalam peperiksaan umum yang dijalankan.


TELITI SEMULA SISTEM IPGM


BANGI: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sistem dan organisasi Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) perlu disemak semula agar matlamat melahirkan warga pendidik berkualiti dan terbaik mampu dicapai.
Timbalan Perdana Menteri berkata, antara perkara yang wajar diberi perhatian adalah penambahbaikan berterusan sistem pengurusan, pentadbiran, modul latihan serta kemudahan prasarana.

“Saya meminta pihak atasan IPGM bersama pengurusan tertinggi Kementerian Pelajaran meneliti semula perkara ini.
“Kita perlu mewujudkan satu persekitaran kerja kondusif dan terbaik terutama bagi warga kerja IPGM dan persekitaran pembelajaran yang selesa kepada siswa pendidik,” katanya pada majlis perjumpaan bersama siswa pendidikan IPGM serta penyerahan Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abd Ghafar Mahmud.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pada masa sama beliau berharap IPGM terus relevan dalam melatih dan melahirkan guru berwibawa dan cemerlang.
Sempena penyerahan KADS1M kepada 1,500 siswa IPGM semalam, beliau turut menyeru penerima menggunakan kemudahan itu sebaik-baiknya dan bukan untuk bermewah-mewah.

“Gunakanlah ia untuk mendapatkan pulangan setimpal dengan pelaburan dilakukan agar setiap sen yang dibelanjakan boleh memberikan hasil diharapkan,” katanya.
Dengan adanya KADS1M yang menawarkan diskaun antara lima hingga 60 peratus di premis perniagaan terpilih, Muhyiddin berkata, siswa memperoleh pelbagai keperluan dengan harga yang rendah dan terbaik.

Antara sektor perniagaan yang terbabit ialah buku, alat tulis, pakaian, kesihatan, peruncitan, makanan dan minuman, pengangkutan, produk IT dan produk automotif.

Sehingga kini, 231 syarikat (2,414 outlet) termasuk koperasi bersetuju menyertai inisiatif itu bagi membeli barangan dan perkhidmatan terpilih.

“Inisiatif disediakan ini untuk meringankan beban rakyat serta memastikan generasi muda mendapat kemudahan sewajarnya,” katanya.- Bernama
Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/19